Showing posts with label Surat Cinta Allah. Show all posts
Showing posts with label Surat Cinta Allah. Show all posts

Tuesday, April 1, 2014

Semoga

Bismillah.

Syurga,

Semoga kamu melawat taman hamba

Dan kamu bacalah bait yang tercipta

Hanya untuk dirimu sahaja.

Syurga,

Demi Allah,

Hamba mencintaimu.

Hamba mahu menikahimu.

Kita sama-sama

Tuju Syurga Sana,

Kita sama-sama

Capai redha Allah.

Demi Allah.

Demi Allah.

Demi Allah.

Monday, March 31, 2014

Bagaimana

Bismillah.

Bagaimana hamba mahu kuat

Ketika kekuatan hamba berada pada dirimu,

Sedangkan engkau pula sudah hilang dari sisi hamba.

Wednesday, March 26, 2014

Keterkecewaan

Bismillah

Benar, memang kecewa.

Sepatutnya cincin yang disarung itu, adalah pemberianku.

Namun apa daya,

Hamba ini hamba Allah.

Hamba tiada daya, Allah punya segala upaya.

Hamba hanya mampu sedih, menangis dan berdoa.

Kalau-kalau taubat hamba diterima,

Kalau-kalau ada peluang kedua.

Tapi hamba rasa mustahil.

Bagaimana orang kotor macam hamba dimahu semula?

Allahurabbi. Allahurabbi. Allahurabbi.

Menangis airmata darah sekalipun,

Tidak mampu membawanya semula.

Berserah sahajalah.

Sunday, November 17, 2013

Buat Kamu Yang Keletihan

Bismillah..

Kamu bilang penat

Memikirkan segala yang kau lalui

Memikirkan segala yang kau tempuhi

Aku tiada apa untuk membantumu

Cuma aku ada satu pesan,

"Sabarlah, semoga ada kejayaan di akhir semua ini."

Kamu bilang "sampai bila?"

Aku cuma mampu jawab,

"Sehingga akhirnya."

Kamu mengeluh.

Aku bicara lagi,

"Andai kamu lelah, penat dalan ujian panjang ini,

Kamu pulanglah ke ribaan Tuhan, Allah.

Bila kita jatuh, ingat,

Dia yang akan membangukan kamu,

Dia yang akan memimpin kamu

Sehingga kamu tuju ke arah jayamu.

Sedikit sahaja lagi.

Teruskanlah.

Jangan terhenti separuh jalan.

Aku selalu di belakangmu."


Wednesday, April 10, 2013

Buat Kamu. Ya Kamu.

Bismillah.

Ini ada satu coretan buat kamu. Hamba titipkan, agar bila kamu melawat taman hamba, kamu baca dan jadikan ia sebagai kekuatan kamu.

Ini untuk kamu. Ya kamu, yang melawat taman ini. 
_______________________________________________________________

Hati kamu keliru
Ditambah pula lesu
Dengan kerja kamu yang bertalu-talu

Kamu rebah,
Duduk di sudut
Mengenang, lalu monolog sendiri
"Apa terjadi pada aku? Kenapa harus aku yang jadi begini?
Oh Allah, bantulah aku."

Dalam tidak sedar,
Ada air mata mengalir deras.

Mari,
Aku bisikkan kata-kata indah
Buat kamu hilang lelah.

Yang namanya manusia, pasti diuji
Yang namanya manusia, pasti teruji
Namun, setiap ujian itu pasti tidak melebihi kekuatan diri

Ada kalamNya menyebut yang bermafhum :
"Allah tidak membebankan seseorang melainkan
sesuai dengan kemampuannya"

Jangan mengeluh,
Jangan bersedih
Percayalah
Allah itu bersama kita.

Kita pohon kekuatan, tetapi Allah beri kesulitan untuk menjadikan kita kuat.
Kita pohon keteguhan hati, tetapi Allah beri masalah untuk diatasi.
Kita pohon keyakinan, tetapi Allah beri ujian untuk memantapkan iman dan jiwa.
Kita pohon cinta, Allah berikan insan yang tulus untuk didampingi.

Kadangkala kita tidak dapat apa yang diingini, namun kita sentiasa dapat apa yang kita perlukan..

Yang ikhlas,
Aku, hamba.

Imranburhanuddin
1:01am | TeratakAyahBonda | 10042013


P/S : Semoga berada dalam surga.



Wednesday, January 30, 2013

Maulidurrasul Dan Pemergian Siti Hajar Ahmad Sabir

Bismillah.

Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Segala puji bagi Allah, tuhan yang menciptakan alam dalam masa 6 hari. Segala puji bagi Allah, tuhan yang tidak jemu-jemu mendengar kita siang dan malam. Segala puji bagi Allah, tuhan yang penuh kasih sayangNya melebihi kasih sayang seorang ibu.

Selawat dan dalam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah jemu menyampaikan risalah dakwahnya kepada umat. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW yang diakhir hayatnya tidak pernah melupakan kita dan risaukan kita sebagai umatnya.

Alhamdulillah. Setelah sekian lama hamba meninggalkan blog ini. hari ini hamba diberi kekuatan oleh Tuan Punya Dunia untuk kembali menulis. Kononnya bertapa, tetapi lebih banyak berjimba di MukaBuku.

Beberapa hari yang lalu, kita menyambut Maulidur Rasul SAW. Hari dimana Rasulullah SAW dilahirkan. 12 Rabiul Awwal atau disebut juga sebagai Rabiul Anwar. Pada hari baginda dilahirkan seluruh alam bagaikan bercahaya dan bertasbih. Bonda baginda, Aminah melahirkan baginda dengan mudah sekali. Saat baginda disambut, tangannya seolah sedang bertasbih dan tiada tangisan yang keluar daripada mulutnya. Bahkan baginda juga dikhatankan sejak dalam rahim lagi.

Baginda dibesarkan dalam suasana keluarga yang sederhana. Tidak sempat melihat wajah bapanya. Bondanya juga kembali kerahmatullah saat pulang dari menziarahi makam suaminya, Abdullah. Tinggalah baginda seorang diri dan kemudian baginda dijaga oleh bapa saudara.

Sejak kecil lagi, baginda sudah mula sifat-sifat yang lain daripada kanak-kanak yang ada ketika itu. Itulah dia, Muhammad SAW. Yang sentiasa kasih, sentiasa melemparkan senyuman, lemah lembut, sangat menyayangi anak yatim dan baginda juga manusia agung.

Berapa ramai daripada kita yang mampu menitiskan airmata tatkala mengenang baginda? Berapa ramai daripada kita yang mampu mengalirkan airmata kerinduan ketika disebut nama baginda? Baginda kerisauan baginda terhadap kita?

Diriwayatkan, pada suatu hari ketika Baginda sedang duduk berkumpul dengan para sahabat, Baginda bertanya kepada sahabatnya, "Wahai sahabatku, tahukah kalian, siapa hamba yang mulia di sisi Allah?" 
Para sahabat terdiam, lalu salah seorang sahabat berkata : "Para malaikat Ya Rasulullah, merekalah yg mulia." 
Baginda berkata : "Ya, Para malaikat itu mulia, mereka sentiasa bertasbih beribadah kepada Allah, tentulah mereka mulia, tapi bukan itu yang ku maksudkan."

Kemudian para sahabat kembali terdiam, tiba-tiba salah seorang sahabat kembali berkata : "Ya Rasulullah, tentulah para Nabi, merekalah yang mulia itu." 
Rasulullah tersenyum, Baginda berkata : "Ya, para Nabi itu mulia, mereka adalah utusan Allah di muka bumi, bagaimana mungkin mereka tidak mulia, tapi ada lagi yang lainnya."

Para sahabat terdiam, tertanya-tanya. siapa lagi orang yang mulia itu? Sehingga kemudian salah seorang sahabat berkata : "Ya Rasulullah, adakah kami sahabatmu Ya Rasulullah, apakah kami yang mulia itu Ya Rasulullah ?" . 

Kemudian baginda pandang satu persatu sahabat baginda sambil tersenyum, Baginda berkata: "Tentulah kalian mulia, kalian dekat dengan ku, kalian membantu perjuangganku, bagaimana mungkin kalian tidak mulia, tentulah kalian mulia, tetapi bukan itu yang ku maksudkan."

Para sahabat terdiam semuanya, mereka tidak mampu berkata apa-apa lagi. Baginda menundukkan wajahnya, tiba-tiba Baginda menangis di hadapan sahabat-sahabatnya, para sahabat pun tertanya-tanya,  "Mengapa kau menangis ya Rasulullah?" Apabila baginda mengangkat waajahnya, terlihat air mata yang berlinangan membasahi pipi dan janggutnya.

Baginda berkata : "Wahai saudaraku, sahabatku, tahukah kalian siapa yang mulia itu? Meraka adalah manusia yang lahir jauh dari wafatku nanti, mereka begitu mencintai Allah. Tahukan kalian, mereka tidak pernah memandang ku, mereka tidak pernah melihat wajah ku. Meraka hidup tidak dekat denganku seperti kalian, tetapi mereka begitu rindu kepada ku. Dan saksikanlah wahai sahabatku semuanya, aku juga rindu kepada mereka. Mereka yang mulia itu, merekalah Ummatku!" Tagisan Rasulullah di sambut oleh sahabat-sahabat juga dengan tangisan.


