Sunday, August 19, 2012

Salam Idulfitri.

Bismillah.

Assalamualaikum.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahi al-Hamd.

Alhamdulillah. Hari ini sudah masuk satu syawal. Alhamdulillah., segala puji bagi Allah kerana telah memberikan kita sekali lagi peluang untuk terus hidup di muka buminya, menghirup udaranya, merayakan hari raya idulfitri bersama keluarga, isteri dan anak-anak tercinta, bagi yang dah kahwin la.

Bagi yang belum kahwin atau sedang bertunang, dengan famili masing-masing. Hoho.

Alhamdulillah, kita diberikan kesempatan untuk beribadah dengan hebat dan super pada ramadhan yang lepas. Di samping kita sibuk beribadah, ada saudara-saudara kita yang mati syahid hanya kerana mahu mendirikan solat sunat terawih, itu berlaku di Myanmar. Hebat bukan?

Hari ini, jangan lupa kepada saudara-saudara kita yang lain. Kita di sini bergembira, saudara kita di sana berperang, menegakkan haq, melawan kebatilan, menghapuskan kezaliman dan sebagainya. Jangan lupa pada mereka. Bantu mereka sekurang-kurangnya dengan doa. Doa adalah kekuatan orang mukmin.

Alhamdulillah. Hamba masih begini di syawal ini. Tiada baju baru. Hanya pakai jubah lama yang masih elok. Alhamdulillah, masih muat dan menandakan hamba masih lagi menten kacak dan hensem, Oh! Terima kasih Allah.

Alhamdulillah, tahun ini semua adik beradik beraya di rumah hamba. Meriah dengan bising anak-anak buah.

Alhamdulillah, tahun ini masih sama seperti tahun-tahun yang dulu. Serupa, tiada yang berbeza cuma tahun ini agak sibuk sedikit kerana mahu menyiapkan buah tangan yang pertama. Doakan semoga segalanya dipermudahkan.

Jangan lupa, selepas solat sunat idulfitri, jenguklah orang-orang yang sudah kembali lebih awal daripada kita. Sampaikan pahala al-Fatihah hamba untuk mereka. Semoga mereka mendapat manfaat.

Jangan lupa, sedekah, cari anak-anak yatim, orang fakir dan miskin, bantu mereka. Jangan lupa diri.

Akhir kalam, hamba, Mior Imran Hj Mior Burhanuddin mengucapkan selamat hari raya eidulfitri. Min al-Eid wa al-Faizeen. semoga  Allah menerima segala amalan kita . Eid mubarak.

Allahu a'lam.

P/S : Rindu.

P/S : Kerja.

Monday, August 6, 2012

Salam Nuzul Quran Dan Merapu Sikit-Sikit. Takde Masalah kan? =)

Bismillah

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Segala puji bagi Allah, Tuhan empunya dunia. Segala puji bagi Allah, Tuhan empunya cinta.

Subhanallah, Maha suci Allah dari segala kekurangan, Subhanallah, Maha suci Allah dari segala persamaan. Subhanallah, Maha suci Allah dari segala kesilapan.

Alhamdulillah, hari ini sudah Nuzul al-Quran.

Ya, Nuzul al-Quran. Bermakna hari ini sudah 17 ramadhan. Pada hari ini jugak Badr al-Kubra. Ya. 17 ramadhan, bermakna kita sudah lalui 17 hari di dalam bulan ramadhan. What????? Dah 17 hari? Berapa lama sudah hamba tidak update blog? Giler lama...

Oh! Penyakit MUB la tu. Apa lagi. Oit! Cakap tu kasi cun sikit. Ini bukan MUB la, hamba ada banyak kerja mahu diselesaikan. Al-maklumlah, hambakan pelajar cemerlang. (Huh, memalingkan muka sambil mendongak ke langit dan mengembangkan hidung. Kau ade?) Hoho~

Alhamdulillah. Dah lama hamba tak update blog. Dah lama tak tanya khabar sahabat-sahabat semua. Hamba harap anda sihat-sihat belaka disamping keluarga dan orang yang tersayang. Dan yang jauh di mata tapi dekat di hati, hamba doakan semoga kamu bahagia selalu. Terima kasih.

