Showing posts with label Tinta Dariku. Show all posts
Showing posts with label Tinta Dariku. Show all posts

Wednesday, April 16, 2014

Entah. (Buatmu Syurga)

Bismillah.

Syurga,

Hari ini entah hari ke berapa engkau menghilang.

Wallahi,

Hamba benar merinduimu.

Wallahi,

Hamba benar mencintaimu.

Syurga..

Tiada kalam dapat hamba nukilkan lagi.

Habis sudah bahasa yang menggambarkan rasa di jiwa.

Syurga,

Andai ada peluang kedua,

Mohon hamba diberi peluang semula.

Tuesday, April 8, 2014

Syurga.

Bismillah.

Assalamualaikum, Salam sejahtera ke atasmu.

Warkah dan puisi ini buat kamu, Syurga.

Syurga, Aku tidak mengerti,

Apa hari itu makin tiba, aku tidak tahu.

Tapi, semakin hari aku semakin takut dan bergetar jiwaku.

Kenapa?

Aku hilang kamu, sepatutnya kita berdua.

Aku dan kamu.

Aku melafazkan kalimah itu, yang menghalalkan kita.

Aku melafazkan kalimah itu, yang membuat aku lebih tanggungjawab.

Aku melafazkan kalimah itu, yang menjadikan aku lebih matang.

Aku melafazkan kalimah itu, yang menjadikan kita lebih berpahala.

Syurga,

Setiap hari,

Aku berdoa,

Apa aku masih bisa diberi peluang kedua.

Tapi entahlah Syurga,

Apa mungkin peluang itu diberi kepada aku.

Aku berharap pada Tuhan,

Semoga peluang kedua itu diberi kepada aku

Dan tidak aku siakan peluang itu.

Syurga,

Rasa ini bukanlah mainan,

Rasa ini bukanlah cubaan,

Rasa ini bukanlah taruhan,

Rasa ini bukanlah tiruan.

Rasa ini adalah benar,

Cinta ini adalah benar,

Kasih ini adalah benar,

Sayang ini adalah benar,

Rindu ini adalah benar.

Pulanglah, hati ini sentiasa terbuka untukmu.

Tuesday, April 1, 2014

Semoga

Bismillah.

Syurga,

Semoga kamu melawat taman hamba

Dan kamu bacalah bait yang tercipta

Hanya untuk dirimu sahaja.

Syurga,

Demi Allah,

Hamba mencintaimu.

Hamba mahu menikahimu.

Kita sama-sama

Tuju Syurga Sana,

Kita sama-sama

Capai redha Allah.

Demi Allah.

Demi Allah.

Demi Allah.

Monday, March 31, 2014

Bagaimana

Bismillah.

Bagaimana hamba mahu kuat

Ketika kekuatan hamba berada pada dirimu,

Sedangkan engkau pula sudah hilang dari sisi hamba.

Friday, March 28, 2014

Mohon Sekali Lagi

Bismillah.

Hamba duduk di sini diam-diam tanpa sepatah bicara.

Lama termangu, melangut tentang dirimu yang jauh,
-Yang jauh entah bisa pulang atau tidak-

Kamu tahu?

Kadang-kadang tidak sedar ada airmata membasahi pipi gebu ini.

Sumpah, demi Allah,

Hamba rindukan kamu,

Hamba benar-benar cintakan kamu.

Tapi hamba tahu, sudah terlambat dan tak boleh ulang lagi.

Kadangkala.... Entahlah.

Hamba tiada kata untuk diucap lagi.

Benar-benar terasa,

Benar-benar kecewa,

Benar-benar rindu,

Benar-benar cinta.

Pulanglah. Pulanglah. Pulanglah.

Andai nanti ada peluang kedua,

Mohon hamba bertakhta di jiwamu

Syurga.

Thursday, March 27, 2014

Pulanglah

Bismillah.

Ini coretan buatmu.

Khas, untukmu sahaja.

Syurgaku,

Hamba tak pernah lelah menunggumu,

Malah setiap malam, hamba menunggu tanpa jemu.

Hamba di sini, tersilap.

Mohon pada kamu, kembalilah.

Jangan gusar,

Insyaallah, hamba sudah berubah.

Demi Allah, jangan ragu.

Segeralah pulang.

Pulanglah,

Hamba menunggu.

Wednesday, March 26, 2014

Keterkecewaan

Bismillah

Benar, memang kecewa.

Sepatutnya cincin yang disarung itu, adalah pemberianku.

Namun apa daya,

Hamba ini hamba Allah.

Hamba tiada daya, Allah punya segala upaya.

Hamba hanya mampu sedih, menangis dan berdoa.

Kalau-kalau taubat hamba diterima,

Kalau-kalau ada peluang kedua.

Tapi hamba rasa mustahil.

Bagaimana orang kotor macam hamba dimahu semula?

Allahurabbi. Allahurabbi. Allahurabbi.

Menangis airmata darah sekalipun,

Tidak mampu membawanya semula.

Berserah sahajalah.

Monday, March 24, 2014

Kelebihanku

Bismillah.

Syurga,

Mahu tahukah kamu?

Allah berikan hamba satu kelebihan yang sangat hebat.

Pertama, hamba menghafal al-Quran, tapi hamba banyak berdosa, izinkan hamba baiki diri. -Wallahi-

Kedua, hamba dikurniakan rupa yang tidak menarik, hitam, buruk, gemuk dan sebagainya.

Ketiga, ini yang paling hamba bangga. Hamba dibekali dengan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada insan yang hamba cintai. -Itulah kamu, Syurga-

Syurga, kekuatan cinta hamba terletak pada kesetiaan hamba.

Benar, dulu hamba pernah bercinta, tapi sudah pudar dek masa.

Kini?

Takkan! Hamba yang dahulu bukanlah yang sekarang.

Dahulu jika dikecewa, hamba mencari lain.