Begitu sekali baginda merindui kita, namun apakah kita merindui baginda? Apakah hanya dengan menyambut Maulidurrasul itu sudah dikira bukti kecintaan kita kepada baginda? Seperti mana orang yang sedang asyik bercinta membukti kecintaan mereka terhadap pasangan masing-masing, maka begitulah juga kita harus mempamerkan kerinduan dan kecintaan kita terhadap baginda dengan mengamalkan sunnahnya. 

Siti Hajar Ahmad Sabir 

Blog hamba tidak pernah mendapat kunjungan yang tinggi seperti kali ini. Pernah sekali hamba melawat blog hamba sendiri, jumlah pengunjung melebihi 30 orang! Subhanallah. Sebuah kunjungan yang sangat memeranjatkan hamba. Hamba tidak pernah merasai begini.

Paling ramai kunjungan yang diterima untuk teratak ini adalah 3 orang.
 

Begitu banyak ketaranya. 

Baru-baru ini, di dalam kebanyakan laman sosial dan blog-blog banyak menceritakan tentang kematian seorang gadis biasa. Pelajar UTeM. Gadis itu bernama Siti Hajar Ahmad Sabir. Biasa-biasanya sahaja. Tiada yang luar biasa pada fizikalnya. Mempunyai paras rupa yang biasa. Namun bersih dan jernih. Lahir dalam keluarga yang sederhana, namun kuat pegangan agamanya. Segalanya tentang gadis ini amat biasa. Tiada apa yang luar biasa. Namun kematiannya telah memberi sejuta inspirasi kepada manusia seperti hamba. 

Perginya Allahyarhamah Siti Hajar Ahmad Sabir telah  mengetuk hati ramai manusia dan membuka mata setipa insan yang bergelar pendakwah. 

Ya, walaupun hanya seorang gadis biasa namun almarhumah memiliki segunung jiwa yang mahu berdakwah kepada manusia. Jika disusuri kronologi akhir almarhumah, hamba yakin ramai yang menitiskan airmata. Kagum, sebak, tergamam dan adakalanya sehingga tidak mampu untuk diungkapkan bagaimana perasaannya. Pemergiannya seolah dimudahkan. Hamba yakin dan percaya ada yang sebak tatkala membaca almarhumah sangat takut bila dakwahnya tidak diterima Allah. Hamba sendiri ketika mengikuti kisah ini tidak dapat membendung airmata yang mengalir. Gadis ini bukan gadis biasa. Ada sesuatu di dalam hatinya yang membuatkan ramai insan mengalirkan airmata. 

Siapapun almarhumah, beliau telah memberikan infiniti inspirasi untuk insan-insan lain untuk meneruskan kerja dakwah, melakukan Islah pada diri. 

Secara jujurnya, hamba bukanlah manusia yang agak baik. Muka je nampak comel (comel ke?) tapi hantu juga, tetapi bila hamba membaca kisah almarhumah, subhanallah. Jujur hamba katakan, ianya indah! Sangat indah! Pemergiannya seolah dimudahkan, dan beliau sudah bersedia. Tidak dapat hamba bayangkan jika hamba berada disitu dan melihat beliau yang kesakitan. Subhanallah. 

Ini kisah yang tidak dipaparkan di media. Ini kisah yang tidak mendapat publisiti murahan kerana pemilik cerita ini sangat mahal harganya. 

Almarhumah menjadi inspirasi. Seorang gadis biasa yang berjaya mengubah banyak hati. Tidak salah jika hamba katakan almarhumah seperti sang sufi yang zuhud itu, Rabiatul Adawiyyah. Semoga Allah meletakkan almarhumah bersama para Muqarrabun. Orang-orang yang hampir dengan Allah. 

Subhanallah. Semoga Allah merahmatinya. 

Allahu a'lam. 

P/S : Hamba masih lagi di dalam mood terkesan dengan kisah Siti Hajar Ahmad Sabir. Semoga almarhumah ditempatkan bersama-sama orang yang soleh dan solehah.  

Friday, January 25, 2013

DETIK-DETIK TERAKHIR SITI HAJAR AHMAD SABIR (Mujahidah yang telah kembali alam sana)




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, segala puji-pujian dirafakkan kehadrat Allah swt. Blog yang telah lama saya tidak update akhirnya diminta isi dengan suatu hikmah yang besar dari seorang mujahidah yang telah pergi ke alam sana. Hasil penulisan ini sesungguhnya ditulis oleh ibunya yang tercinta, ibu kepada al marhumah Siti Hajar Binti Ahmad Sabir (alfatihah). Semoga kita memperoleh manfaat yang besar dari perkongsian ini. Selamat membaca.

______________________________________________________

6 Jan 2013 (Ahad)
Kami dapat panggilan telefon mengatakan Hajar kemalangan. Segera bergegas ke Hospital Besar Melaka. Ramai pelajar UTEM sedia menunggu berita kemalangan itu.

7 Jan 2013 (Isnin)
Hajar dimasukkan ke wad ICU Mawar. Pegawai HEPA UTEM mula membuat lawatan.Doktor mencadangkan pembedahan segera dilakukan. Masalah kewangan mula berbangkit, wang kami tidak mencukupi’

8 Jan 2013 (Selasa)
Gerakan mengumpul derma utk pembedahan Hajar berjalan lancar. Pembedahan dilakukan pada pukul 1 tengahari. Pukul 6 ptg, pembedahan selesai.

9 Jan 2013 (Rabu)
Kesihatan Hajar baik sebelah pagi tapi merosot sedikit menjelang petang. Tekanan darah mula turun, lalu ubat untuk menaikkan tekanan darah segera diberikan. Muka dan badan mula sembab sebab dah 2 hari hanya drip air tanpa makanan. Sebelah petang, susu disalurkan ke perutnya melalui tiub. Walaupun tulang belakang telah di betulkan kedudukannya, saraf tunjang tetap telah tercedera dan kita menunggu dan berharap kekuasaan Allah Ke atas Hajar berkat doa semua sahabat di dalam dan di luar negara.

10 Jan 2013(Khamis)
Selepas Subuh tadi, kami lawat dia dan bacakan ayat2 suci dan syifa’. Dia tenang je.Kami berbual. Memang dia tak gelak tapi matanya lebih bermaya. Kami ceritakan tentang kawan2 yang datang, yang berkirim salam dan sebagainya. Memang dia tak dapat lawan bergurau, ketawa besar macam biasa tapi dia dengar kami tu pun dah cukup. Langsung tak tunjuk airmata pada dia. Kami usap tangannya, usap pipi dan dahi berkali2 dan bercakap dengan nada yang ceria juga. Tak boleh nak pandang dia dengan mata sayu, cakap dengan suara sebak..tak boleh. Kalau kita positif, kita ceria, aura kita berpindah kepadanya.

Ramai yang bersimpati dengannya lalu mencadangkan pelbagai bentuk rawatan pemulihan. Ada yang mencadangkan pergi kepada sekian-sekian dukun patah jika Hajar telah keluar dari Hospital nanti. Ada juga peniaga air yang menawarkan sebotol air pada harga RM25, dan menjanjikan penyembuhan dalam 10 minit sahaja. Hajar senyum . Pesannya, dia tidak mahu apa-apa rawatan yang menggunakan perantaraan jin dan hanya mahukan perubatan Islam. Dia rela lumpuh seumur hidup atau sanggup mati, asalkan tidak mensyirikkan Allah.

11 Jan 2013 (Jumaat)
Doktor dah benarkan makan bubur. Kami sudukan dengan sup ayam, sup sayur, ikan dan buah2an. Minum air zam zam pakai straw. Memang haus betul dia. Berkat air terbaik di atas mukabumi, dia segera nampak bertenaga. Menitis airmata sahabat2 melihat dia telah makan. Berebut2 mereka nak tolong layan Hajar. Suasana ceria berlanjutan dengan cerita2 lucu mereka.
Solat Hajat dilakukan di merata tempat dari sebelah malam hingga ke siangnya.UTeM sendiri menganjurkan solat hajat di Masjid, melibatkan kerjasama BADAR dan Majlis Perwakilan Pelajar .

Lawatan Naib Canselor, memberikan suntikan semangat luarbiasa kepada Hajar. Dia ingin sembuh. Dia ingin kembali belajar. Dan dia dijanjikan pelbagai kemudahan pembelajaran jika dia sihat dan masih berminat menuntut ilmu.
Sedikit jangkitan kuman mula dikesan di paru-paru menyebabkan pernafasannya tidak stabil.