Alhamdulillah. Hari ini kita masih lagi bernyawa, kita hidup dengan hirup udara yang Allah bagi tanpa kita perlu bayar di kaunter-kaunter khas. Alhamdulillah, Allah masih bagi lagi nikmat pada kita untuk terus hidup mencari rezeki, mencari redha dan mencari rahmatNya.

Hamba mohon maaf dengan sangat kerana sudah terlalu lama hamba menyepikan diri dari teratak hamba tanpa sebarang update. Mohon maaf sekali.

Sudah 17 ramadhan dan sudah pasti banyak yang kita lalui sepanjang ramadhan ini. Suka, duka, senyum tawa dan berbagai lagi. Apa sahaja yang kita lalui, hadapi ia dengan senyuman.

Jangan sedih. Andai mahu bersedih juga, silakan, kerana dengan kesedihan, ia telah membawa kita berjumpa dengan Tuhan. Dengan kesedihan, ia membawa kita berjumpa khusyuk. Dengan kesedihan juga, ia membawa kita benar-benar berada di hadapan Allah.

Hari ini hamba mahu coretkan sedikit tentang kisah hamba yang tak seberapa. Itupun jika anda mahu baca dan jadikannya novel. Kalau tak mahu, hamba pedulik ape. Tak kisah pun. Wekkss!!! Hoho lagi.

Hamba sebenarnya agak sibuk dengan beberapa urusan dan juga beberapa masalah dalaman yang sukar dikawal dengan hati dan minda. Semua ini ujian. Teringat dengan perkara itu, teringat dengan perkara ini. Bermacam perkara bermain dan ligat di dalam kepala dan membuat kepala hamba hampir pecah dan alhamdulillah, walaupun hampir pecah ia masih dapat dikawal kerana Allah membantu.

Permohonan dermasiswa hamba melalui Majlis Agama Islam dan Ada Melayu Perak yang menguruskan zakat bagi pelajar-pelajar ditolak atas alasan hamba tidak layak kerana kaya. Ok. Kaya sangatlah. Tak mengapa, Allah tutup satu pintu buat hamba. Hamba tak kisah, tapi hamba sangat teringin mengajak ahli panel lembaga pengarah untuk datang ke rumah hamba dan makan bersama hamba. Dan hamba juga terasa ingin bersembang-sembang dengan beliau. Semoga kesempatan itu akan tiba dan segalanya akan dikawal dan juga semoga Allah membuka pintu hatinya dan hati kami.

Start merapu sebab tak tidur-tidur lagi.

Kemudian, alhamdulillah. Proses penulisan buku pertama hamba, insyaallah, masih berjalan lancar dan semakin banyak hamba menulis buku semakin banyak ilmu yang hamba dapat dan juga ada beberapa projek yang hamba akan susun bersama pensyarah-pensyarah hamba. Doakan kejayaan buku pertama hamba.

Itu je la kot. Mengantuk sangat dah ni sebab tak tidur lagi dari semalam. Semoga dapat tidur sekejap dan bangun untuk meneruskan kerja yang belum selesai lagi.

Jaga diri, iman dan islam.

Allahu a'lam.

P/S : Khusyuk mendengar Najwa Latif - AdaMu. =)

P/S : Sangat rindu.




Saturday, May 19, 2012

Promote Blog

Bismillah..

Alhamdulillah. Hari ini 19 Mei 2012. Masih lagi bernafas dan bernyawa. Percuma sahaja. Allah tak mintak kita bayar di mana-mana kaunter pembayaran.

Hari ini hamba mahu promosikan blog fotografi hamba kepada anda. Hamba harap anda semua dapat melawatnya dan memberikan komen yang bernas serta positif di blog hamba. Blog itu sudah lama namun baru sahaja berusaha untuk dibangunkan semula atas sebab hamba ingin membina platform. Dan juga sila komen jika ada apa-apa yang boleh hamba tambahkan untuk blog itu. Segala idea dan sokongan anda amat hamba hargai.