Kini, hamba sudah tua, malas mencari, hamba setia menanti.

Wallahi! Wallahi! Wallahi.

Syurga,

Jika nanti di sana ada peluang kedua buat hamba

Izinkan sekali lagi hamba bertakhta dalam jiwa

Memenuhi tuntutan agama, memenuhi fitrah jiwa

Dan yang pasti takkan buat kamu terluka.

Allah menjadi paksi hubungan kita,

Rasul menjadi ikutan hubungan kita,

Syurga tertinggi menjadi idaman buat kita

Kerna hamba tidak akan biarkan kamu dalam neraka,

Hamba akan bawa kamu ke dalam syurga bersama

Menjadi pasangan sekali lagi bersama.

Bagaimana?

Bismillah.

Bagaimana mahu lupa,

Sedang namamu banyak terukir dalam surat cinta Allah - al-Quran-,

Dan aku pula setiap hari membacanya.

Bagaimana?

Thursday, March 20, 2014

Untukmu, Syurga.

Bismillah.

Ini mungkin berlebihan sedikit ya,
Namun apa daya,
Tetap hamba teruskan jua.

Syurgaku,
Tahukah kamu bahawa cintaku hanya satu?
Tahukah kamu bahawa sayangku hanya satu?
Tahukah kamu bahawa tiada siapa di hatiku
Melainkanmu?

Syurga,
Hari ini Allah pisahkan kita,
Atas silap lalu hamba.

Hadiah cukup bermakna,
Allah ambil semula.

Syurga,
Dalam blog ini banyak kisah cinta dan duka,
Bukan kamu, tapi yang dahulu, dia.

Tetapi Syurga,
Hari ini, Segala coretan yang ada dalam blog ini,
Hanya untuk engkau.

Syurga,
Pernahkah kau baca kisah Qaisy dan Laila?
Hamba duga mesti pernah baca atau sekurangnya dengar cerita.
Jadi hari ini,
Biar kamu tahu,
Aku akan kekal jadi Qaisy yang terluka
Menunggu bunganya di tepi pusara.

Syurga,
Aku akan menunggu setia,
Tiada dua mahupun tiga,
Yang ada cuma kamu sahaja.
Ya,
Demi Allah,
Demi Allah,
Demi Allah,
Kali ini sangat berbeza.
Hanya kamu bertakhta di jiwa.

Syurga,
Jika nanti ada terbuka peluang kedua,
Izin aku bertakhta menjadi raja dalam jiwa,
Kerna peluang kedua
Takkan ku buang dengan sia-sia.

Yang Ikhlas,
Hamba.

Sunday, November 17, 2013

Buat Kamu Yang Keletihan

Bismillah..

Kamu bilang penat

Memikirkan segala yang kau lalui

Memikirkan segala yang kau tempuhi

Aku tiada apa untuk membantumu

Cuma aku ada satu pesan,

"Sabarlah, semoga ada kejayaan di akhir semua ini."

Kamu bilang "sampai bila?"

Aku cuma mampu jawab,

"Sehingga akhirnya."

Kamu mengeluh.

Aku bicara lagi,

"Andai kamu lelah, penat dalan ujian panjang ini,

Kamu pulanglah ke ribaan Tuhan, Allah.

Bila kita jatuh, ingat,

Dia yang akan membangukan kamu,

Dia yang akan memimpin kamu

Sehingga kamu tuju ke arah jayamu.

Sedikit sahaja lagi.

Teruskanlah.

Jangan terhenti separuh jalan.

Aku selalu di belakangmu."


Sunday, September 22, 2013

Berduka? Patah Hati Dan Juga Semangat? Mahu Ubat? Ini Dia.

Bismillah.
Segala puji bagi Allah, tuhan sekelian alam. Segala puji bagi Allah, tuhan yang menciptakan alam. Segala puji bagi Allah, tuhan yang menciptakan Adam dan Hawa. Segala puji bagi Allah yang tidak henti-henti menyayangi kita. Segala puji hanya layak bagi-Nya. 

Alhamdulillah, hari ini kita bangun lagi, meneruskan cita-cita sebagai hambaNya di atas muka bumi ini. Menghirup udara segar walau ada sedikit kekotoran hasil daripada kerosakan tangan manusia yang berlumba membina bangunan tinggi gila yang tak sudah-sudah mahu mengejar dunia sehingga lupa ada dunia lain menanti kita.

 Alhamdulillah, hari ini kita sedia untuk menerima segala macam bentuk ujian daripadaNya, Tuhan yang maha cinta.

Oh ya persoalan. Mengapa jika Dia Tuhan yang Maha Cinta, Dia menguji kita sehingga kita tidak mampu untuk bangun meneruskan hari muka?

Jawapannya kerana Dia cintakan kita. Ayuh kita semak semula surah al-Ankabut ayat yang kedua. Dia berbicara, "Apa manusia mengira mereka sudah beriman sedang mereka belum diuji?"

Ujian adalah tanda cinta Dia kepada kita. Ujian adalah tanda Dia ingin kita dekat denganNya. Ujian merupakan tarbiyyah secara langsung dari Dia kepada kita. Tahukah siapa dia? Dialah Allah. Tuhan yang Maha Cinta.

Baiklah, muqadimah hamba pada kali ini sudah macam isi. Hamba pasti tiada siapa yang merindui hamba. Akhir tulisan hamba pada hari pilihanraya. Kemudian? Hamba bergiat aktif di MukaBuku. Di sana katanya leih seronok.

Oh ya, dan hamba juga sedang menstruktur semula manuskrip hamba. Bagai nak gila hamba. Balik kepada tajuk. Hamba yakin, ada di kalangan kita hari ini yang sedang bermuran durja, berduka lara dan sebagainya. Mengapa? Pasti ada sesuatu bukan? Kalau bukan kerana sesuatu sudah tentu anda tidak berdukacita, bermuram durja bukan? Hoho!