12 Jan 2013 (Sabtu)
Doa dan kata-kata peransang tak henti2 masuk ke telefon untuk memberi semangat kepada Hajar. Kami perlu kuatkan pernafasannya. Latihan pernafasan mula diberikan supaya oksigen banyak masuk ke badan dan dia dapat melawan kuman2 yang datang menyerang. Hasilnya, kedua dua tangan dah boleh diangkat tinggi. Selepas ini, kami nak teruskan dengan latihan menggenggam. Semua ini menyakitkan, kerana itu motivasi dari sahabat2 amat diperlukan. Peranan saya sebagai ibu adalah untuk mengukuhkan keimanannya dan meletakkan pergantungan harapan sepenuhnya pada Allah.
Sebelah petangnya, Hajar di keluarkan dari ICU Mawar dan diletakkan di wad D3.

13 Jan 2013(Ahad)
Akhirnya berbekalkan sedikit kekuatan yang diberi oleh Allah, saya terangkan situasi sebenar, kesan kemalangan itu kepada Hajar. The whole truth. Dan sebagai hambanya yang patuh, dia Redha dengan apa saja Qada dan QadarNYA. Pendapat doktor itu berdasarkan pengetahuan manusia. Yang mana ia hanya ibarat setitik air di lautan yang luas. Terlalu kecil kemampuan manusia berbanding dengan kekuasaan Allah itu sendiri. Baginya hidup mesti diteruskan, ada banyak lagi nikmat tuhan yang sedang dinikmatinya. NIKMAT TUHAN YANG MANAKAH YANG KAMU DUSTAKAN?
Setiap hari Allah menuntut perjanjian kita dengannya sebelum kita dilahirkan. Iaitu untuk mengakui DIA itulah tuhan kita yang layak disembah. Dia yang maha berkuasa, yang memiliki segala2nya. Sedang kita inilah si fakir yang tak punya apa2…dan sentiasa meminta2 darinya. Kalau dah lidah kita mengakui Allah itu maha berkuasa, maka ikrarkan pula dihati..yang DIA mampu mengubah nasib Hajar lantas menyembuhkannya sekalipun.

Tiada rahsia lagi. Dia dah tahu dirinya lumpuh sementara. Dah tahu situasi tulang belakangnya, saraf tunjangnya yang cedera dan juga pembedahan yang telah dilaluinya. Tanpa setitik airmata, tanpa keluhan, tanpa menyesali nasib, tanpa mematahkan semangatnya untuk terus hidup, katanya kalau mak dan ayah boleh redha, dia juga akan redha. Banyak lagi tanggungjawab untuk digalas, ramai lagi diluar sana yang perlukan bimbingan dan kerana Allah masih selamatkannya, dia akan bersyukur. Pasti ada hikmahnya.

Malam itu, sedang saya membacakan ayat-ayat suci kepadanya, dia kata
“Mak dengar tak tu? Suara seruan tu?”
Saya terdengar seruan bersahut-sahutan dua atau tiga kali dari arah yang tak pasti.
“Orang azan kot” tingkah saya.
Dia jawab “mana pulak, azan mana ada SUBHANALLAH.. orang tu sebut SUBHANALLAH berkali2. Akak dengar, Cuba tengok jam, bukan masa azan, kan?.”akuinya penuh jujur.
Saya rasa berdebar, “Selalu ke akak dengar?”
“Selalu gak, entah siapa lah yang jerit tu gaknya…” jawabnya naif’

14Jan 2013 (Isnin)
Sebelah siang Hajar demam. Batuk2 Kecil, Menjelang maghrib, cuaca sejuk, batuk makin memberat. Demam semakin tinggi mencecah 39C. Selsema, kahak tersumbat di saluran kerongkong dan belakang hidung. Hajar semakin lemah. Apabila pernafasan tersekat,Hajar menggelepar mencari nafas. Doktor segera bertindak bila kami menjerit meminta bantuan kecemasan diberikan dengan menyedut kahak menggunakan mesin penyedut. Tiup dimasukkan ke saluran kerongkong dan saluran hidung. Prosedur yang menyakitkan dan tidak selesa. Tapi masih tak banyak membantu, selsema mengalir lagi, dan kesejukan malam menyebabkan hidung tersumbat semula. Kami disuruh keluar semasa bantuan kecemasan itu. Keadaan agak membimbangkan. Kami berdua berusaha menolong dengan membacakan ayat2 suci dan zikir2. Menjelang tengah malam barulah dia bernafas selesa dan tidak mencungap cungap lagi. Keletihan yg teramat sangat..tetapi bersyukur terselamat dr situasi bahaya. Stabil.

Bila dah tenang, Hajar bercerita semula, semasa doktor membantunya dan kami memohon bantuan Allah, pertolongan tersebut telah datang. Bagaimana? Secara tiba2 dia sendawa berkali kali. Dan setiap kali angin sendawa itu keluar, terasa hidung yg tersumbat tidak tersumbat lagi dan dia boleh bernafas dgn selesa. Kemudian, dia terasa mukanya dipercikkan air 3 kali. Air yang sgt sejuk dan selesa. Dia yang sedang demam panas dan terasa muka berbahang, tetiba rasa sangat selesa dan demam mula menurun. SUBHANALLAH.

Hari dah jauh malam, suami saya nak pulang menjaga anak2 yang lain di rumah. Suami beritahu Hajar, dengan cepat dia jawab “Ayah percaya Allah tak?”jawab suami”Percaya”.
Tambah Hajar lagi, “Kalau percaya pada Allah, ayah baliklah..Allah ada jaga akak kat sini.”
Sesekali dia tersenyum manis.
Kami tanyakan "kenapa senyum?”
Dia jawab…"Ada bau wangi sangat”.
"Selalu ke akak terbau macam tu?”
Jawabnya, “Kadang2 aje, kadang2 masa nurse datang, kadang2 waktu sahabat ziarah”
Hati kami mula rasa sesuatu. Suami saya tak jadi balik. Kami berdua tertidur kepenatan menemani dia malam tu. Dipihak dia pula, terasa sangat aman dan damai. Malam yg sejuk dirasakan nyaman. Langsung tak rasa lapar dan dahaga. Menurutnya, sepanjang malam, dia memerhatikan kami berdua tidur dan mensyukuri apa saja nikmat yang sedang dinikmatinya.

15 Jan 2013 (Selasa)
Sebelah pagi Hajar masih tak bermaya. Semakin naik matahari, hidung semakin kurang tersumbat dan kesihatan mula beransur baik. Perjuangan untuk hidup diteruskan lagi. Bila demam berkurangan, Hajar akan kembali ceria, makannya akan berselera, makan pudding, bubur, sup ayam dan buah2an.. Rakan2 pun gembira melayan kerenah dia. Bila dia sebut teringin makan pisang…tetiba ada saja tetamu yang bawakan. Dia duduk tapi kepalanya agak senget - masih tak boleh kawal gerakan kepala. Spontan dia kata, “Kalau ade bantal kecil, boleh letak kat leher” lalu Allah perkenankan hajatnya. Bantal yang diidamkan dibawa oleh sahabat yang prihatin pada hari yang sama hajatnya diutarakan. (KUN FAYAKUN)

Tekak Hajar masih terasa sakit – perit. Mungkin sebab guna tiub penyedut kahak sebelumnya. Jadi ubat demamnya perlu dihancurkan dan dijadikan larutan. Saya bancuhkan paracetamol dengan sedikit air zam zam. “Akak, ingat ye, ubat ni alat je, Allah yang menyembuhkan” Dia angguk. Ubat di sudukan ke mulutnya. Pahit. Kecil matanya. Segera saya berikan air zam zam untuk diminum. Lepas itu dia tanya, “Air ape tadi?”. “Ehh..air zam zam lah, mana ade bagi air lain.” Dia senyum lagi. Saya tertanya2. Dia kata “Allah tolong akak, ubat tu memang pahit, tapi bila minum air zam zam tu, rasa macam air tu manis, ia basuh semua rasa pahit dilidah akak, Esok mak cubalah” Macam mana ni….nak percaya tak?

Malamnya, dia kena makan ubat lagi. Tanpa gentar, dia menelan ubat pahit tu dan tinggalkan sedikit untuk saya. Nekad untuk menyampaikan dakwah, saya telan baki ubat itu. Memang pahit. Dan bila air zam zam diminum, rasa pahit itu hilang tak berbekas. Seperti lumpur di lantai yang tertanggal semuanya bila air disiram kepadanya.
Kemudian dia mula bertanya bagaimana dia nak solat dalam keadaannya seperti itu. Saya terkedu. Telefon terus saya capai, meminta bantuan ilmu dari rakan2 yang lebih arif. Dan seperti dijangka, apa yang dimintanya, mudah benar utk Allah tunaikan. Ade saja sahabat yang prihatin dan sudi menolong.

Bila Doktor pelatih datang untuk mengambil sampel darah, Hajar menangis. “Akak dah lemah, makan pun tak seberapa, mana nak ada darah banyak. Doktor asyik ambil darah..tangan doktor tu besar,kematu, tak sensitive. Tangan akak kecil, Sakit tau ditampar2 tangan akak, dicubit2…dah tak jumpa urat darah tu, tak yah lah ambil darah. Akak tak nak doktor tu lagi”. Sayu hati mendengar rintihannya, tapi macamana? Mana boleh pilih2 doktor. Tapi Allah maha mendengar, esoknya doktor lain pula mengambilalih.

