Showing posts with label Dari Akhbar Tempatan. Show all posts
Showing posts with label Dari Akhbar Tempatan. Show all posts

Friday, April 2, 2010

Selamat Bertemu Allah

Bismillah..

Pagi ini selepas hamba berjalan mencari rumah sewa di Taman Cempaka, Ipoh, hamba membeli akhbar Harian Metro. Tajuk hadapannya 'Bernafas Dalam Lumpur' . Dah macam lagu Awie la pulak! Sekali hamba tengok orang tertimbus di dalam lumpur. Lebih menyayat hati, si mati itu almarhum di dalam keadaan rukuk. Menyayat hati ke? Rasanya, beruntunglah beliau kerana meninggal dalam keadaan solat. Moga-moga solat beliau yang terakhir diterima Allah.

Keduanya, pelawak dan juga DJ Radio Era, Din Beramboi meninggal dunia akibat denggi berdarah selepas empat hari di dalam keadaan kritikal yang mana kondisinya pada waktu itu sangat teruk. Moga-moga Allah tempatkan beliau di dalam kelompok hamba-hambaNya yang paling hampir denganNya.

Setiap hari pabila hamba membuka akhbar mesti ada orang yang meninggal. Mengikut bahasa yang agak 'kerek' sikit, mungkin sekarang ini sedang musim orang meninggal dunia. Meninggal dunia ada musim ke? Macam musim demam gitu? Mana ada.. Maut itu setiap hari berada dengan kita. Malaikat maut itu sentiasa memerhatikan gerak geri kita dan menunggu masa bilakan arahan untuk mengambil nyawa diberikan.

Sungguh, kematian itu pasti. Kita tidak boleh untuk minta kepada Allah agar dipercepatkan kematian kita atau dilambatkan beberapa saat.

Hamba merasa hairan, ada satu waktu dahulu seorang yang dikenali mengatakan boleh menangguhkan kematian. Makna kata, beliau lebih hebat daripada Malaikatul maut. Boleh minta ditangguhkan kematian. Kalau macam itu, hamba juga mahu menemui beliau dan minta dipercepatkan kematian hamba kerna hamba tidak sanggup lagi untuk hidup di dunia yang penuh dengan kesakitan. Boleh macam itu?

Apa yang pasti dan seperti mana kita tahu, kematian itu pasti ada dan hampir dengan kita cuma belum tiba lagi saatnya Allah mengutuskan malaikat maut untuk dicabutkan nyawa kita. Tunggulah saatnya. Sementara menunggu saat itu, marilah kita sama-sama memperbaiki diri dan amalan kita. Berbaik-baik sesama kita. Senangkan hati orang-orang yang kita kasihi. Cepat-cepatlah bayar hutang, (pesanan untuk diri hamba nih!)

Akhir kalam, Selamat Bertemu Allah.

Allahu a'lam..

Sunday, January 17, 2010

Harga Diri Ditentukan Oleh Takwa, Iman

APAKAH perbezaan taraf hidup menentukan harga atau nilai kehidupan manusia. Itulah persoalan sering dibincangkan secara serius oleh banyak pihak. Walau apa sekalipun keputusannya, taraf hidup tetap mempunyai pengaruh besar dalam menentukan nilai kehidupan manusia.

Hari ini, secara mudahnya, darjat kehidupan manusia dibahagikan kepada beberapa golongan iaitu kaya, pertengahan, miskin dan terpinggir.

Berdasarkan pemerhatian, sudah menjadi adat kehidupan, golongan berpendapatan tinggi serta berpangkat mendapat sanjungan manakala yang miskin juga terpinggir sering mendapat laluan sukar dan terpaksa berhempas pulas mencari kesenangan hidup.

Akhirnya, ada golongan mengambil kesempatan terhadap yang terkebelakang lalu mereka ditindas, dianiaya, dizalimi dan pelbagai perkara negatif lain.

Firman Allah SWT dalam surah asy-Syura ayat 42: “Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar.