Baik, ada yang bertanya hamba bagaimana mengubat jiwa yang lara. Ada yang mengetahui yang hamba pernah berduka akibat cinta. Ada juga yang mengetahui lebih daripada hamba sendiri. Pada mereka yang sangat rajin mengikuti hamba, ingin hamba ucapkan tahniah kerana sering mengikuti blog ini dan juga menyelami apa yang berada di dasar hati hamba.

Sebenarnya seperti yang telah hamba ceritakan semasa muqadimah, ujian, cabaran sebenarnya salah satu daripada jentikan manja Allah kepada kita. Mengapa? Pasti ada sebabnya.

Tidak satupun Allah jadikan tidak bersebab. Yang putus cinta, pasti berduka, patah hatinya, nyanyi lagu duka seakan tidak bisa dirawat jiwanya. Ya, seperti hamba beberapa tahun yang lalu. Lalu bagaimana hamba dapat meneruskan hidup dengan selesa?

Jika yang sedang atau baru putus cinta, ini jawapan hamba. Sila lalui hari duka anda dengan sabar dan gembira. Ya, fasa-fasa pertama ini hamba percaya, tidur pun dengan airmata. Malah solat juga dengan airmata. Betul bukan? Mahu masa menyendiri, mahu masa untuk tenangkan diri, tidak mahu mengurus diri dan lain lagi. Itu juga pernah terjadi pada hamba. Ya, bagaimana tidak gila, kononnya cinta pertama. Haha.

Ya, ramai mengatakan cinta pertama sukar dilupa. Itu hamba akui, sesetengah manusia sangat tidak mampu untuk melupakan cinta pertama. Ubatnya, semua tertanggung pada diri kita. Ada yang kata cari lain dan berkahwin.

Persoalan mula timbul, apa dengan berkahwin serta merta akan melupakan cinta pertama? Tidak, tak semua begitu. Ada yang memakan masa sehingga bertahun-tahun untuk melupakan cinta pertama. Lalu bagaimana? Seperti yang hamba kata, semua tertanggung pada diri sendiri. Ada yang bertanya tips hamba, bagaimana hamba boleh lalui semua kisah duka? Hamba jawab mudah sahaja. Jika kita terus dibuai dengan duka maka kita sampai mati tidak gembira, sampai mati berduka, bersendiri dan lebih memalukan bertemu Allah dalam keadaan bujang tidak mengembangkan umat Nabi kita, Muhammad SAW.

Benar, hamba mengambil masa hampir tiga ke empat tahun untuk melupakan cerita sakit, perit dan duka. Semasa di fasa pertama, setiap hari hamba ditemani airmata, hampir setiap hari boleh dikatakan hamba menangis, kecuali waktu makan. Itu waktu yang hamba gembira.

Memasuki fasa yang kedua, hamba cuba untuk bersangka baik dengan Allah. Mana mungkin ujian yang diberikanNya adalah untuk membebankan hambaNya. Mana mungkin sebegitu kejam Allah terhadap kita? Tidak! Kita yang mengejami diri kita sendiri. Kita sendiri yang merosakkan diri kita sendiri. Mencari penyakit yang tiada ubatnya. Selalu hamba bisikkan pada diri sendiri bahawa ujian ini adalah diri hamba sendiri. Sekian lama hamba lalai dek cinta. Sekian lama hamba jauh dari Allah dek cinta, sekian lama hamba lupa tanggungjawab sebagai hamba. Jadi inilah masanya untuk memperbaiki hubungan dengan Allah. Inilah masanya untuk hamba bawa hati berjumpa Allah, mohon Allah rawatkan hati hamba. Inilah masanya hamba berbaring di ribaanNya.

Alhamdulillah, memasuki fasa yang ketiga hamba sudah boleh menerima kenyataaan. Hari-hari yang dahulunya hanyalah duka, kini bertukar ceria. Alhamdulillah, Allah mengubat hati luka hamba. Alhamdulillah, ternyata Allah itu benar-benar Maha Cinta. Lalu apa alasan untuk kita sentiasa berduka? Pintu cinta Allah itu senantiasa terbuka menerima hambaNya yang tersasar jauh dan berduka.

Ada juga di kalangan kita yang hamba percaya sedang mengalamai dipresi yang amat tinggi dek tekanan yang melampau dari pelbagai pihak ke atas diri sehingga menyebabkan ramai yang ambil keputusan melakukan pekerjaan yang diluar kemampuan dan diluar dugaan serta bukan dalam bidang masing-masing. Akibatnya kerja yang dilakukan tidak ikhlas, tidak menepati piawaian dan sambil lewa. Sedangkan kerja adalah suatu amanah, jika tidak melakukannya dengan baik maka amanah itu akan bertukar menjadi suatu yang akan dipersoalkan kelak.

Jadi bagaimana? Berbahagialah pada mereka yang bekerja bukan di dalam bidangnya. Lakukannnya dengan sebaik mungkin. Ada beribu lagi insan yang tidak dapat pekerjaan yang menginginkan pekerjaan. Jika apa yang kalian rasakan itu adalah beban dan tidak mahu menampung lagi beban yang ada, maka dengan rela hati, lepaskan pekerjaan itu kerana masih ramai lagi yang mahu dan percayalah, ada rezeki yang baik menanti.

Namun, jangan menyesal di kemudian hari ya? Hee~

Ada yang tidak bersemangat? Apa sahaja yang dilakukan rasa tidak bersemangat? Biasa.

Kita ini manusia, pasti akan mengalami saat naik dan turunnya. Kita tidak terlepas daripada semua itu kerana itulah lumrah kehidupan dan itulah yang mencorakan kehidupan ini. Cuba andai dan bayangkan jika dunia ini hanya ada kegembiraan. Lalu untuk apa air mata diciptakan? Cuba kita bayangkan lagi, jika dunia ini hanya dipenuhi dengan kesakitan, kesedihan, lalu untuk apa gigi diciptakan? Pastinya ia untuk diperlihatkan dengan ketawa.