Blog itu kalau tidak salah hamba sudah berusia dua tahun. Idea penubuhan itu bermula daripada tahun 2009 lagi, sebelum hamba ada sebuah DSLR.

Bila dah ada DSLR, malas pulak update blog. Penyakit MUB la tu, apa lagi.

Apa yang akan hamba ceritakan di blog fotografi itu?  Hamba akan menceritakan tentang tips fotografi, asas fotografi, penjagaan DSLR, teknik fotografi, teknik merakam gambar, hukum-hukum fotografi, galeri foto dan sebagainya.

Blog fotografi hamba dinamakan dengan nama Lensa Mukmin. Insyaallah ingin membina empayar fotografi Islam.

Baiklah, hamba akan letakkan link itu di post ini. Insyaallah blog itu masih dalam pembikinan dan penyempurnaan. Erm.. Mungkin bukan penyempurnaan, tetapi penambahbaikkan. Insyaallah dalam masa terdekat hamba akan letakkan link blog fotografi hamba di sebelah kiri blog ini.

Ini link blog fotografi hamba : http://lensamukmin.wordpress.com/


Selamat melawat, memberikan komen dan memberikan idea yang bernas. =)


Allahu a'lam

Wednesday, May 16, 2012

Entah

Bismillah

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Yang mencipta langi tanpa tiang, yang mencipta bumi teguh di kedudukannya, yang menciptakan cinta tanpa dapat dilihat.

Hari ini hamba malas mahu menulis muqadimah yang panjang-panjang. Cukup sekadar anda tahu betapa hamba tetap terus memuji Tuan Punya Dunia walau hamba sangat-sangatlah jahat.

Alhamdulilah.

Hari ini Allah sekali lagi memberi peluang kepada hamba untuk terus menulis sesuat untuk tatapan sahabat-sahabat pengunjung blog hamba yang serba serbi tiada apa-apa ini. Hanya tulisan kecil yang tak sedap dibaca sahaja yang dapat anda lihat.

Alhamdulillah.

Hari ini 16 mei. Setiap tahun jika datangnya tarikh ini kita tidak lupa untuk mengucapkan, menghantar sms atu memberikan hadiah kepada orang yang banyak berjasa kepada kita. Tentu anda tahu bukan? Sudah tentu kepada guru kita yang banyak mengajar dan menjadikan siapa kita pada hari ini. Baik atau buruknya guru kita, mereka tetap guru kita. Jalan yang baik dan buruk telah diajarkan mereka kepada kita, cuma kita sahaja yang salah memilihnya jika jalan yang ditunjuk itu salah.

Jika anda-anda semua mahu tahu, hari ini adalah Hari Guru Sedunia. Seluruh dunia menyambut hari 16 mei ini. Hari yang memperingati semua guru-guru yang wujud di atas muka bumi ini.  Tanpa guru kita tiada apa.

Siapakah sebenarnya guru kita selain daripada guru yang mengajar kita di sekolah?

Jawapannya, Nabi Muhammad SAW adalah guru yang terbaik yang patut dijadikan contoh bagi semua pendidik yang ada di muka bumi ini. Kedua ibubapa kita juga adalah pendidik yang mendidik kita sehingga kita dewasa. Hatta kita sudah berkahwin juga, mereka adalah tetap guru kita.

Dikesempatan ini hamba ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada :

Guru-guru tadika di Taski ABIM al-Hidayah, Parit, guru-guru hamba di Sekolah Rendah Iskandar Shah Parit, guru-guru hamba di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN Cawangan 2, guru-guru hamba di Maahad Al-Aziz, Parit, guru-guru hamba di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Perak dan juga guru-guru hamba di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Hari ini seperti tidak ada mood untuk menulis tentang ini.

Terasa lelah sangat-sangat hari ini. Entah kenapa.

Maafkan hamba.

Allahu a'lam.