16 Jan 2013(Rabu)
Usai solat subuh, saya dapati Hajar mengadu sakit perut. Macam kembung. Perut mula membengkak dan bergerak2. Saya sapukan sedikit minyak angin dan bacakan rukyah. Dia terasa nak muntah. Ya memang.. dia betul betul muntah. Berlambak2 muntah air hijau keluar dari mulutnya. Kami beri air zam zam kerana muntah tersebut memahitkan tekak. Tapi muntah berterusan…lagi…. lagi… dan lagi…”Akak tak nak pelawat hari ni”. Dan tengahari itu, memang takada pelawat yang datang.

Menjelang maghrib, dia suruh ayahnya solat. Kemudian saya pula disuruh solat. Saya katakan, “nanti siapa nak tolong bersihkan muntah? Mak solat lewat sikitlah…Dia jawab “Allah ada, Allah boleh bantu akak.” Terkedu. Saya pun tinggalkn dia untuk solat. Ayahnya pula pergi menjemput adiknya di Malacca Central. Selesai solat, saya dapati nurse sedang membersihkan Hajar. Bajunya yg terkena muntah digantikan. Kemudian dia kata, “Haa..kan betul akak cakap, Allah ada bantu akak. Mak pergi je, akak muntah, tapi nurse yg sedang rawat makcik kat sebelah tu ternampak akak muntah dan dia datang bantu.

Sepanjang malam, adik Hajar, Nabilah, saya dan suami saya hanya menadahkan kain menahan muntah hajar. Muntah…minum lagi…dan kemudian muntah semula. Bila reda sedikit, kami mula berbicara. “Akak, Nampak gayanya macam perut akak dah tak terima lagi air yang kami beri. Mungkin rezeki minuman akak dah habis. Mak bagi air untuk basah tekak je, tapi untuk menghilangkan dahaga, akak mohonlah rezeki dari Allah.

Ayahnya pula kata “Akak, kalau akak dipanjangkan usia, ayah akan belikan computer yg lebih ringan untuk akak, sesuai dgn kemampuan akak menggunakannya. Tapi kalau usia akak tak panjang, akak jangan sedih sebab akak akan dapat syahid dunia. Pujuk ayah lagi, “Akak, bila dajjal keluar nanti, orang2 yang beriman takkan dapat bekalan makanan sebab tak mahu sembah dajjal. Mereka akan berzikir sahaja, dan Allah cukupkan rezeki mereka. Mereka tak rasa lapar dan dahaga, Akak zikirlah ye”. Angguk.

Walaupun perbualan itu amat menyentuh hati, tapi masih tak mampu menggugurkan air matanya. Dia kata” Kalau mak dan ayah dah redha, takde sebab untuk akak tak redha. Kalau Allah izinkan akak hidup lagi, walau mcmana pun rupa akak waktu tu, akak akan berdakwah untuk beritahu orang tentang adanya pertolongan Allah, besarnya kekuasaan Allah. Mak tulis ye, biar tak lupa . Nanti akak sendiri yang akan ceritakan. Tapi kalau umur akak tak panjang, emak ceritakanlah bagi pihak akak”

Untuk adik2nya, dipesankan agar ubah penampilan berpakaian. Untuk rakan2, dia minta maaf dan memberikan kemaafannya kepada mereka. Adik2 dipujuk agar pakai jubah2 dan tudung dia yang banyak. Dia turut beritahu minta digantikan puasanya dan uruskan solat yg tertinggal sepanjang dia berada dihospital tu. Ada beberapa hutang kecilnya minta dilunaskan.

Kami tanya lagi. “ susah ke rasanya nak muntah tu tadi?” Jawabnya, “Taklah, senang je, Allah tolong.” “Tolong macamana?” tambahnya “Dah badan akak tak boleh keluarkan air2 kotor tu dgn cara biasa, Allah tolong keluarkan melalui muntah. Tak susah pun, rasa macam meludah je” MASYA ALLAH. Hajar sentiasa kaitkan apa saja yang dialaminya dengan Allah. Sentiasa berbaik sangka Allah menolongnya. Benarlah seperti hadis qudsi, Allah bertindak mengikut sangkaan hamba terhadapNYA. Jika kita yakin Allah menolong kita, maka Allah akan tolong.
Keputusan Xray menunjukkan perut dan usus besar membengkak teruk.

17 Jan 2013(Khamis)
Situasi kritikal. Tak mahu pelawat lagi. Doktor sedang cuba menyelamatkan . Perut membengkak terus. Usus besar tidak menyalurkan najis dengan sempurna. Menurut doktor semuanya ada kaitan dengan saraf tunjang yang gagal menghantar arahan ke anggota badan. Ultrasound pula diambil. Hajar tenang. Berserah pada Allah menentukan yang terbaik untuknya.

Selepas waktu melawat tengahari, demam memburuk semula. Perut yang membengkak menyukarkan pernafasan. Doktor mula gelisah. Satu tiub dimasukkan ke perut melalui hidung bagi menyedut cairan di dalam perut. Lebih 1Liter cairan dikeluarkan. Hajar diarahkan berpuasa sehingga punca pembengkakan itu diketahui.

Demam lagi. Saya sudukan juga tiga sudu air zam zam ke mulutnya dari masa ke semasa.
“Akak, jgn bimbang, kita orang Islam dah dilatih berpuasa. Redha ya .. mak bagi air zam zam ni hanya utk basah tekak, memang tak sempat sampai ke perut pun ia akan kering sendiri. Mintalah Allah hilangkan dahaga akak” .
Dalam keletihan beliau jawab, “beratnya dugaan Allah ni , mak..” “memanglah…kan syurga Allah tu mahal harganya…sabar ya.. Nabi Ayub dulu pun diuji dengan berat” Dia angguk.. Doktor pasang drip…Dalam hati, saya tak putus2 membacakan ayat2 suci dan selawat untuk menolong beliau melalui kesukaran itu.

Menjelang asar, Hajar mula rasa bahang. Dia minta dimandikan. Panasnya kuat dibahagian dada. Dan terasa semua badan sakit2. Saya terdiam. Saya rasa, dia dah mula nak nazak. Waktu tu saya berdiri membelakangkan tingkap. Dia suruh saya beralih kedudukan. Dia nak pandang keluar tingkap. Saya tanya, nak tengok apa? Katanya : nak tengok Allah. Saya terkedu lagi. Katanya :
"Allah marah sebab tak dakwah sungguh2. Tak mahu cari jalan lain, bila dakwah terhalang.”
Saya jawab “Mintalah ampun dan banyakkan beristigfar pada Allah,”
Hajar Angguk. Tak lama lepas tu, dia kata, matanya dah mula kabur. Saya membisikkan agar dia terus mengingati Allah. Angguk. Dalam termengah2 dia berkata
"mak, izinkan akak pergi dulu, tapi akak tak nampak jalan”
"Ya, mak izinkan, mak doakan agar Rasulullah datang tunjukkan jalannya. Sekali lagi dia mengejutkan saya, bila dia kata dia dah tak boleh nampak, lalu bola matanya bergerak ke atas. Segera saya talkinkan berulang kali. Doktor dan nurse mula berkejar datang nak menyelamatkan. Saya disuruh keluar. Mereka mula memasang topeng oksigen,dan menaikkan tekanan darah.

Hati saya dah sebu. Saya tahu tadi tu Hajar dah nazak. Persiapan dibuat utk pindahkan Hajar ke ICU semula. Waktu maghrib tu, kami berkejar kejaran tolak katil Hajar ke ICU okid.

Hajar segera dibius dan getah saluran pernafasan dipasang ke mulutnya. Mesin pernafasan mengambilalih proses pernafasan. Itulah kali terakhir untuk dia berkata kata kerana selepas itu dia terus ditidurkan dan tak bangun2 lagi.

18 Jan 2013 (Jumaat)
Kami dimaklumkan ada air yang banyak diluar perut dan sekitar usus. Dikhuatiri usus Hajar telah bocor. Menjelang waktu azan zohor, untuk solat jumaat, jantung Hajar berhenti berdenyut. Doktor segera melakukan CPR. (Satu. Dua, Tiga, Empat, ……)saya nampak prosedur tu dr luar cermin biliknya. Hati saya terguris teruk…cpr dilakukan di dada, betul2 di atas kawasan pembedahan tulang belakangnya. Kalau dia selamat sekalipun, apa nasib tulang belakang tu, kan baru je lepas dibedah.
Walaupun jantung dapat digerakkan kembali, namun jantung Hajar hanya bekerja 1% sementara mesin pernafasan yg bekerja lagi 99%. Hakikatnya carta pernafasan di paparan skrin tu terasa semacam gimik.