“Mereka itulah orang yang beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya,”. Hakikatnya, Allah SWT memberikan kita banyak kesempatan dan pelbagai lagi tanpa kita pinta tetapi jarang mensyukurinya kerana segelintir daripada kita merasakan ia hasil penat lelah sendiri.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang diberi suatu kebaikan hendaklah ia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya ia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenang budi yang diberi dianggap sebagai kufur nikmat,” (Hadis Riwayat at-Tabrani).

Oleh itu, walau setinggi mana darjat seseorang atau semewah mana mereka, jika tidak bersyukur, memandang hina golongan yang dianggap tidak setaraf dan sebagainya, ia tetap tidak bererti di sisi Allah SWT.

Kita bertanggungjawab dan perlu bersifat amanah sepenuhnya terhadap kehidupan manusia atau nasib diri kita sendiri. Harga dan nilai sebenar kemuliaan seseorang tidak terletak pada taraf kekayaan atau kebesaran pangkat kerana ia hanya sementara.

Dalam Islam, harga diri adalah berdasarkan ketakwaan dan keimanan. Sifat ketakwaan itu akan menentukan nilai dan harga diri seseorang mulia di sisi masyarakat dan Allah SWT sepanjang masa.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak mungkin berkumpul iman dan kufur dalam jiwa seseorang dan juga tidak mungkin pula bersatu sifat jujur dan dusta padanya sekali gus sebagaimana tidak mungkin bersama sifat khianat dan amanah padanya dalam satu masa,” (Hadis Riwayat Ahmad)

-Harian Metro-

Monday, November 23, 2009

Haji Mabrur

TERLALU besar ganjaran buat jemaah haji yang berjaya 'membawa' pulang bersama haji mabrur.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Kesalahan yang berlaku di antara umrah itu diampunkan, manakala haji mabrur pula tidak ada balasan baginya melainkan syurga." (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).


Dari segi bahasa, mabrur mempunyai dua makna. Pertama bererti baik, suci dan bersih. Kedua bererti diterima dan mendapat keredaan Allah s.w.t.

Haji mabrur adalah haji yang membawa kebaikan kepada orang yang melakukannya. Menurut pendapat sebilangan ulama, haji mabrur tidak sesekali bercampur dengan perbuatan dosa sama ada kecil mahupun besar.

Orang yang memperoleh haji mabrur sentiasa kuat imannya serta semakin meningkat amal ibadatnya. Tetapi hakikatnya, bukan mudah untuk melayakkan kita menerima haji mabrur kerana ia menuntut keikhlasan dan kerja keras ketika melaksanakan tuntutan berkenaan.

Ketika melaksanakan ibadat haji, jemaah pasti diuji dengan hebat oleh syaitan dan iblis yang tidak berhenti menghasut serta menggoda hati manusia supaya lekas jemu dan tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan setiap perkara kebaikan.

Walau apa cara sekalipun, kita perlu gagahi segala bentuk gangguan itu dengan 'merangsang' diri melakukan seberapa banyak amalan kebaikan yang disertakan niat suci dan ikhlas.

Akhirnya kita berjaya menghalang kesemua godaan itu dengan tenang. Sesuai pula dengan laungan 'Labbaik Allahumma Labbaik' (Ya Allah aku datang memenuhi panggilan-Mu) iaitu menandakan setiap jemaah berasa diri mereka bertuah kerana menjadi sebahagian daripada jutaan umat yang terpilih menjadi tetamu pilihan Allah.

Dalam menentukan sama ada haji itu mabrur atau tidak, hanya Allah s.w.t yang lebih mengetahui. Tetapi ia sebenarnya dapat dirasai sendiri selepas kehidupan mula berubah menjadi lebih baik berbanding sebelum menunaikan haji.

Terdapat banyak tanda bagi golongan yang mendapat haji mabrur, antaranya amalan serta pengetahuan agamanya semakin meningkat hasil daripada usaha berterusan menambah pengetahuan agama.