P/S : Ana mushtaq.

Saturday, May 12, 2012

Pelita

Bismillah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, tuhan yang menjadikan siang dan malam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, tuhan yang menciptakan cinta. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberikan kita lagi nafas untuk kita hirup di atas bumiNya.

Alhamdulillah.

Waaahh!!! Sudah agak lama meninggalkan dunia blog ini. Bak kata pepatah yang hamba cipta sendiri yang berbunyi, "Blog lain diupdatekan, blog sendiri menangis tidak diupdatekan." Ingat, kalau anda-anda semua nak copy pepatah hamba ini silalah kreditkan kepada hamba. Hoho!

Sedar atau tidak sudah hampir lima tahun hamba menceburkan diri dalam dunia blogger ini. Bermula daripada 29 May 2008 sehinggalah kini. Alhamdulillah, dah besar blog hamba ini. Tahun depan boleh masuk tadika dah. Hoho lagi!

Dalam blog ini banyak yang telah hamba coretkan, luahkan, kongsikan. Ada yang panas, ada yang menjadi bahan bualan, ada yang menjadi rujukan (ada ke?) dan berbagai lagi. Selama hampir lima tahun ini jugalah, blog hamba telah mencapai rating yang amat tinggi. Dalam sehari tidak kurang daripada 100,000 pengunjunga yang melawati laman blog hamba. Alhamdulillah, kalau jual blog ini dah boleh nikah dah. Blog hamba mahal tahu? Cuba anda semua lihat di sebelah kiri atas, boleh tengok berapa harga blog hamba. Blog anda ada harga mahal yang begitu? Hoho!

Di blog ini juga banyak kenangan yang tercipta. Dari mula indahnya perhubungan yang pernah dicipta sehingga putusnya ia kerna asbab yang tertentu. Sekarang masa untuk beliau bahagia dan senyum kembali terukir. Ok, kita tinggalkan cerita itu kerna sememangnya tidak layak hamba untuk menagih bahagia daripada tuhan kerna hamba adalah hambaNya.

Ok, nak cerita sikit. Pada 28 April yang lalu hamba dan famili telah ke PWTC untuk menghadiri Pesta Buku Antarabangsa dan untuk pengetahuan anda, ini adalah program tahunan kami. Alhamdulillah, banyak juga buku-buku yang hamba borong tetapi ada juga buku yang hamba tidak dapat dan ada la benda-benda yang hamba tidak dapat. Oh ya! Kebetulan pada tarikh itu telah diadakan satu perhimpunan yang dinamakan Bersih 3.0 yang diadakan di Kuala Lumpur. Pada hari itu banyak jalan yang ditutup dan disekat atas faktor-faktor tertentu. Sebelum sampai di Kuala Lumpur, hamba bertoak daripada Stesen Keretapi Ipoh pada pukul 5.30 pagi. Pepagi buta lagi kami dah bertolak ke Ipoh daripada teratak hamba di Kampung Tanjung Ara, Parit, Perak. HAHA!

Kami naik tren apa? Sudah tentu kami naik tren ETS. Laju bapak tak ingat pastu cerita yang sama diulang-ulang dalam tren tu. Hoho. Apa yang hamba nak ceritakan di sini ialah semasa perjalanan kami ke Kuala Lumpur pagi itu, hamba dapat melihat kumpulan manusia yang agak ramai. Sebelum-sebleum ini hamba tidak pernah lihat situasi seperti ini. Agak ramai dan mungkin kebetulan juga ada yang mahu pergi ke PWTC atas niat yang sama seperti hamba. Di dalam gerabak yang sama dengan hamba dan cuma selang beberapa tempat duduk, wajah yang hamba kenal semasa menuntut di Ipoh suatu ketika dahulu. Beliau adalah YB Nga Kor Ming, Setiausaha Agung DAP kalau tidak silap hamba. Dengan senyuman yang tidak putus-putus dari bibirnya beliau bersalaman dengan semua orang yang ada dalam tren itu. Kecuali wanita. Ok? Ada apa dengan beliau? Ya! Mestilah ada apa-apa masakan kenapa hamba mahu menceritakan tentang hal in dalam blog hamba. Hal politik pula tu.