19 Jan 2013 (sabtu)
Doktor pakar usus mengesahkan usus Hajar bocor dan perlukan tembukan kecil diperut untuk mengesahkan teori beliau. Sekiranya benar, pembedahan yang lebih besar diperlukan utk memotong usus yang bocor itu dan mencantumkan semula. Serentak dengan itu, kami diberi borang kebenaran pembedahan untuk ditandatangani. Semuanya atas nama nak menyelamatkan nyawa Hajar. Kami buntu. Suami meminta tempuh untuk bertenang dan berfikir. Kami perlu solat. Kami perlu berfikir dengan tenang. Kami mohon pertolongan melalui pertolongan Allah. Pukul 2 pagi, kami dipanggil semula. Terdesak, kami benarkan tembukan dilakukan diperut. Hanya pada Allah kami bermohon pertolongan dan petunjuk.

Belumpun sempat selesai pembedahan kecil itu, seorang lagi doktor memanggil kami. Berita besar yang disampaikan, buah pinggang Hajar tidak berfungsi sepenuhnya atau lebih tepat lagi..dah rosak dan perlukan dialysis darah. Hajar takkan boleh bertahan kalau darahnya tak dicuci kerana toksin dalam tubuh akan meningkat dan meracuni organ2 yang lain. Terdiam. Bermimpikah kami? Lepas satu, satu, organ badannya merosak. Namun begitu, dialysis tidak boleh dilakukan dengan selamat kerana keadaaan Hajar yang tidak stabil. Jantungnya dah pernah berhenti, dan boleh berhenti lagi semasa dialysis. Darahnya dah terlalu cair..dah lama tak makan. Pendarahan juga boleh berlaku kerana tekanan darah yang rendah. Jadi apa yang boleh kami perbuat? Sesudah berbincang, kami ambil keputusan tidak membenarkan cuci darah dijalankan kerana risikonya besar.

Tak lama lepas tu, pakar usus pula mengesahkan yang usus Hajar memang benar2 bocor dan pembedahan besar diperlukan. Kami tanya, adakah Hajar stabil untuk dibedah? Jawapannya TIDAK.Kami Tanya adakah masalah usus itu boleh selesai selepas pembedahan tersebut? Jawapannya. TIDAK PASTI MASALAH SAMA TAKKAN BERULANG LAGI. Lalu kami berikan jawapan yang paling selesa bagi kami iaitu tidak membenarkan sebarang pembedahan dilakukan lagi. Kami juga tidak membenarkan prosedur cpr dilakukan jika jantung terhenti lagi.

Doktor bercakap dengan berhati2. “Kalau itu keputusan Puan, Puan sedarkah apa akibatnya nanti?” Saya jawab, “ya, saya sedar, saya akan kehilangan anak saya, dan saya redha. Malah, kalau boleh , saya nak segala ubat dan mesin pernafasan dihentikan” Doktor menjawab, “Itu tak boleh, menyalahi etika, itu seperti membunuh pesakit. Kami tak boleh membunuh pesakit, tapi kalau Puan tak mahu lakukan semua yg kami dah cadangkan, mesin pernafasan tetap perlu terus dihidupkan. Cuma pesakit takkan mampu bertahan lama kerana toksin yang tinggi akan meracun dirinya sendiri.

Selepas itu, doktor terus mengawasi Hajar, dan pelawat telah dibenarkan menziarah tanpa had masa kerana Hajar hanya menunggu masa untuk pergi meninggalkan kita semua. Semua keluarga telah dimaklumkan, Hajar tak putus2 diziarahi oleh sahabat2 yang mengenali dan bersimpati. Masing2 ingin menatap wajahnya untuk kali terakhir

20 Jan2013 (Ahad)
Pagi itu kami berdua khusyuk dlm doa masing masing, hanyut dalam munajat kami kepada Allah memohon bantuan dan keringanan untuk sakaratul maut anak kami.Tepat jam 9.20 pagi, Hajar melepasi sakaratulmaut dan meninggal dunia dengan tenang dalam dakapan ibu dan restu ayah. Pergilah sayang, TUHANMU yang lebih menyayangimu telah menunggu. Terima kasih YA ALLAH kerana telah meminjamkan kami anak yang sebaik ini. 20 tahun kami berbahagia dengan kehadirannya.Terima kasih kerana menganugerahkan akhlak yang mulia terhadap anak kami ini. Kini kami kembalikan ia kepadaMU YA ALLAH.Dakapilah ia dengan limpahan rahmat kasih sayangMU yang maha Agung. Amin.. amin..amin..ya rabbal alamin.

Siti Hajar selamat dikebumikan di kampung keluarganya dengan lancar.Begitu ramai sahabat, pensyarah, pegawai university dan saudara mara hadir memberikan lawatan terakhir, memandikan, menyembahyangkan dan mengkebumikan beliau. Seluruh alam seakan turut bersedih dan merintih kerana kehilangan seorang mujahidah sejati. Cuaca mendung berterusan dari pagi hingga ke petang,( tetapi tidak pula hujan), turut menyentap tangkai hati insan2 yang jujur menyayanginya.



P/S : Hamba menitiskan airmata tatkala membaca kisah ini. Kisah yang tidak diambil pusing. Hati hamba menjadi sayu kerana wujud manusia yang begini luar biasa hebatnya. Hati hamba pilu kerana hamba tidak dapat menjadi sepertinya. Al-marhumah benar-benar gadis yang hebat, Semoga Allah menempatkan almarhumah bersama mereka yang beriman dan semoga Syurga ganjaran buatnya. 

P/S : Artikel diambil dari sini

Wednesday, January 23, 2013

Tribute Untuk al-Marhumah Siti Hajar Ahmad Sabir. (Pelajar Ftmk UTeM)


Biar biasa di luar, luar biasa di dalam.
Itu sukar dicari,
Itu sukar ditemui

Biasa sahaja, namun punya hati yang besar
Allah mengambil dia
Kerna dia rindu Allah.
Itu sudah pasti
Dari bait kalimah bicaranya
Tika disoal :
"Kakak tak takut mati?"
Lalu dijawab :
"Tak, kakak sudah sedia."
Sambungnya lagi :
"Maafkan kakak, kerna dakwah kakak
tidak banyak umpama Sayyidina Muhammad"

Doa aku,
Semoga kamu ditempatkan
Bersama para ummahatul mukminin
Bersama para muqarrabun
Bersama para ahlul jannah
Bersama mereka yang Allah janjikan Syurga yang membahagiakan.

Thursday, April 12, 2012

Terima Kasih Allah Kerana Sayangkan Kami, hambaMu.

Bismillah.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi. Segala puji bagi Allah yang menciptakan siang dan malam dan peraturan yang tidak pernah disalahkan. Segala puji bagi Allah yang menciptakan Adam dan Hawa. Segala puji bagi Allah yang menciptakan segalanya tanpa ada cacat cela.

Alhamdulillah, pada pagi ini mula menulis semula setelah diberikan kekuatan yang dipinjamkan olehNya. Alhamdulillah, hamba menulis semula setelah beberapa lama hamba tidak menulis lantaran kekangan waktu semasa berada di KUIS dan kesibukan semasa menghadapi peperiksaan akhir semester pertama di KUIS. Alhamdulillah, segala berjalan dengan baik dan lancar. Saat ini, sudah hampir sebulan hamba berada di rumah, membantu apa-apa yang patut, bertugas semula di tempat lama secara sementara, menghabiskan beras yang banyak di rumah, menghabiskan makanan yang ada di rumah, menghadap laptop, berfotografi dan mencari idea untuk menulis semula.

Alhamdulillah, Kita masih lagi diberikan nafas yang panjang untuk menghirup udara segar yang dibekalkan oleh Allah SWT kepada hidup kita tanpa perlu kita membayarnya di mana-mana kaunter yang dibuka Allah.

Petang semalam, lebih kurang pada pukul 4:00 - 4:45 petang, Malaysia digemparkan dengan gegaran di Pulau Pinang, Perak, Indonesia, India dan sebahgian lagi tempat. Gegaran itu mencecah 8.9 Skala ritcher. Agak kuat berbanding semasa Tsunami 24/12/2006 yang lalu. Kali ini gegaran itu turut dirasi di kampung hamba, tapi yang peliknya hamba tak rasa goyang pun, mungkin sebab faktor berat badan yang agak bertambah buat masa ini kerana menghabiskan beras di rumah? Tapi di Perak, Manjung dan Teluk Intan adalah tempat yang dirasai pada petang itu. Hamba juga mempunyai sahabat yang belajar di Banda Acheh, Indonesia dan mengikuti perkembangan mereka. Alhamdulilah semuanya selamat. Rata-rata di Facebook juga ramai yang berbicara dan menulis status tentang kejadian ini. Banyak status-status yang menulis tentang meminta untuk solat hajat dan lain-lain lagi perkara yang dilihat sebagai positif.

Apa hikmah atas kejadian yang berlaku ini? Pada pandangan hamba, Allah punya asbab tertentu mengapa kejadian ini berlaku. Hikmahnya, Allah menegur kita secara terus. Mungkin terlalu banyak kelalain yang telah kita lakukan atas muka bumi ini dan juga ia mungkin sebagai tanda amaran Allah kepada kita.

Jadi apa yang harus kita lakukan?

Terserah pada anda semua dan yang pasti hamba sangat takut sebab hamba orang yang banyak dosa dan takut nak jumpa tuhan dalam keadaan yang sangat-sangat sikit amalnya. Ayuh sahabat-sahabat, perbanyakkanlah amalan kita. =)


Allahu a'lam.