Mengerjakan solat di masjid secara berjemaah perlu diteruskan secara berterusan (istiqamah). Jika sebelum ini lebih gemar mengerjakan solat secara bersendirian, pertingkatkan langkah dengan menjaga waktu sembahyang dan meluangkan masa bersolat berjemaah.

Amalan membaca al-Quran perlu dimasukkan ke dalam jadual harian. Setidak-tidaknya, membaca beberapa potong ayat al-Quran dan jika masih terdapat kekurangan dalam pembacaan, disarankan mencari guru supaya bacaan bertambah baik.

Menghadiri majlis ilmu boleh mendekatkan diri dengan Allah, malah lebih baik jika ilmu yang dipelajari itu dimanfaatkan kepada orang lain. Antara cara lain, mendengar program bual bicara agama di televisyen atau radio yang mampu meningkatkan kesempurnaan dan kefahaman dalam beribadat.

Pengisian dengan solat sunat juga salah satu amalan yang patut dilakukan. Jika sebelum ini, liat mengerjakan solat seperti hajat, taubat, tasbih serta tahajud, jadi sebagai usaha penambahbaikan, solat sunat ini dapat mengimbangi kekurangan ibadat wajib.

Selain itu, ia mampu membantu diri ke arah pembentukan sahsiah Muslim yang unggul, ampuh dan sejati. Dari segi pertuturan pula, haji mabrur memperlihatkan perubahan jelas dalam percakapan, tingkah laku, pergaulan serta cara berpakaian.

Tutur kata mencerminkan sifat sebenar diri seseorang. Semakin kotor dan biadab kata-kata, maka semakin tidak bermutu diri kita.

Nabi Muhammad s.a.w seorang yang paling benar bicaranya, biarpun sedikit kata-katanya, ia cukup berhikmah dan bernilai. Seorang haji mabrur sangat memilih kata yang bakal diucapkan. Tidak sewenang-wenangnya dia melemparkan kata-kata kesat, memperlekehkan individu lain serta berasa bongkak dengan kehidupan yang dimilikinya.

Selain itu, Allah s.w.t menjanjikan, tidak akan menjadi fakir kepada mereka yang menunaikan haji. Malah sekembalinya mereka dari Tanah Suci, akan bertambah rezeki serta makin tenang hatinya.

Menurut perunding motivasi dan penceramah, Ahmad Shukri Yusoff, untuk mendapat ganjaran haji mabrur, ia memerlukan komitmen tinggi iaitu perlu menjaga setiap rukun dan wajib haji dengan berkesan.

"Perkara yang boleh dicontohi ialah bagaimana jemaah haji dulu (datuk nenek) menjadikan pemergian mereka ke Tanah Suci sebagai puncak kehidupan mereka.

"Mereka menjadikan peluang mengerjakan ibadat haji dengan penuh kesungguhan, akhirnya pulang ke tanah air dengan membawa perubahan diri yang besar," katanya.

Ahmad Shukri berkata, perubahan menuntut pengorbanan yang besar dan tidak semestinya berlaku secara drastik. Namun usaha untuk memperbaiki diri sentiasa disemat bagi memungkinkan ia tercapai.

"Perubahan tidak akan berlaku sekelip mata dan proses memperbaiki diri ini memerlukan komitmen dan masa.

"Jemaah haji perlu menjadikan tujuan mereka ke Tanah Suci sebagai perjalanan rohani bagi mendapatkan nikmat kemuncak iaitu haji mabrur," katanya.

Ahmad Shukri berkata, individu yang pulang mengerjakan haji tanpa sebarang perubahan ke atas dirinya, bermakna dia bukan seorang 'haji'.

"Dari segi tanggungjawab terhadap agama dan rukun haji itu sendiri memang sudah terlaksana, namun ia perlu sesuai dengan gelaran haji yang mereka terima.