Baik, secara terus terangnya hamba dapat simpulkan yang keseluruhan undi akan dapat kepada beliau la. Kenapa? Sebab dia seorang Cina yang mungkin beragama Buddha atau Kristian tetapi beliau mampu memberi salam dengan lafaz yang begitu tepat, menyebut perkataan Insyaallah dan sebagainya lagi dan alangkah bagusnya jika beliau seorang muslim? Tentu beliau akan lebih hebat lagi bukan? Terbaharu hamba melihat gambar beliau dan seorang lagi Ahli DAP yang menghadiri kuliah Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, menteri besar Kelantan. Hebat bukan? Bagaimana seorang yang bukan muslim mendengar kuliah tentang Islam! Kita? Masih jauh dengan kuliah dan masih tidak mahu lagi menerima kebenaran-kebenaran yang ada dalam Islam serta masih mahu lagi duduk menegakkan yang batil. Kita masih tidak mahu mendekatkan diri kita dengan orang-orang yang membawa kita kepada Allah. Namun perlu hamba ingatkan, ramai yang membawa kita kepada Allah tetapi dengan cara yang sesat. Contoh? Ajaran sesat la.. Apa lagi? Hoho. Dan juga pasangan-pasangan yang salah. Owh Yeah!

OK. Hamba malas tulis lagi. Nak bersiap-siap ke Ipoh, beli jubah.

Oh ya, sebelum terlupa hamba sedang dalam proses membikin buku tentang fotografi. Doakan hamba berjaya ya?

Allahu a'lam.

P/S : Sumpah rindu!

Saturday, April 28, 2012

Bergerak.

Bismillah.

Hari ini ada banyak peristiwa. Acara 'gotong-royong' di Dataran Merdeka dan Pesta Buku Antarabangsa di PWTC, Kuala Lumpur. Hamba akan berada di PWTC, Kuala Lumpur atas asbab-asbab tertentu. Ini program tahunan bagi keluarga hamba.

Akan hamba kemaskini bila berpeluang.

Salam perjuangan dan kasih sayang. =)

 P/S : Dalam tren ETS.

Thursday, April 12, 2012

Terima Kasih Allah Kerana Sayangkan Kami, hambaMu.

Bismillah.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi. Segala puji bagi Allah yang menciptakan siang dan malam dan peraturan yang tidak pernah disalahkan. Segala puji bagi Allah yang menciptakan Adam dan Hawa. Segala puji bagi Allah yang menciptakan segalanya tanpa ada cacat cela.

Alhamdulillah, pada pagi ini mula menulis semula setelah diberikan kekuatan yang dipinjamkan olehNya. Alhamdulillah, hamba menulis semula setelah beberapa lama hamba tidak menulis lantaran kekangan waktu semasa berada di KUIS dan kesibukan semasa menghadapi peperiksaan akhir semester pertama di KUIS. Alhamdulillah, segala berjalan dengan baik dan lancar. Saat ini, sudah hampir sebulan hamba berada di rumah, membantu apa-apa yang patut, bertugas semula di tempat lama secara sementara, menghabiskan beras yang banyak di rumah, menghabiskan makanan yang ada di rumah, menghadap laptop, berfotografi dan mencari idea untuk menulis semula.

Alhamdulillah, Kita masih lagi diberikan nafas yang panjang untuk menghirup udara segar yang dibekalkan oleh Allah SWT kepada hidup kita tanpa perlu kita membayarnya di mana-mana kaunter yang dibuka Allah.