Sunday, October 23, 2011

Menyesal?

Bismillah..

Segala puji bagi Allah tuhan mentadbir seluruh alam tanpa bantuan sesiapa. Segala puji bagi Allah tuhan yang menciptakan Adam dan Hawa dengan cinta. Segala puji bagi Allah tuhan yang menjadikan alam dalam masa enam hari. Segala puji bagi Allah, Segala puji bagi Allah dan sesungguhnya segala puji hanya layak bagi Allah.

Selawat dan salam ke atas junjungan baginda Muhammad SAW. Nabi yang terakhir menyampaikan sayariat daripadaNya. Selawat dan salam ke atas baginda Muhammad SAW yang menyebarkan islam dengan tidak kenal lelah. Selawat dan Salam ke atas baginda yang hingga akhir hayatnya tidak pernah melupaka kita dengan penuh rasa cinta.

Alhamdulillah..

Sebentar tadi menulis status di laman Facebook hamba. Di bawah ada hamba sertakan gambar tentang apa yang hamba postkan sebentar tadi.

klik gambar untuk tumbesaran


Anda rasa ini tentang apa?

Nanti hamba akan sambung lagi. Mari sama-sama renungkan. Mungkin kata-kata hamba tidak cukup puitis atau indah tetapi cukuplah untuk menggambarkan apa yang hamba pernah lalui.

Allahu a'lam.

P/S : Sedang dalam mood bersiap-siap.

Sunday, October 9, 2011

Cita-Cita Saya

Bismillah..

Segala puji bagi Allah, tuhan yang menciptakan alam dalam masa enam hari. Segala puji bagi Allah, tuhan yang menciptakan dalam jasad manusia itu ada satu nadi yang berdenyut. Segala puji bagi Allah yang menghidupkan dan mematikan hamba-hambaNya. Segala puji bagi Allah yang berkuasa di atas setiap sesuatu.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Nabi yang diberikan mukjizat paling hebat dan kekal sehingga hari kiamat. Selawat dan salam ke atas Baginda SAW yang bulan terbelah kerananya. Selawat dan salam kepada Baginda SAW yang tidak henti air matanya mengalir mengenangkan kita, umatnya.

Alhamdulillah, setelah agak lama melarikan diri dari blogging maka hari ini hamba mendapat kekuatan. Idea untuk menulis juga sudah terbengkalai beberapa lama. Bilalah boleh hantar manuskrip baru kepada penerbit. Doakan semoga hamba punya kekuatan untuk menulis dan doakan semoga Allah memberikan hamba idea yang baik untuk hamba mengarang.

Hari ini hamba akan bercerita sedikit tentang cita-cita hamba. Hamba tidak mahu menyenaraikan kronologi sususan cita-cita hamba, namun insyaallah hamba akan menceritakan cita-cita hamba yang sehingga sekarang hamba ingin lakukan dan jika mampu hamba mahu belajar sehingga tahap yang tetinggi.

Hamba mulakan dengan kesukaan hamba dahulu. Hamba punya satu hobi yang mana hamba suka menonton cerita-cerita atau drama-drama yang berunsurkan perubatan. Mula dari drama inggeri E.R, Scrubs sehinggalah Grey's Anatomy dan Miami Medical, kecuali Cinta Medik. Gediks! Masa hamba masih di bangku sekolah rendah, hamba suka menonton drama E.R tetapi tak pernah abah hamba bagi sebab abah kata merepek. Mungkin beliau tak bagi anak dia tengok benda-benda yang memualkan seperti darah, jantung fresh dan lain-lain lagi. Tapi keghairahan hamba untuk menonton drama-drama berbentuk perubatan tidak dapat ditahan. Suka mencari dan kadangkala suke tengok paramedik wat keje. Masa hamba sekolah rendah dulu hamba adalah ahli aktif la jugak dalam Persatuan Bulan Sabit Merah. Kemudian bila masuk sekolah menengah tak join dah persatuan sebab Maahad Tahfiz kami masa tu tak wujud badan-badan persatuan.

Melangkah ke alam diploma barulah hamba mencari semula drama-drama ini tapi sangat terhad kerana tak banyak televisyen yang menyiarkan drama-drama sebegini yang ada cuma lebih banyak cinta daripada mediknya. Meluat. Input yang ciput. Kemudian bila dah tahu TV2 ada menyiarkan drama Miami Medical, hamba selalu follow sehinggalah drama itu terpaksa dihentikan untuk memberikan laluan untuk program realiti Pilih Kasih, kelolaan Rosyam Nor. Saya juga tidak ikuti program itu tapi yang pentingnya saya tak suka dan dahagakan cerita-cerita perubatan.

Ok, itu adalah kesukaan hamba. Tapi, apakah kaitannya drama-drama perubatan dengan tajuk? Eh! Mestilah ada kaitannya. Disebabkan hobi hamba yang suka tengok drama-drama berunsurkan sains makanya cita-cita hamba adalah untuk menjadi seorang doktor. Hebat bukan cita-cita hamba? Haha.. Masa sekolah rendah hamba ada 2 cita-cita besar yang hamba masih ingat sehingga hari ini. Cita-cita pertama adalah menjadi doktor dan yang kedua adalah saintis. Hebat bukan? Tetapi malangnya hamba tidak pandai dalam matematik dan selalu dapat markah cukup-cukup makan dalam mata pelajaran sains. Paling pandai pun dapat C je. Masa SPM matematik hamba failed dan subjek sains pun cukup-cukup makan, 6C. Hebat bukan?

Tapi hamba tidak pernah menyesal dengan apa yang hamba lalui, Allah tidak memberikan kelebihan pada hamba dalam bidang akademik tetapi Dia mengubah jalan hamba untuk mendalami agama. So what? tak rugi bukan? Plus hamba juga minat dalam fotografi dan sudah hampir 3 tahun berjinak dalam bidang itu dan hamba juga suka dengan bidang teknikal dan komputer. Hoho~

Kenapa tiba-tiba tajuk ini yang hamba coretkan? Ya, mesti anda tertanya-tanya bukan? Sebab tadi ketika sedang menonton televisyen, hamba tertukar NTV7 dan kebetulan drama perbutan, Grey's Anatomy dan ketika itu sedang dalam babak sepasukan pakar perubatan yang terdiri daripada pelbagai kepakaran sedang membuat satu pembedahan untuk menyelamatkan seorang wanita yang hamba tidak tahu sebab apa tapi yang pastinya kronik dan dalam masa yang sama wanita itu sedang mengandung. Mereka sedang berusaha untuk menyelamatkan dua nyawa dan untuk meredakan keadaan pasukan perubatan itu menyanyikan salah satu lagu kegemaran hamba nyanyian kumpulan The Fray. Tajuknya How To Save A Life. Hamba tahu, keadaan dalam dewan bedah itu amat tertekan dan sepertinya mereka kehilangan semangat dan lagu itu seolah memberikan mereka semangat untuk terus berjuang untuk menyelamatkan dua nyawa. Seolah-olah mereka sedang bekerja dengan Malakul Maut.

Akhirnya dengan kesungguhan mereka, dua nyawa dapat diselamatkan setelah berbagai emosi yang dilalui. Hebat, hamba kagum dan tidak semena-mena air mata hamba mengalir melihat mereka berusaha sebegitu. Bermain dengan nyawa. Bukan perkara mudah apabila bermain dengan nyawa.

Mungkin disebabkan drama Grey's Anatomy itu juga hamba dapat recall balik apa yang hamba mahu jadi satu hari nanti. Sebentar tadi hamba duduk-duduk termenung dan muhasabah. Alhamdulillah, Allah cepat memberikan jawapan pada muhasabah hamba.

Hamba bersembang dengan diri ini. Mungkin selepas degree ini hamba akan mula belajar tentang perubatan moden. Mungkin akan mengambil diploma perubatan dan seterusnya mengambil ijazah di dalam bidang perubatan. Wah hebat. Ada 2 ijazah. Ijazah dalam Quran dan Perubatan. Tetapi lamunan indah itu terhenti seketika. Kerana apa? Kerana tanggungjawab yang dipikul di bahu itu. Sangat berat dan hamba khuatir hamba tidak mampu untuk menjalani tanggungjawab itu. Sedangkan tanggungjawab kecil pun tidak mampu apatah lagi tanggungjawab untuk menyelamatkan nyawa. Berat sungguh.

Hamba adalah seorang yang mudah mengeluarkan air mata, tapi bergantung pada keadaan. Bukanlah semua keadaan hamba perlu menangis. Kalau ketawa terbahak-bahak tu mungkinlah akan menangis, sebab tak tahan gelak. Hoho~

Kesimpulannya, Baru hari ini hamba tahu kenapa Allah tidak mentakdirkan hamba untuk menjadi seorang doktor. Sangat berat tanggungjawab itu dan yang pastinya hamba tidak mampu untuk laluinya dengan air mata.