"Sebagai contoh, sebelum mengerjakan haji dulu, dia seorang yang panas baran serta pemarah tetapi selepas menunaikan haji, sifatnya beransur baik dengan memberikan perhatian dan kasih sayang kepada keluarga, rakan dan orang di sekelilingnya. Itu jelas menandakan hajinya diterima Allah s.w.t ," katanya.

Katanya, jika dia sedang berkecimpung dalam perniagaan, selepas mendapat haji mabrur, dia tidak lagi terbabit dengan perkara atau aktiviti salah.

"Perniagaan bukan saja untuk membantu diri serta keluarga, malah dapat melebarkan peluang pekerjaan kepada umat Islam lain," katanya.

Amat malang jika terdapat segelintir individu yang berkesempatan menunaikan haji pada usia muda tetapi menjadikan gelaran itu sebagai lambang kemegahan dan terang-terangan bersifat sombong serta bongkak.

Oleh itu, jadikan pengembaraan haji sebagai satu perjalanan 'meleburkan' segala dosa silam dan beriltizam menjadi insan yang lebih baik.

Untuk itu, elakkan diri daripada perkara 'jidal' (pertengkaran atau perbalahan) sepanjang berada di Tanah Suci. Ia nampak kecil, namun kesannya cukup besar dan boleh 'menidakkan' seseorang itu mendapatkan haji mabrur.

Pertengkaran boleh menyakiti hati insan lain dan menyebabkan pelakunya berdosa. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah berkata baik atau diam."

Jemaah haji perlu tekun mengerjakan solat jemaah, membaca al-Quran di Masjid Nabawi dan seterusnya mengekalkan amalan selain ditambah dengan tawaf sunat dan umrah silih berganti sehingga selesai menunaikan ibadat haji sepenuhnya.

Monday, August 17, 2009

Ana dah kahwin!


KUALA KUBU BHARU: “Ana harap semua kemelut dan gosip dinoktahkan dengan ijab kabul. Ini (pernikahan) juga doa daripada kalian semua (wartawan),” kata penyanyi, pengacara dan penceramah bebas, Akhil Abdul Hai atau lebih dikenali sebagai Akhil Hayy selepas selamat diijab kabulkan dengan penyanyi Waheeda, semalam.

Akhil, 40, menganggap pernikahan mereka sebagai ketentuan Allah selepas berdepan dengan pelbagai tohmahan sebelum ini.

“Sebelum ini ana ada menyatakan senang dengan sikap dia (Waheeda) dan tuan punya dunia membuka pintu hati ana untuk kembali berumah tangga selepas berstatus duda.

“Ana tidak boleh kata tiada perasaan cinta (kepada Waheeda) kerana Allah mencampakkan ke hati setiap manusia rasa kasih sayang dan ini satu amanah berat kepada ana, bukan saja untuk membimbing Waheeda malah keluarga,” katanya ketika ditemui selepas majlis akad nikah mereka di Majlis Jamek Ar-Rahimah di sini, semalam.

Pasangan itu dinikahkan Pendaftar Nikah dan Cerai Pejabat Agama Islam Hulu Selangor, Zulkhairi Jaid dan dengan sekali lafaz, Akhil dan Waheeda atau nama sebenar, Norwahidah Abdul Wahab, 31, sah sebagai suami isteri tepat jam 12 tengah hari.


Turut menyaksikan majlis ijab kabul itu ialah bapa Waheeda, Abdul Wahab Yusuf, 58, ibunya, Asri Othman, 58, ibu Akhil, Azizah Daud, 72, dan dua anak Akhil, Siti Nur Maisarah, 12, dan Mohd Syarif Idayatullah, 11.

Pada majlis pernikahan yang dihadiri saudara terdekat itu, tiada wang hantaran diberikan, sebaliknya pihak lelaki menyediakan senaskhah al-Quran. Rombongan lelaki juga memberi tujuh dulang hantaran dan dibalas 11 dulang oleh pihak perempuan.