Tapi ingat, bukan ketawa yang berdekah-dekah dan sangat buruk ya? =)

Hiburkan hati dengan surat cinta dari Allah, al-Quran. Ia sangat menghiburkan hati. Hamba tidak mahu bersuara seperti ustaz-ustaz, kiai-kiai, mufti, ulama dan sebagainya, tetapi kebiasaannya jika hamba berasa putus semangat, tidak berdaya, tidak kuat, hamba akan membaca al-Quran dan tafsir. Sangat menghiburkan.

Banyak hamba baca buku motivasi Islami lebih-lebih lagi daripada tulisan Dato Dr Ust Muhammad Asri Zainul Abidin (Dr MAZA), Ust Pahrol Md Joui dan beberapa orang ustaz lagi. Sangat menyenangkan.

Pada hamba, kuliah dan tulisan daripada Dr Maza dan Ustaz Pahrol sangat memujuk jiwa. Lebih -lebih lagi di saat kita memerlukan.

Apa yang harus dilakukan seandainya jalan itu tidak berjaya? Macam biasa, kembali pada Allah dan mohon Allah peluk diri kita. Insyaallah, Allah akan membantu kita. Allah akan membantu, memeluk kita. Bukankah kasih sayang Allah itu lebih daripada seorang ibu yang mengasihi anaknya?

Jadi bagaimana? =)

Akhir kalam, semoga perkongsian hamba kali ini dapat memujuk sedikit sebanyak jiwa-jiwa yang sedang lelah dan tidak berdaya. Semoga Allah senantiasa merahmati kita, memayungi kita dengan rahmatNya dan menutup segala cela yang terdapat pada diri kita.

Allahu a'lam.

Saturday, April 20, 2013

Islam Itu Tetap Di Atas (Pasca PRU13)

Bismillah.

Segala puji bagi Allah, tuhan sekelian alam. Segala puji bagi Allah, tuhan yang menciptakan alam. Segala puji bagi Allah, tuhan yang menciptakan Adam dan Hawa. Segala puji bagi Allah yang tidak henti-henti menyayangi kita. Segala puji hanya layak bagi-Nya.

Alhamdulillah. Hari ini kita masih lagi diberikan nafas yang baru, diberi peluang untuk menghirup udara yang segar milik Allah tanpa kita perlu membayarnya di mana-mana kaunter.

Alhamdulillah, setelah semalaman kita tidur dan hari ini kita bangun dengan satu azam yang kuat, satu cita-cita yang tinggi dan satu harapan yang menggunung.

Alhamdulillah. Hari ini Allah telah mengembirakan kita dengan menarik kita daripada terjatuh dalam jurang yang dalam.

Alhamdulillah.

Entri ini sempena Pasca PRU13 yang bakal menjelma tidak lama lagi. Saat entri ini ditulis, hampir seluruh Malaysia sibuk dengan hari penamaan calon dan hamba duduk di sini menaip sekadar meluahkan rasa dan menyampaikan sahaja.

Sebelum bercerita lebih lanjut lagi ingin sekali hamba tekan dan tegaskan bahawa blog ini bukan blog politik, dan hamba selaku pemilik blog ini TIDAK PRO KEPADA MANA-MANA PARTI. Dan apa yang hamba tulis ini tidak mendapat upah atau bayaran daripada mana-mana pihak. Hamba menulis, insyaallah dengan rasa ikhlas.

Baik, baru-baru ini sebuah parti di dalam barisan Pakatan Rakyat (PR) iaitu DAP telah dimaklumkan bahawa mereka tidak dibenarkan untuk menggunakan logo parti mereka atas sebab-sebab tertentu. Dan Parti Islam Se-Malaysia telah membenarkan DAP untuk menggunakan logo mereka di semenanjung Malaysia dan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) digunakan Sabah dan Sarawak.

Ada yang mahu membantah dan berfikir bukan-bukan di sini? Maaf, jika anda berasa ingin membuat begitu hamba tidak akan benarkan kerana INI BUKAN BLOG POLITIK. Sila main jauh-jauh.

Walau mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai manusia, namun pada hamba, secara peribadinya terdapat beberapa hikmah yang tersembunyi. Hanya manusia yang berfikir secara positif dan matang sahaja dapat mencari hikmah yang tersembunyi.

Tidak lama dahulu, Pengerusi DAP, Karpal Singh pernah menyatakan bahawa perlu untuk melangkah mayatnya dahulu jika mahu laksanakan negara Islam. Juga dikatakan Pengerusi terdahulu DAP, Lim Kit Siang mengatakan bahawa "mati Melayu" dan sebagainya.

Namun apa yang terjadi? Hari ini Islam membela mereka walaupun dengan hal yang kecil (dengan memberi kebenaran untuk menggunakan dua logo parti Barisan PR) dan ini menunjukkan dengan jelas bahawa Islam itu tidak pernah menunjukkan sebarang penentangan terhadap mereka walaupun banyak kata-kata yang tidak enak didengar daripada mulut mereka.

Hari ini Islam telah membela disaat mereka jatuh. Ini hikmah dan bukti yang Islam tetap terus berada di atas dan memadamkan desas desus yang mengatakan bahawa Islam dan Melayu akan jatuh. Ini buktinya. Islam dan melayu tetap berada di atas. Di tanah sendiri.

Allah SWT berfirman di dalam surah ali-Imran yang bermaksud : "Sesungguhnya agama yang diredhai Allah adalah Islam." Ditambah pula dengan sabda kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW yang membawa maksud : "Islam itu tinggi, tiada yang lebih tinggi darinya." Ini sudah dibuktikan pada kita hari ini sekaligus membuka mata pihak-pihak tertentu yang tidak percaya kepada agama Allah.