Biarlah mereka yang benar-benar hebat menjadi doktor. Sesungguhnya mereka sangat hebat. Hamba tidak mengata atau memerli golongan doktor atau sesiapa sahaja yang berada di dalam bidang perubatan tetapi percayalah, Allah telah memilih kamu untuk memikul amanah ini, Allah telah memilih kalian untuk memikul tanggungjawab ini. Hanya insan-insan terpilih sahaja yang mampu untuk menghadapi. Hamba tidak mampu. Tidak mampu melihat tangisan orang lain yang kehilangan.

Allahu a'lam.

P/S : Currently listening to Grey's Anatomy Music Event - How To Save A Life. (The Fray Cover)

P/S : Hmm... Rindu agaknye kot.

Sunday, June 5, 2011

Sifat Seorang Lelaki Yang Makin Pudar

Bismillah..

Segala puji bagi Allah tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kita Muhammad SAW, yang tidak pernah jemu menyebarkan cintaNya dan cintanya.

Alhamdulillah, ketika entri ini ditulis, hamba berada di teratak ibu saudara hamba di Sungai Petani, Kedah. Bermalam di sini untuk meneruskan perjalanan ke Alor Star, Kedah. Bermukim di Alor star untuk beberapa ketika. Insyaallah jika tiada aral dan balak melintang, hari isnin ini hamba akan mendaftar sebagai pelajar semula di KUIN.

Pagi ini seusai solat subuh hamba teringat akan kata-kata sifu hamba dalam bidang fotografi. Beliau seorang guru Bahasa Inggeris yang sangat rendah diri, mempunyai fikrah islami dan seorang bapa dan suami yang hebat! Beliau belajar di England dulu. Baru-baru ini kami berjumpa. Ya, berjumpa sebab rumah dia belakang rumah hamba je. Hoho~

Kami berjumpa, borak panjang. Isu-isu semasa, isu fotografi, penulisan, politik, walaupun hamba sebenarnya muak dengan politik di Malaysia. Terlalu banyak kecabulan. Kemudian secara tiba-tiba terpacul dari mulut hamba akan cerita tentang abang Salleh Yaakob kita yang baru sahaja mendapat isteri yang baharu, melengkapkan kuota memilki isteri yang dibenarkan dalam islami. Dengan selamba hamba cakap kepada sifu hamba begini, "bini baru dia cun worr! Muda lak tu. Tua setahun je dari saya. Cis sungguh!" Hamba menyatakan kekesalan hamba pada beliau sambil di tangan ada sebungkus choki-choki susu dan coklat. Beliau pada masa itu hanya sedang menyepak-nyepak batu kecil di jalan raya yang diberikan oleh kerajaan yang luasnya hanyalah dua kangkang kera. Dengan selamba dan tenang juga beliau memberikan jawapan yang agak mengejutkan buat hamba, "Elok la dia kawen dengan abg jem tu daripada kawen dengan orang muda yang sekarang ni rata-ratanya agak keparat.." Jawapan beliau benar-benar menyentak hati hamba. Bukan terkejut dengan jawapan yang diberikan, tetapi terkejut dengan kenyataan yang diceritakan. Mengapa hamba tidak berfikir tentang perkara itu.

Beliau menyambung lagi, "Cuba awak tengok, berapa ramai anak muda yang sebaya awak yang baik? Yang boleh diharap? yang betul-betul ada sifat seorang lelaki. Bukan sifat lelaki yang batin tu, tapi sifat seorang lelaki yang budiman atau didalam bahasa penjajahnya digelar gentleman?" Hamba mendengar dengan penuh minat. Beliau menyambung, "Tak ramai yang ada sifat macamtu sekarang. Yang ada cuma lelaki-lelaki keparat yang kononnya baik tetapi suka mengambil kesempatan ke atas kebaikkan wanita, mungkin juga bini baru Salleh Yaakob itu rasa tidak ada seorang pun lelaki muda yang dapat menjadi pelindung buat dia." Bila hamba dengar sahaja perkataan pelindung dari mulut beliau, lagi sekali hamba tersentak. Kali ini lebih hebat lagi. Rasa seperti berada di bawah taklukan seorang gergasi sambil kepala hamba diketuk-ketuk dengan tukul besi dan dismack secara paksa. Subhanallah!! Ini adalah sifat yang makin pudar dalam diri seorang lelaki zaman sekarang. Beliau berkata lagi, "Daripada 10 orang lelaki yang seumur awak, mungkin hanya 2 ataupun 3 sahaja yang memiliki akhlak yang baik, akhlak yang bersih, peribadi yang bersih, selebihnya hanyalah keparat-keparat yang memalukan kaum Adam ini."

Subhanallah.. Hamba tertunduk. Diam. Tidak mampu bicara. Sepertinya terkena pada batang hidung sendiri. Memang benar apa yang diucapkan oleh sifu hamba. Sudah berapa malam hamba tidak tidu memikirkan perkara ini. Mengapa dan mengapa?? Soalan ini terus menerjah kotak fikiran hamba. Lalu secara jujurnya ingatan hamba teringat kepada seseorang yang pernah hamba sayangi dan cintai, sehabis hati. Cuma hamba bersangka baik dengan Allah. Ini bukan jodoh hamba, mungkin bila dengan hamba dia tidak akan pernah mengenal erti bahagia. Mungkin dengan orang lain dia mengenal erti bahagia. Bila ditegur secara sirr begitu, hati hamba mula berdetak, bagaimana mahu menjadi lelaki yang lebih baik.

Allah bercakap dengan kita melalui al-Quran. Dalam al-Quran surah annisa yang bermaksud : Lelaki itu lebih kuat daripada wanita. Baiklah, pada pandangan hamba, pada kajian dan pembacaan hamba, kuat di sini yang Allah sebutkan bukan sahaja terletak pada kekuatan fizikal semata, ia meliputi kekuatan untuk melindungi, menjaga, kewangan dan berbagai lagi. Jika sebagai seorang lelaki tidak tahu bagaimana untuk menghargai seorang Hawa, maka ranaplah semuanya. Daripada situlah lahirnya anak-anak yang dibuang di jalanan, lahirlah anak-anak yang dibuang dari tingkat atas rumah, lahirlah anak-anak yang diletakkan di pagar masjid lalu dihurung semut dan semut itu menggigitnya dan berbagai lagi. Bagaimana mahu menjadi pelindung bagi seorang wanita? Jawapan itu sudah ada, cuma kita buta. Jawapan ada pada sosok junjungan kita Muhammad SAW. Lihat bagaimana baginda menghargai seorang makhluk yang bernama wanita. Cuma baginda diberi keizinan oleh Allah SWT untuk berkahwin lebih daripada satu. Itu adalah kelebihan yang Allah berikan.

Bagaimana untuk menjadi pelindung yang baik bagi seorang wanita. Ini adalah beberapa rumusan yang telah hamba buat pagi ini untuk lelaki dan juga hamba :

1. Menjaga hati terlebih dahulu. Jangan benarkan diri kita melalui perkara maksiat.
2. Selalu berdoa kepada Allah agar diberikan keimanan yang mantap, jiwa yang teguh.
3. Mohon Allah lindungi kita dari berlakunya perkara maksiat. Sekecil-kecil maksiat hinggalah sebesar-besar maksiat.
4. Bina kekuatan dalam diri, jadilah pelindung untuk diri kita dahulu.
5. Jadikan Rasulullah SAW sebagai uswatun hasanah yakni contoh tauladan untuk diri kita.
6. Belajarlah menghargai seorang makhluk bernama wanita. Percayalah, dalam dirinya ada Nur yang tak mungkin padam.
7. Jadilah seorang lelaki yang bertaqwa. Insyaallah, Allah permudahkan jalan.

Insyaallah, kita sama-sama mencuba. Entri ini juga buat hamba. Mana tahu mungkin satu hari nanti hamba terlupa dan bila hamba buka blog ini semula hamba akan ingat. Ini juga teguran buat hamba, mudah-mudahan Allah permudahkan jalan buat hamba. Menyesal sekarang tiada gunanya, ianya sudah terjadi. andai boleh diundurkan waktu, memang hamba akan pergi dan memperbaiki segalanya.

Ah! Kuat berangan la lu! Hoho~

Allahu a'lam..

P/S : Mood rindu. Cahaya...... (T_T)

P/S : Esok daftar KUIN. Malas-malas rasanya. Balik umah tido agak-agak boleh tak? Belajar tinggi-tinggi tp bengong gak. Hohooo....~ (^_^)v

P/S : lalala~

Thursday, April 28, 2011

Pengorbanan - Nowseeheart



Telah lama
Aku perhatikan segala
Ombak nafsu
Menghancurkan fitrah dunia

Pedih
Luka meresah jiwa
Memusnahi impian indah

Biarkan ku tempuhi
Segala halangan pasti mendatang
Dengan sepenuh jiwa

Biarkan aku pergi
Meninggalkan dunia yang dicalar
Kerakusan manusia

Sesungguhnya yang mulia di sisi-Nya
Hanya ketaqwaan diri kita

Iringilah sayangku
Semua pengorbanan dengan doa
Harapan yang bermakna
Tempatkan Ya Tuhanku
Di singgahsana terindah di syurga
Dengan para syuhada

Biarkan aku pergi
Meninggalkan dunia yang dicalar
Kerakusan manusia

Tempatkan Ya Tuhanku
Di singgahsana terindah di syurga
Dengan para syuhada

Wednesday, November 3, 2010

Selamat Berjuang Wahai Tetamu Allah Sekelian!