Majlis itu menjadi hiba apabila Waheeda menitiskan air mata ketika bersalaman dengan ibu bapanya selepas selamat diijab kabulkan.

Akhil berkata, dia bersyukur kerana majlis itu berjalan lancar selepas banyak perkara ditempuhi, malah tidak menyangka ia dihadiri ramai saudara terdekat kerana cadangan asal mahu melaksanakannya secara kecil-kecilan.

“Mulanya kami mahu melangsungkan majlis ini pada 21 Ogos bagi mendapat keberkatan Ramadan, tapi keluarga mahu ia diawalkan.

“(Selepas ini) saya berharap semua peminat Waheeda dapat mendoakan kebahagiaan kami. Kami mahu menutup buku lama dan membuka buku baru,” katanya.

Akhil bagaimanapun enggan memberi sebarang komen mengenai bekas isterinya, Maizawati Zainal, 33, dan terpulang kepadanya untuk berkata apa saja.

Sementara itu, Waheeda pula menegaskan dia tetap meneruskan hasrat bersara dari dunia seni dan hanya akan menumpukan perhatian kepada anak serta keluarga.

“Sebelum ini (pakar motivasi) Datuk Dr Mohd Fadzillah Kamsah ada menasihatkan saya bahawa dugaan yang lebih berat akan membuahkan ganjaran lebih besar daripada Allah.

“Biarlah selepas ini orang nak cakap apa pun kerana banyak lagi perkara lebih penting dalam hidup ini. Saya hanya mahu menghabiskan masa dengan keluarga,” katanya.

Mengenai hantaran senaskhah al-Quran, Waheeda berkata ia permintaan bapanya kerana itu pemberian paling lengkap.

Mengulas penyakit yang menimpanya, Waheeda berkata, keadaannya teruk sejak tiga bulan lalu, namun ia kini beransur pulih.

Pasangan itu akan mengadakan majlis persandingan pada 31 Oktober ini di Dewan Orang Ramai Bukit Jelutong, Shah Alam dan di tempat asal Akhil di Gopeng, Perak, seminggu kemudian.

Kontroversi mengenai keretakan rumah tangga Akhil mendapat liputan meluas media massa akhir Mei lalu berikutan Maizawati membuat pendedahan terbuka menerusi program televisyen.

Pasangan itu akhirnya bercerai pada 15 Julai lalu selepas Akhil melafazkan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Perak.

www.hmetro.com.my

Thursday, August 13, 2009

Dia Pergi Dijemput Ilahi..

Bismillah...

Alhamdulillah diucapkan kepada pencipta alam ini.Segala puji bagi tuhan kerna masih lagi memberi nafas.Terima kasih kepada Allah kerna masih lagi menyayangi kita dengan diberikan nyawa.Terima kasih kepada Allah kerna dihidupkan kita dengan kasih sayangNya.

Maafkan hamba yang selalu alpa ini.Sudah lama jari jemari ini tidak menari rancak di atas papan kekunci yang dipanggil keyboard dalam bahasa penjajahnya.Agak lama juga mutiara kalam dari Imam Nawawi dalam sebuah kitabnya yang dipanggil At-Tibyan Fi Adabi Hamalatil Quran tidak dapat diupdate dalam blog Imranulkhalis ini.Maafkan kekurangan hamba ini kerna sentiasa leka dalam urusan dunia ini.Sungguh..!!Maafkan hamba.Walaupun hanya beberapa kerat sahaja pengunjung blog Imranulkhalis ini namun pasti masih ada beberapa kerat pengunjung yang senantiasa menantikan update dari ana.

Sekali lagi...Maafkan ana.

Pertama sekali,sejak akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan beberapa kematian.Antaranya kematian pengarah yang(mungkin) dalam setiap filemnya sentiasa menunjukkan sikap perpaduan di negara Malaysia itu.Beliau ialah Allahyarhamah Yasmin Ahmad yang mana pemergiannya meninggalkan kesan yang paling mendalam.Daripada kesedihannya sehinggalah kontroversinya.Sesungguhnya kita ini pinjaman.Kita milik Allah.