Jika sekalipun terdapat agenda yang tersembunyi oleh DAP, hamba yakin dan percaya bahawa mereka tidak mampu untuk melepasinya kerana ada agama yang tinggi, iaitu Islam. Tambahan di Malaysia. Islam yang dianuti oleh bangsa melayu di sini sangat menjaga agamanya. Jika sesuatu terjadi kepada Islam dan melayu, hamba yakin sesuatu yang besar akan berlaku. Apa yang penting, jika DAP mahu mengkafirkan bumi Malaysia ini, maka hamba pasti dan sangat yakin bahawa Melayu Islam akan bangkit dan tahu apa yang perlu dibuat kepada mereka.

Sempena PRU13 yang akan datang ini, ingin sekali hamba ingatkan kepada sahabat-sahabat di luar sana yang bertugas untuk berkempen supaya :

- Jangan fitnah memfitnah
- Jangan maki memaki/menghina
- Jangan mencarut
- Jangan bergaduh/bertumbuk dan sebagainya
- Jangan memutuskan silaturrahim antara muslim
- Jangan menampakkan akhlak yang buruk
- Jaga adab sesama manusia
- Jangan sekali-kali menjatuhkan satu sama lain
- Jangan mencaci/menghina ulama.
- Dan jangan lakukan perkara-perkara yang boleh menjatuhkan imej islam walau apapun parti yang dipangkah.

Akhir kalam, semoga PRU kali ini dijalankan dengan lebih matang dan bakal pemimpin yang akan datang ini akan lebih memahami Islam dan keluh kesah rakyat di bawah pimpinannya.

Semoga Allah redha.

Allahu a'lam.

P/S : Ini bukan blog politik. Jika nak cakap kotor sila main jauh-jauh dari blog hamba.








Wednesday, April 10, 2013

Buat Kamu. Ya Kamu.

Bismillah.

Ini ada satu coretan buat kamu. Hamba titipkan, agar bila kamu melawat taman hamba, kamu baca dan jadikan ia sebagai kekuatan kamu.

Ini untuk kamu. Ya kamu, yang melawat taman ini. 
_______________________________________________________________

Hati kamu keliru
Ditambah pula lesu
Dengan kerja kamu yang bertalu-talu

Kamu rebah,
Duduk di sudut
Mengenang, lalu monolog sendiri
"Apa terjadi pada aku? Kenapa harus aku yang jadi begini?
Oh Allah, bantulah aku."

Dalam tidak sedar,
Ada air mata mengalir deras.

Mari,
Aku bisikkan kata-kata indah
Buat kamu hilang lelah.

Yang namanya manusia, pasti diuji
Yang namanya manusia, pasti teruji
Namun, setiap ujian itu pasti tidak melebihi kekuatan diri

Ada kalamNya menyebut yang bermafhum :
"Allah tidak membebankan seseorang melainkan
sesuai dengan kemampuannya"

Jangan mengeluh,
Jangan bersedih
Percayalah
Allah itu bersama kita.

Kita pohon kekuatan, tetapi Allah beri kesulitan untuk menjadikan kita kuat.
Kita pohon keteguhan hati, tetapi Allah beri masalah untuk diatasi.
Kita pohon keyakinan, tetapi Allah beri ujian untuk memantapkan iman dan jiwa.
Kita pohon cinta, Allah berikan insan yang tulus untuk didampingi.

Kadangkala kita tidak dapat apa yang diingini, namun kita sentiasa dapat apa yang kita perlukan..

Yang ikhlas,
Aku, hamba.

Imranburhanuddin
1:01am | TeratakAyahBonda | 10042013


P/S : Semoga berada dalam surga.



Sunday, February 3, 2013

Tiada Semalam, Tiada Hari ini.

Bismillah.

Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian Alam yang menciptakan alam dalam masa enam hari. Segala puji bagi Allah yang menciptakan manusia dalam pelbagai bentuk dan keadaan. Segala puji bagi Allah yang menciptakan Adan dan Hawa. Segala puji bagi Allah yang menciptakan cinta di dalam hati kita.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah jemu-jemu mengingati kita sebagai umatnya.

Alhamdulillah. Setelah sekian lama tidak menulis di sini, akhirnya hari ini Allah telah menggerak jemari comel ini untuk menulis kembali di teratak yang telah lama hamba tinggalkan untuk memuaskan nafsu di laman facebook dan melakukan sedikit penulisan.

Alhamdulillah, segalaya berjalan seperti biasa. Hari ini, hamba ingin berkongsi bersama-sama. tentang sejarah. Skop yang hamba ingin ketengahkan ialah sejarah tentang diri kita sendiri.

Hamba pasti, setiap daripada kita mempunya sejarah. Kalau tidak mempunyai sejarah, masakan terdapat buku-buku sejarah yang kita baca hari ini? Buku-buku sirah, buku sejarah sekolah dan lainnya. Semua dan setiap insan punya sejarah tersendiri. Cuma bagaimana dan apakah sejarah tersebut ia adalah berdasarkan daripada empunya sejarah dan diri itu.

Tidak terkecuali hamba, hamba juga mempunyai sejarah. Jika diceritakan mungkin tidak berkesudahan dan memakan masa sehingga seminggu dua bagi melengkapi suku daripada sejarah hamba. Itu baru sikit, kalau hamba ceritakan sejarah penuh hamba, hamba khuatir akan ramai yang berjanggut dan beruban kerana kisah sejarah hamba yang maha panjang dan berjela.

Siapa pun kita pada hari ini dan apa yang berlaku pada hari ini pada diri kita, ia adalah disebabkan sejarah. Manusia ada setengahnya berubah kerana sejarah hitam yang baik dan buruk. Manusia ada setengah berubah kerana sesuatu, mungkin wanita, material atau sebagainya. Yang penting perubahan itu adakalanya adalah berbentuk positif dan adakalanya negatif.