Petang semalam, lebih kurang pada pukul 4:00 - 4:45 petang, Malaysia digemparkan dengan gegaran di Pulau Pinang, Perak, Indonesia, India dan sebahgian lagi tempat. Gegaran itu mencecah 8.9 Skala ritcher. Agak kuat berbanding semasa Tsunami 24/12/2006 yang lalu. Kali ini gegaran itu turut dirasi di kampung hamba, tapi yang peliknya hamba tak rasa goyang pun, mungkin sebab faktor berat badan yang agak bertambah buat masa ini kerana menghabiskan beras di rumah? Tapi di Perak, Manjung dan Teluk Intan adalah tempat yang dirasai pada petang itu. Hamba juga mempunyai sahabat yang belajar di Banda Acheh, Indonesia dan mengikuti perkembangan mereka. Alhamdulilah semuanya selamat. Rata-rata di Facebook juga ramai yang berbicara dan menulis status tentang kejadian ini. Banyak status-status yang menulis tentang meminta untuk solat hajat dan lain-lain lagi perkara yang dilihat sebagai positif.

Apa hikmah atas kejadian yang berlaku ini? Pada pandangan hamba, Allah punya asbab tertentu mengapa kejadian ini berlaku. Hikmahnya, Allah menegur kita secara terus. Mungkin terlalu banyak kelalain yang telah kita lakukan atas muka bumi ini dan juga ia mungkin sebagai tanda amaran Allah kepada kita.

Jadi apa yang harus kita lakukan?

Terserah pada anda semua dan yang pasti hamba sangat takut sebab hamba orang yang banyak dosa dan takut nak jumpa tuhan dalam keadaan yang sangat-sangat sikit amalnya. Ayuh sahabat-sahabat, perbanyakkanlah amalan kita. =)


Allahu a'lam.

Sunday, February 5, 2012

Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita! - Dr MAZA





P/S : Selamat Menonton sahabat-sahabat. =)

Edisi Lama Tidak Update Dalam Bulan Rabiul Awal.

Bismillah..

Segala puji bagi Allah tuhan mentadbir seluruh alam tanpa bantuan sesiapa. Segala puji bagi Allah tuhan yang menciptakan Adam dan Hawa dengan cinta. Segala puji bagi Allah tuhan yang menjadikan alam dalam masa enam hari. Segala puji bagi Allah, Segala puji bagi Allah dan sesungguhnya segala puji hanya layak bagi Allah.

Rasanya masih tidak terlambat bagi hamba untuk mengucapkan selamat tahun baru 2012 kepada semua pengunjung blog hamba yang serba serbi dhaif ini. Terima kasih kepada pengunjung-pengunjung dan sahabat-sahabat yang selalu menunggu post terbaru daripada hamba. Maafkan hamba kerana tidak dapat selalu update blog hamba. Rasanya ini update pertama pada tahun 2012. Lama juga hamba tidak menulis. Maklumlah, agak sibuk dengan pembelajaran di KUIS ini. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan agak lancar walaupun terbit kepayahan yang kadangkala membuatkan terfikir untuk tidak meneruskan lagi perjuangan hamba di bumi KUIS ini.

Alhamdulillah.

Sekali lagi Allah telah memberikan nafas yang tidak perlu kita bayar di mana-mana kaunter di dunia ini. Kita menghirup udara yang telah Allah beri kepada kita dan membayarnya dengan melakukan apa yang telah disuruh oleh Allah dan meninggalkan segala yang telah dilarangNya.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Hampir menghabiskan satu semester di bumi KUIS ini, segalanya berjalan dengan lancar. Berjumpa dengan sahabat yang baru dan lama, merasai pengalaman baru di tempat baru. Menambah fikir dan zikir di bumi KUIS ini yang ternyata banyak bedanya sewaktu berada di sebuah Kolej Universiti di utara semenanjung satu ketika dahulu.

Baiklah, alang-alang sudah lama tidak menulis hari ini hamba akan menulis sesuatu buat tatapan, bacaan dan kalau ia tidak merepek, jadikan ia bahan zikir dan fikir bagi kita semua jika apa yang bakal hamba sampaikan akan memberi manfaat.