Seterusnya,pada hari ini satu virus yang kita kenali sebagai virus H1N1.Kononnya virus ini dikatakan datanngnya dari seekor binatang yang disebut haram yang disebut dalam al-quran,iaitu ba alif ba ya(eja sendirik!)Sampai ke saat ini virus tersebut yang datangnya dari luar negara telah meragut lebih dari 40 nyawa.Sesungguhya kita ini pinjaman.Kita milik Allah.

Hari isnin yang lalu,kami para jemaah di Masjid Taman Kledang Jaya,Silibin,Ipoh Perak telah kehilangan seorang yang kami sayangi.Beliau ialah Tuan Haji Yunus Bin Abdul Hamid.Beliau meninggal selepas asar.Moga Beliau ditempatkan bersama orang yang soleh.

seterusnya hari ini,hari khamis 13/08/09 negara kita dikejutkan dengan kehilangan seorang permata dalam industri dakwah alternatif atau nasyid.Beliau ialah Allahyarham Al-Fadhil Ustaz Mohd Asri bin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Ust Asri Rabbani.Beliau yang sedang menjalani rakaman program Syahadah di RTM, rebah, dipercayai akibat serangan jantung. Ustaz Asri Ibrahim dibawa ke Hospital Pantai dan diisytiharkan meninggal dunia di situ.


Kehilangan Ustaz Asri Ibrahim amat dirasa kerana beliau dan nasyidnya di dalam kumpulan Nadamurni dan kemudiannya Rabbani, telah saya dampingi semenjak di usia kecil. Nasyidnya, zikirnya, doanya, malah tazkirah dan nasihatnya, adalah peneman diri dalam kehidupan dan perjuangan. Moga segalanya menjadi amal kebaikan peneman diri beliau dalam kembara pergi tak kembali itu.

Seterusnya,ana masih lagi di dalam pembikinan menulis sebuah novel.Jadi harapnya novel itu dapat disiapkan hujung tahun ini.Moga Allah sentiasa memberi kekuatan untuk ana menyiapkan sebuah novel yang secara tidak langsung memberi pendekatan islami dan secara tidak langsung ana dapat dapat berdakwah dalam menyampaikan agama islam.Moga usaha ini dikira sebagai jihad di jalan Allah.

Moga bertemu lagi..

Allahu a'lam....

Wednesday, May 27, 2009

Lima jenis sabar

SABAR adalah satu sifat manusia. Ia bererti menahan dan menanggung diri daripada perkara yang tidak disukai Allah kepada yang disukai atau menahan dan menanggung diri daripada yang disukai nafsu kepada yang disukai Allah.

Berpandukan kepada pengertian itu, sabar adalah satu istilah yang mengandungi pelbagai makna dan nama.


Contohnya menahan diri di medan perang disebut berani (as-saja'ah), lawannya bacul (al-jubn), manakala menahan diri daripada suatu keinginan nafsu Arabnya disebut 'dabtun nafs' dan lawannya 'al-batr'.

Sabar adalah senjata terpenting manusia, lebih-lebih lagi diri manusia sentiasa menghadapi pelbagai ujian. Dengan sifat ini membolehkan manusia mengatasi ujian dan mencapai kejayaan.

Banyak nas yang memerintah kita bersifat sabar, antaranya bermaksud: "Hai orang-orang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung." (Ali-Imran:200)

Cendekiawan membahagikan sifat sabar kepada beberapa jenis, iaitu:

1. Sabar terhadap kesusahan dan bala bencana yang menimpa pada manusia biasa, bahkan di kalangan nabi.

Antara yang dirumuskan al-Quran ialah sabar dalam bentuk ini termasuklah bersabar dengan kefakiran atau kelaparan, bersabar terhadap kesakitan, ketika peperangan dan ketakutan, kerana kehilangan wang, kehilangan jiwa dan harta benda.