Namun kita harus berterima kasih kepada sejarah dan apa yang berlaku dahulu, kerana menjadikan kita seperti hari ini jika ia adalah perkembangan yang baik dan positif. Namun kita harus berduka jika apa yang telha dilakukan pada masa lalu mendatangkan penyesalan dan kesedihan yang tidak terhingga kepada diri kita.

Ya, sejarah kadangkala membuatkan kita berduka terlalu lama. Dan adakalanya sejarah membuatkan kita terus bangkit mencari kekuatan baharu walaupun terpaksa menelan duka yang amat pahit.

Kadangkala kesalahan kita pada masa lampau menyebabkan kita menyesal dan secara tidak langsung ia membuatkan kita lebih dekat kepada Allah. Kesalahan kita pada masa lampau kadangkala membuatkan kita selalu menangis dan menyesal tidak berkesudahan, tapi pernahkah kita dengar bahawa "Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada guna.". Hamba yakin hampir semua orang pernah mendengar dan tahu akan maksud perkataan itu. Hampir semua orang. Ya, kita tidak boleh kembali ke masa lampau dan kembali membetulkan apa yang telah kita lakukan dahulu walaupun ramai yang berhajat melakukan perkara itu jika diizinkan Allah. Namun, hidup ini harus berdepan dengan realiti bahawa masa itu tidak boleh diputarkan. Jika benar boleh diputarkan, maka sudah pasti orang yang sudah mati ingin kembali ke dunia dan melakukan amal ibadat yang banyak untuk menjadi bekalan di sana nanti. Seperti hamba katakan, hidup ini perlu berdepan dengan realiti.

Sakit bagaimanapun yang harus kita depani, ambillah ia dengan cara positif dan buatkan ia menjadi pembakar semangat supaya kita tidak melakukan lagi kesilapan dahulu yang telah menjadi sejarahyang amat pahit untuk kita telan.

Insyaallah bersambung jika diizinkan Allah.

Jika tidak, anggaplah ia adalah sebuah luahan hati hamba yang memujuk mereka yang sedang berduka dan janganlah bersedih. Allah bersama kita. Allah akan memeluk jiwaMu jika kamu sedang bersedih. Peluklah Allah dan Allah akan memeluk dengan amat rapat.

Kesedihan kadangkala menjadi jambatan untuk kita bertemu Allah.

Allahu a'lam.

P/S : Mencari Ikhlas.

P/S : Mood menulis, berkarya dan menyampaikan Islam. 



Wednesday, January 23, 2013

Tribute Untuk al-Marhumah Siti Hajar Ahmad Sabir. (Pelajar Ftmk UTeM)


Biar biasa di luar, luar biasa di dalam.
Itu sukar dicari,
Itu sukar ditemui

Biasa sahaja, namun punya hati yang besar
Allah mengambil dia
Kerna dia rindu Allah.
Itu sudah pasti
Dari bait kalimah bicaranya
Tika disoal :
"Kakak tak takut mati?"
Lalu dijawab :
"Tak, kakak sudah sedia."
Sambungnya lagi :
"Maafkan kakak, kerna dakwah kakak
tidak banyak umpama Sayyidina Muhammad"

Doa aku,
Semoga kamu ditempatkan
Bersama para ummahatul mukminin
Bersama para muqarrabun
Bersama para ahlul jannah
Bersama mereka yang Allah janjikan Syurga yang membahagiakan.

Sunday, August 19, 2012

Salam Idulfitri.

Bismillah.

Assalamualaikum.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahi al-Hamd.

Alhamdulillah. Hari ini sudah masuk satu syawal. Alhamdulillah., segala puji bagi Allah kerana telah memberikan kita sekali lagi peluang untuk terus hidup di muka buminya, menghirup udaranya, merayakan hari raya idulfitri bersama keluarga, isteri dan anak-anak tercinta, bagi yang dah kahwin la.

Bagi yang belum kahwin atau sedang bertunang, dengan famili masing-masing. Hoho.

Alhamdulillah, kita diberikan kesempatan untuk beribadah dengan hebat dan super pada ramadhan yang lepas. Di samping kita sibuk beribadah, ada saudara-saudara kita yang mati syahid hanya kerana mahu mendirikan solat sunat terawih, itu berlaku di Myanmar. Hebat bukan?

Hari ini, jangan lupa kepada saudara-saudara kita yang lain. Kita di sini bergembira, saudara kita di sana berperang, menegakkan haq, melawan kebatilan, menghapuskan kezaliman dan sebagainya. Jangan lupa pada mereka. Bantu mereka sekurang-kurangnya dengan doa. Doa adalah kekuatan orang mukmin.

Alhamdulillah. Hamba masih begini di syawal ini. Tiada baju baru. Hanya pakai jubah lama yang masih elok. Alhamdulillah, masih muat dan menandakan hamba masih lagi menten kacak dan hensem, Oh! Terima kasih Allah.

Alhamdulillah, tahun ini semua adik beradik beraya di rumah hamba. Meriah dengan bising anak-anak buah.

Alhamdulillah, tahun ini masih sama seperti tahun-tahun yang dulu. Serupa, tiada yang berbeza cuma tahun ini agak sibuk sedikit kerana mahu menyiapkan buah tangan yang pertama. Doakan semoga segalanya dipermudahkan.

Jangan lupa, selepas solat sunat idulfitri, jenguklah orang-orang yang sudah kembali lebih awal daripada kita. Sampaikan pahala al-Fatihah hamba untuk mereka. Semoga mereka mendapat manfaat.

Jangan lupa, sedekah, cari anak-anak yatim, orang fakir dan miskin, bantu mereka. Jangan lupa diri.