Kita sudah sampai dalam bulan Rabiul Awal. Sudah semesti ramai yang tahu apa yang berlaku dalam bulan rabiul awal. Anda juga tahu bukan? Ya, tepat sekali, Maulidurrasul. Kita menyambutnya pada setiap tahun walaupun ada yang mengatakan bahawa sambutan maulidurrasul adalah bidaah, pada hamba walaupun ia bidaah ia adalah bidaah hasanah. Mengapa? Sebab kita mengajak sahabat-sahabat. keluarga dan yang lain-lain untuk mengingati Rasulullah SAW. Tapi, disebalik kita mengajak mereka untuk mengingati Nabi SAW, adakah kita menghayati sejarah hidupnya? Pernah kita tahu bagaimana susahnya Baginda menyampaikan Islam? Penuh dengan airmata, darah, hina, cacian dan berbagai lagi. Pernah kita terfikir bagaimana sejuknya Rasulullah dan Abu Bakr as-Siddiq ketika berhijrah ke Kota Madinah? Pernahkah kita menangis saat kita berfikir tentang itu?

Soalan untuk anda, pernahkah anda menangis rindukan jasad yang berada di bawah kubah Hijau di Masjid Nabawi seperti kita menangis rindukan keluarga, ibu bapa, kekasih? Jika ya, maka tahniah dan jangan riya' ataupun bangga. Jika tidak pernah, maka cuba-cubalah untuk rasa menrindui Kekasih Allah yang mulia itu.

Jarak kita dengan Baginda adalah 1400 tahun, sudah 1400 tahun Baginda meninggalkan kita, tapi kesan peninggalannya masih tidak pudar dan tidak padam sehingga kiamat nanti. Masih ingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud lebih kurang begini, "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara ini. Jika kamu mengikutinya nescaya kamu tidak akan sesat selamanya. Ia adalah al-Quran dan Sunnah Nabi." Masih kita ingat bagaimana kasihnya Saidina Ummar al-Khattab terhadap Baginda sehingga beliau mengatakan : "sesiapa yang bahawa Muhammad telah mati, akan aku pancungkan setiap kepala daripada kamu.". Sambil tangannya menghunuskan pedang. Datanglah Saidina Abu Bakr al-Siddiq mententeramkan para sahabat selepas mengucup jenazah baginda. Abu Bakr berkata : Selepas itu, Abu Bakar keluar menemui para sahabat yang seakan hilang akal itu. Mereka umpama pasukan yang telah ditinggalkan komandannya. Lalu Abu Bakar pun berucap ” Wahai para sahabat, sesiapa yang menyembah Muhammad, kini Muhammad telah tiada. Dan sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah tetap hidup dan tidak mati."

Bagaimana agaknya kita jika berada di zaman itu. Bagaimana agaknya kita jika hampir dengan nabi. Bagaimana agakanya kita akan menerima berita tentang kehilangan seorang Kekasih Allah? Bagaimana kita menghadapi wahyu terakhir yang diturunkan kepada baginda?

Allahu Rabbi. Jika hamba tak buleh wor. Sanggup ganti nyawa hamba dengan baginda.

Berapa banyak dalam sehari kita berselawat ke atas baginda?

Berapa banyak dalam sehari kita ingat pada baginda?

Hitunglah diri kita.

Selamat menyambut Maulidurrasul dan Selamat berselawat selalu.

Ayuh! Malaysia berselawat. Sampaikan pesan ini kepada sahabat-sahabat lain dan jika perlu share atau kongsi mesej ini di mana-mana laman sosial supaya kita dapat menjadikan amalan selawat adalah amalan seharian seperti solat. Sampaikan nota ini di mana sahaja. Semoga hamba dan juga anda mendapat manfaat. Jadikan selawat sebagai zikir harian kita kerana Baginda pernah bersabda dengan maksud yang lebih kurang begini :"Orang yang hampir denganku di akhirat nanti adalah orang yang banyak berselawat ke atasku.". Maka berselawatlah kita.

Allahu a'lam.


P/S : Hamba bukan syiah, tapi hamba mencintai ahlul bait Rasulullah. =)

P/S : Selamat membaca.

P/S : Mushtaq. =)