2. Sabar terhadap keinginan nafsu yang menjadi urusan syaitan. Antaranya sabar atas tarikan dan runtunan nafsu yang rendah dan hina, termasuk bersabar dari menurut perasaan marah.

3. Sabar terhadap kemewahan. Ini termasuk bersabar terhadap kenikmatan orang lain, seperti orang kafir dan golongan taghut yang pada lahirnya nikmat tetapi pada batinnya adalah azab.

4. Sabar terhadap ketaatan yang sememangnya banyak halangan. Nafsu itu tabiatnya liar dan tidak suka kepada pengabdian, malah malas pula untuk melaksanakan amal ketaatan.

Kesabaran ini memerlukan tiga peringkat:

# Sebelum dapat melaksanakan sesuatu ketaatan, perlulah memperbaiki niat dan ikhlas, sabar daripada riak yang merosakkan dan sabar untuk menguatkan keazaman.

# Ketika mengerjakan ketaatan, hendaklah sentiasa berjaga dan berwaspada daripada faktor yang boleh melemahkannya.

# Selepas mengerjakannya hendaklah bersifat sabar daripada melakukan suatu yang membatalkan amal ketaatannya.

5. Sabar terhadap kesusahan berdakwah ke jalan Allah. Dakwah ke jalan Allah adalah suatu usaha mulia dan suci. Ia adalah warisan daripada rasul dan nabi, mempunyai halangan dari musuh kebenaran dan kebaikan.

Harus diingat, dakwah kepada jalan Allah dan agama-Nya sangat bertentangan dengan keinginan dan hawa nafsu, dengan adat dan tradisi, keseronokan dan kerehatan, pangkat dan kedudukan, bahkan kekayaan dan kekuasaan.

-Harian Metro Online-

Tuesday, March 24, 2009

11 jenis manusia didoa malaikat

Tazkirah Remaja: 11 jenis manusia didoa malaikat
Bersama Mohd Zawawi Yusoh

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan.

Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.


Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat.

Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.

Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:



1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."


2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"


3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."


4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."


5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."


6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."


7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

"Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?"

Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'"


8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"


9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...'"


10. Orang yang sedang makan sahur.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."


11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama.

(Copyright From Harian Metro)

Wednesday, February 11, 2009

Sambutan Hari Kekasih cemar budaya Islam



Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

DALAM era penuh cabaran masa kini, umat Islam diserang pelbagai gejala yang cukup menggawatkan. Anak muda semakin hanyut dibuai budaya Barat yang semakin parah dan tiada menunjukkan graf penurunan.

Mengambil contoh sambutan Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang akan diraikan beberapa hari lagi, ia bukti bertambahnya penghakisan peradaban Melayu.

Nampaknya bagi sesetengah pihak, apa saja daripada budaya Barat dianggap moden dan seharusnya dijadikan ikutan tanpa melihat mengenai hukum halal dan haramnya.

Saban tahun ulama dan cerdik pandai Islam memperingatkan umat Islam supaya menghindari daripada turut sama merayakan Hari Kekasih, tetapi ternyata, seruan itu seakan-akan tidak diendahkan langsung bagai mencurah air ke daun keladi.

Kita sedih melihat anak muda Islam beria-ria menyambutnya penuh bangga, malah sentiasa menunggunya setiap tahun.

Satu persatu budaya ‘jahiliyah moden’ Barat menjadi budaya anak muda. Sambutan Hari Kekasih yang diraikan pada 14 Februari setiap tahun berakar umbi sejarahnya daripada sumber Kristian.

Jadi, ia sangat bercanggah dengan Islam dan tidak sesuai diraikan. Kita seharusnya melihat kembali sejarah wujudnya Hari Kekasih agar kita tidak mudah terjerumus dalam situasi yang boleh menggugat iman.

Sejarah Hari Kekasih ada beberapa versi sumbernya dan di sini diceritakan semula supaya kita dapat memahami secara jelas betapa terpesongnya anak muda jika turut sama meraikannya.