Akhir kalam, hamba, Mior Imran Hj Mior Burhanuddin mengucapkan selamat hari raya eidulfitri. Min al-Eid wa al-Faizeen. semoga  Allah menerima segala amalan kita . Eid mubarak.

Allahu a'lam.

P/S : Rindu.

P/S : Kerja.

Wednesday, May 16, 2012

Entah

Bismillah

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Yang mencipta langi tanpa tiang, yang mencipta bumi teguh di kedudukannya, yang menciptakan cinta tanpa dapat dilihat.

Hari ini hamba malas mahu menulis muqadimah yang panjang-panjang. Cukup sekadar anda tahu betapa hamba tetap terus memuji Tuan Punya Dunia walau hamba sangat-sangatlah jahat.

Alhamdulilah.

Hari ini Allah sekali lagi memberi peluang kepada hamba untuk terus menulis sesuat untuk tatapan sahabat-sahabat pengunjung blog hamba yang serba serbi tiada apa-apa ini. Hanya tulisan kecil yang tak sedap dibaca sahaja yang dapat anda lihat.

Alhamdulillah.

Hari ini 16 mei. Setiap tahun jika datangnya tarikh ini kita tidak lupa untuk mengucapkan, menghantar sms atu memberikan hadiah kepada orang yang banyak berjasa kepada kita. Tentu anda tahu bukan? Sudah tentu kepada guru kita yang banyak mengajar dan menjadikan siapa kita pada hari ini. Baik atau buruknya guru kita, mereka tetap guru kita. Jalan yang baik dan buruk telah diajarkan mereka kepada kita, cuma kita sahaja yang salah memilihnya jika jalan yang ditunjuk itu salah.

Jika anda-anda semua mahu tahu, hari ini adalah Hari Guru Sedunia. Seluruh dunia menyambut hari 16 mei ini. Hari yang memperingati semua guru-guru yang wujud di atas muka bumi ini.  Tanpa guru kita tiada apa.

Siapakah sebenarnya guru kita selain daripada guru yang mengajar kita di sekolah?

Jawapannya, Nabi Muhammad SAW adalah guru yang terbaik yang patut dijadikan contoh bagi semua pendidik yang ada di muka bumi ini. Kedua ibubapa kita juga adalah pendidik yang mendidik kita sehingga kita dewasa. Hatta kita sudah berkahwin juga, mereka adalah tetap guru kita.

Dikesempatan ini hamba ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada :

Guru-guru tadika di Taski ABIM al-Hidayah, Parit, guru-guru hamba di Sekolah Rendah Iskandar Shah Parit, guru-guru hamba di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN Cawangan 2, guru-guru hamba di Maahad Al-Aziz, Parit, guru-guru hamba di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Perak dan juga guru-guru hamba di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Hari ini seperti tidak ada mood untuk menulis tentang ini.

Terasa lelah sangat-sangat hari ini. Entah kenapa.

Maafkan hamba.

Allahu a'lam.


P/S : Ana mushtaq.

Saturday, May 12, 2012

Pelita

Bismillah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, tuhan yang menjadikan siang dan malam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, tuhan yang menciptakan cinta. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberikan kita lagi nafas untuk kita hirup di atas bumiNya.

Alhamdulillah.

Waaahh!!! Sudah agak lama meninggalkan dunia blog ini. Bak kata pepatah yang hamba cipta sendiri yang berbunyi, "Blog lain diupdatekan, blog sendiri menangis tidak diupdatekan." Ingat, kalau anda-anda semua nak copy pepatah hamba ini silalah kreditkan kepada hamba. Hoho!

Sedar atau tidak sudah hampir lima tahun hamba menceburkan diri dalam dunia blogger ini. Bermula daripada 29 May 2008 sehinggalah kini. Alhamdulillah, dah besar blog hamba ini. Tahun depan boleh masuk tadika dah. Hoho lagi!

Dalam blog ini banyak yang telah hamba coretkan, luahkan, kongsikan. Ada yang panas, ada yang menjadi bahan bualan, ada yang menjadi rujukan (ada ke?) dan berbagai lagi. Selama hampir lima tahun ini jugalah, blog hamba telah mencapai rating yang amat tinggi. Dalam sehari tidak kurang daripada 100,000 pengunjunga yang melawati laman blog hamba. Alhamdulillah, kalau jual blog ini dah boleh nikah dah. Blog hamba mahal tahu? Cuba anda semua lihat di sebelah kiri atas, boleh tengok berapa harga blog hamba. Blog anda ada harga mahal yang begitu? Hoho!

Di blog ini juga banyak kenangan yang tercipta. Dari mula indahnya perhubungan yang pernah dicipta sehingga putusnya ia kerna asbab yang tertentu. Sekarang masa untuk beliau bahagia dan senyum kembali terukir. Ok, kita tinggalkan cerita itu kerna sememangnya tidak layak hamba untuk menagih bahagia daripada tuhan kerna hamba adalah hambaNya.

Ok, nak cerita sikit. Pada 28 April yang lalu hamba dan famili telah ke PWTC untuk menghadiri Pesta Buku Antarabangsa dan untuk pengetahuan anda, ini adalah program tahunan kami. Alhamdulillah, banyak juga buku-buku yang hamba borong tetapi ada juga buku yang hamba tidak dapat dan ada la benda-benda yang hamba tidak dapat. Oh ya! Kebetulan pada tarikh itu telah diadakan satu perhimpunan yang dinamakan Bersih 3.0 yang diadakan di Kuala Lumpur. Pada hari itu banyak jalan yang ditutup dan disekat atas faktor-faktor tertentu. Sebelum sampai di Kuala Lumpur, hamba bertoak daripada Stesen Keretapi Ipoh pada pukul 5.30 pagi. Pepagi buta lagi kami dah bertolak ke Ipoh daripada teratak hamba di Kampung Tanjung Ara, Parit, Perak. HAHA!