Mengikut sejarah, Valentine seorang paderi yang mempunyai pengaruh besar pada zaman pemerintahan Ratu Isabela di Sepanyol. Kedudukannya dikatakan kedua selepas paderi besar Pope.

Dikisahkan Valentine memainkan peranan ketika menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol.

Jasanya dianggap tidak mungkin dilupakan dan harus dihargai. Justeru, tarikh 14 Februari ditetapkan sebagai cuti umum untuk meraikan kemenangan diterajui Valentine setiap tahun.

Berdasarkan sumber sejarah asal-usul Hari Kekasih, jelaslah ia satu tradisi dalam agama Kristian dan sangat diraikan penganut agama berkenaan.

Persoalannya, kenapa pula anak muda Islam di Malaysia beria-ria sangat turut meraikannya?

Inilah akibatnya apabila mengikut budaya asing secara membuta tuli tanpa mengkaji sejarah.

Ingatlah pesan Rasulullah s.a.w bermaksud: “Sesiapa melakukan perbuatan menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk bersama golongan itu.” (Hadith)

Sekarang kita tinjau beberapa fatwa berkenaan sambutan Hari Kekasih. Fatwa Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor 2005 menyatakan: “Amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur Kristian dan amalannya bercampur dengan perbuatan maksiat bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Islamiah serta dilarang Islam. Oleh itu, umat Islam dilarang membabitkan diri meraikan hari itu.”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-71 yang bersidang pada 20-21 Syawal 1426H bersamaan 22-24 November 2005 di Kuching, Sarawak, menetapkan amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan Islam dan umat Islam dilarang meraikannya.

Jelaslah, dua fatwa berkenaan menegah sama sekali umat Islam merayakan Hari Kekasih.

Marilah kembali kepada kehidupan selari dengan kehendak Islam dan jangan lagi membiarkan diri dijajah budaya asing yang memesongkan akidah.

Sepatutnya budaya positif dari Barat wajar diteladani seperti aspek kebersihan, dedikasi bekerja dan budaya cintakan ilmu pengetahuan.

Budaya ‘berseronok’ seperti menyambut Hari Kekasih tidak patut dimasukkan dalam takwim perayaan kita. Jangan biarkan diri terus menjauhi dengan budaya Melayu dan nilai agama. Kesannya sangat buruk kepada keperibadian bangsa dan identiti negara.

Saidina Umar Al-Khattab pernah menyatakan: “Kita adalah satu bangsa dan golongan yang dimuliakan Allah apabila kita berpegang kepada ajaran Islam. Tetapi sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripada cara Islam, sudah tentu Allah akan menimpakan kepada kita kehinaan.”

Generasi muda sepatutnya sedar dan insaf beramal dan mengikut budaya selain Islam, terutama dalam meraikan hari tertentu boleh menjejaskan akidah dan menghakis keluhuran budaya tempatan.

Ingatlah firman Allah dalam Surah Faathir ayat 8: “Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh syaitan) lalu dia memandangnya dan mempercayainya baik.”

Sesungguhnya generasi muda Malaysia akan mengalami kerencatan pada masa hadapan jika mereka dibuai dan dihanyutkan dalam budaya yang tidak mendatangkan manfaat.

Mereka mesti bangkit menjadi benteng kukuh untuk kemajuan negara dengan keteguhan iman, akhlak mulia dan intelek unggul.

Adunan tiga elemen itu akan melahirkan warga muda yang dapat memacu negara ke arah kegemilangan.

Menurut Hasan Al-Bana: “Generasi muda adalah rahsia kehidupan bangsa dan sumber kebangkitan.”

Kata Sasterawan Negara, Arena Wati menerusi novelnya Sukma Angin: “Keimanan manusia, intelek dan cita rasa manusiawi itu bergantung jadi tenaga dalam diri individu memilih dan membina tamadun.”

-Sumber Harian Metro-