Kami naik tren apa? Sudah tentu kami naik tren ETS. Laju bapak tak ingat pastu cerita yang sama diulang-ulang dalam tren tu. Hoho. Apa yang hamba nak ceritakan di sini ialah semasa perjalanan kami ke Kuala Lumpur pagi itu, hamba dapat melihat kumpulan manusia yang agak ramai. Sebelum-sebleum ini hamba tidak pernah lihat situasi seperti ini. Agak ramai dan mungkin kebetulan juga ada yang mahu pergi ke PWTC atas niat yang sama seperti hamba. Di dalam gerabak yang sama dengan hamba dan cuma selang beberapa tempat duduk, wajah yang hamba kenal semasa menuntut di Ipoh suatu ketika dahulu. Beliau adalah YB Nga Kor Ming, Setiausaha Agung DAP kalau tidak silap hamba. Dengan senyuman yang tidak putus-putus dari bibirnya beliau bersalaman dengan semua orang yang ada dalam tren itu. Kecuali wanita. Ok? Ada apa dengan beliau? Ya! Mestilah ada apa-apa masakan kenapa hamba mahu menceritakan tentang hal in dalam blog hamba. Hal politik pula tu.

Baik, secara terus terangnya hamba dapat simpulkan yang keseluruhan undi akan dapat kepada beliau la. Kenapa? Sebab dia seorang Cina yang mungkin beragama Buddha atau Kristian tetapi beliau mampu memberi salam dengan lafaz yang begitu tepat, menyebut perkataan Insyaallah dan sebagainya lagi dan alangkah bagusnya jika beliau seorang muslim? Tentu beliau akan lebih hebat lagi bukan? Terbaharu hamba melihat gambar beliau dan seorang lagi Ahli DAP yang menghadiri kuliah Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, menteri besar Kelantan. Hebat bukan? Bagaimana seorang yang bukan muslim mendengar kuliah tentang Islam! Kita? Masih jauh dengan kuliah dan masih tidak mahu lagi menerima kebenaran-kebenaran yang ada dalam Islam serta masih mahu lagi duduk menegakkan yang batil. Kita masih tidak mahu mendekatkan diri kita dengan orang-orang yang membawa kita kepada Allah. Namun perlu hamba ingatkan, ramai yang membawa kita kepada Allah tetapi dengan cara yang sesat. Contoh? Ajaran sesat la.. Apa lagi? Hoho. Dan juga pasangan-pasangan yang salah. Owh Yeah!

OK. Hamba malas tulis lagi. Nak bersiap-siap ke Ipoh, beli jubah.

Oh ya, sebelum terlupa hamba sedang dalam proses membikin buku tentang fotografi. Doakan hamba berjaya ya?

Allahu a'lam.

P/S : Sumpah rindu!

Thursday, April 12, 2012

Terima Kasih Allah Kerana Sayangkan Kami, hambaMu.

Bismillah.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi. Segala puji bagi Allah yang menciptakan siang dan malam dan peraturan yang tidak pernah disalahkan. Segala puji bagi Allah yang menciptakan Adam dan Hawa. Segala puji bagi Allah yang menciptakan segalanya tanpa ada cacat cela.

Alhamdulillah, pada pagi ini mula menulis semula setelah diberikan kekuatan yang dipinjamkan olehNya. Alhamdulillah, hamba menulis semula setelah beberapa lama hamba tidak menulis lantaran kekangan waktu semasa berada di KUIS dan kesibukan semasa menghadapi peperiksaan akhir semester pertama di KUIS. Alhamdulillah, segala berjalan dengan baik dan lancar. Saat ini, sudah hampir sebulan hamba berada di rumah, membantu apa-apa yang patut, bertugas semula di tempat lama secara sementara, menghabiskan beras yang banyak di rumah, menghabiskan makanan yang ada di rumah, menghadap laptop, berfotografi dan mencari idea untuk menulis semula.

Alhamdulillah, Kita masih lagi diberikan nafas yang panjang untuk menghirup udara segar yang dibekalkan oleh Allah SWT kepada hidup kita tanpa perlu kita membayarnya di mana-mana kaunter yang dibuka Allah.

Petang semalam, lebih kurang pada pukul 4:00 - 4:45 petang, Malaysia digemparkan dengan gegaran di Pulau Pinang, Perak, Indonesia, India dan sebahgian lagi tempat. Gegaran itu mencecah 8.9 Skala ritcher. Agak kuat berbanding semasa Tsunami 24/12/2006 yang lalu. Kali ini gegaran itu turut dirasi di kampung hamba, tapi yang peliknya hamba tak rasa goyang pun, mungkin sebab faktor berat badan yang agak bertambah buat masa ini kerana menghabiskan beras di rumah? Tapi di Perak, Manjung dan Teluk Intan adalah tempat yang dirasai pada petang itu. Hamba juga mempunyai sahabat yang belajar di Banda Acheh, Indonesia dan mengikuti perkembangan mereka. Alhamdulilah semuanya selamat. Rata-rata di Facebook juga ramai yang berbicara dan menulis status tentang kejadian ini. Banyak status-status yang menulis tentang meminta untuk solat hajat dan lain-lain lagi perkara yang dilihat sebagai positif.

Apa hikmah atas kejadian yang berlaku ini? Pada pandangan hamba, Allah punya asbab tertentu mengapa kejadian ini berlaku. Hikmahnya, Allah menegur kita secara terus. Mungkin terlalu banyak kelalain yang telah kita lakukan atas muka bumi ini dan juga ia mungkin sebagai tanda amaran Allah kepada kita.

Jadi apa yang harus kita lakukan?

Terserah pada anda semua dan yang pasti hamba sangat takut sebab hamba orang yang banyak dosa dan takut nak jumpa tuhan dalam keadaan yang sangat-sangat sikit amalnya. Ayuh sahabat-sahabat, perbanyakkanlah amalan kita. =)


Allahu a'lam.