Bismillah..

Tiada kata pembuka kali ini. Terus kepada penulisan. Apa pun segala puji bagi Allah.

Musim haji sudah tiba lagi. Telah ramai rakyat Malaysia yang sudah berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan rukun Islam yang kelima. Ya! Bukan mudah untuk sampai ke sana. Jika dilihat pada sejarah dahulu, nenek moyang kita mungkin bersusah payah, bergolok gadai untuk menunaikan ibadah haji. Pergi ke Mekah dengan kapal layar yang mana perjalanannya memakan masa lebih kurang 3 bulan di atas laut, 40-45 hari di Tanah Suci kemudian 3 bulan di atas laut untuk kembali semula tanah air.

Semasa di dalam perjalanan yang 3 bulan itu, pelbagai susah payah yang telah mereka lalui. Menemui ajal untuk menemui Ilahi di Tanah HaramNya, lalu mayatnya ditanam di dalam laut. Jihad! Ya! Menunaikan ibadah haji itu jihad. Berbeza dengan zaman sekarang. Seiring dengan peredaran masa, proses untuk menunaikan haji telah dilaksanakan dengan baik. Terima kasih kepada Prof. Ungku Aziz untuk idea yang sangat hebat ini. Dengan kebijaksanaan beliau yang dianugerahkan Allah, kita dapat menikmati bagaimana mudahnya urusan untuk menunaikan ibadah haji.

Alhdmulillah, pada tahun 2007 yang lalu, hamba dan Ummi hamba telah diberi kesempatan untuk menunaikan ibadah haji. Alhamdulillah, segala ujian dan susah payah dapat kami lalui dengan penuh sabar. Bukan mudah untuk sampai ke sana. Bukan mudah untuk dapat menjejakkan kaki ke Tanah HaramNya. Hanya yang terpilih. Alhamdulillah, kami adalah antara orang-orang yang dipilih oleh Allah untuk sampai ke bumi HaramNya.

Ya! Menunaikan ibadah haji itu jihad. Menjadi tetamu Allah ataupun Dhuyufurrahman itu satu kemuliaan kerna bukan semua yang berpeluang untuk sampai ke sana, ya seperti yang cakapkan tadi, hanya yang terpilih.

Tulisan kali ini agak menjurus kepada kerinduan hamba terhadap tanah suci, cita-cita hamba pada suatu masa dulu.

Tidak tertahan rasanya bila melihat mereka-mereka ingin menunaikan ibadah haji. Kerna apa? Hanya yang sudah pergi sahaja dapat merasai bagaimana rasanya sekarang. Hati ini bagaikan meronta seperti anak kecil yang mahu didakap ibunya. Berada di dataran Baitullah seperti didakap dengan rasa kasih sayang yang maha indah! Tiap titisan airmata yang berderai di pipi seolah-olah ada yang menyekanya, menyeka dengan penuh rasa cinta. TakutkanNya kerana dosa-dosa yang telah dilakukan. Merintih pilu agar dipandang dengan kasih sayangNya. Aduhai.. Bagaimana mungkin dapat melupakan semua itu. Benar kata para pencinta Ilahi, tiada cinta yang lebih manis dari cinta bersama Ilahi. Bagaimana Rabiatul Adawiyah tenggelam di dunia cintanya bersama cintaNya. Bagaimana Syeikh Abdul Qadir Jailani yang hanyut dalam lautan rindu dalam rinduNya? Bila berada di Baitullah al-Haram seperti amat menyentuh jiwa.

Masih lagi hamba ingat, betapa kagumnya hamba dengan binaan Nabi Allah Ibrahim alahissalam bersama anaknya, Ismail alahissalam. Saat itu pantas terkenang bagaimana Rasulullah memperjuangkan Islam di tanah tersebut. Hamba memijak tanah di mana Islam mula-mula disebarkan. Hati hamba bergetar hebat, apakah kotor yang hamba bawa untuk berjumpa dengan Raja segala Raja dan apakah kotoran-kotoran itu bisa dibersihkan dengan hanya setitik dua airmata yang jatuh gugur di pipi? Waktu itu, hanya Allah yang layak untuk menilai hati ini.

Masih lagi hamba terhidu harum bau kelambu Kaabah, hitam pekat warnanya, tebal dan kemas buatannya.

Masih lagi hamba ingat cita-cita yang tidak pernah khabarkan, hatta pada insan yang hamba pernah cintai. Kadangkala tersenyum sendirian bila terkenangkan. Anda mahu tahu? Hamba pernah bercita-cita, andai kata hamba sudah menikah dengan beliau yang hamba sayangi tempat pertama untuk hamba berbulan madu adalah Mekah. Menunaikan haji atau umrah bersama isteri tercinta. Tempat di mana cinta dipertemukan? Ya! Cinta dipertemukan. Kaabah dibina atas suruhan Allah dan dilakukan dengan penuh rasa cinta. Melakukan korban dilakukan atas suruhan Allah dan dilakukan dengan penuh rasa cinta. Jibril alahissalam pernah menawarkan Uhud untuk dihempapkan ke atas kaum-kaum yang menyeksa kekasih Allah, namun sabda baginda cukup indah :"biarkan wahai Jibril, mungkin mereka tidak beriman namun anak cucu mereka akan beriman." Kejadian itu berlaku di mana? Di Mekah al-Mukarramah. Kerana apa Baginda berkata begitu. Kerana cinta. Nah! Bukankah hamba benar? Tempat cinta dipertemukan? Begitu juga dengan cita-cita hamba yang tidak pernah hamba sampaikan pada sesiapa sehinggalah hari ini, anda yang membaca blog hamba.

Makanya, anda yang bercita-cita untuk berbulan madu, bulan madulah di Mekah. Tunaikan haji atau umrah bersama isteri atau suamimu yang tercinta. Anda rasa tak best? Mana anda tahu? Pergi pun belum. Heh! Pegang kata-kata hamba, bila anda pergi bersama orang yang tercinta untuk mencari cinta, Insyaallah anda akan mendapat cinta juga! Cinta yang manis untuk melayar cinta agar nanti bertemu CINTA!! Percaya pada hamba.

Kepada anda yang akan menunaikan ibadah Haji atau umrah, sampaikan salam hamba pada Rasulullah SAW yang tercinta. Anda cintakan baginda? Buktikan!

Carilah cinta di balik ihram yang putih, carilah cinta di balik padang arafah semasa berwukuf, carilah cinta di bawah kubah hijau di mana bersemadinya tubuh kekasihNya yang paling dicintai, carilah cinta di balik Baqi'..


Allahu a'lam..

Friday, April 2, 2010

Selamat Bertemu Allah

Bismillah..

Pagi ini selepas hamba berjalan mencari rumah sewa di Taman Cempaka, Ipoh, hamba membeli akhbar Harian Metro. Tajuk hadapannya 'Bernafas Dalam Lumpur' . Dah macam lagu Awie la pulak! Sekali hamba tengok orang tertimbus di dalam lumpur. Lebih menyayat hati, si mati itu almarhum di dalam keadaan rukuk. Menyayat hati ke? Rasanya, beruntunglah beliau kerana meninggal dalam keadaan solat. Moga-moga solat beliau yang terakhir diterima Allah.

Keduanya, pelawak dan juga DJ Radio Era, Din Beramboi meninggal dunia akibat denggi berdarah selepas empat hari di dalam keadaan kritikal yang mana kondisinya pada waktu itu sangat teruk. Moga-moga Allah tempatkan beliau di dalam kelompok hamba-hambaNya yang paling hampir denganNya.

Setiap hari pabila hamba membuka akhbar mesti ada orang yang meninggal. Mengikut bahasa yang agak 'kerek' sikit, mungkin sekarang ini sedang musim orang meninggal dunia. Meninggal dunia ada musim ke? Macam musim demam gitu? Mana ada.. Maut itu setiap hari berada dengan kita. Malaikat maut itu sentiasa memerhatikan gerak geri kita dan menunggu masa bilakan arahan untuk mengambil nyawa diberikan.

Sungguh, kematian itu pasti. Kita tidak boleh untuk minta kepada Allah agar dipercepatkan kematian kita atau dilambatkan beberapa saat.

Hamba merasa hairan, ada satu waktu dahulu seorang yang dikenali mengatakan boleh menangguhkan kematian. Makna kata, beliau lebih hebat daripada Malaikatul maut. Boleh minta ditangguhkan kematian. Kalau macam itu, hamba juga mahu menemui beliau dan minta dipercepatkan kematian hamba kerna hamba tidak sanggup lagi untuk hidup di dunia yang penuh dengan kesakitan. Boleh macam itu?

Apa yang pasti dan seperti mana kita tahu, kematian itu pasti ada dan hampir dengan kita cuma belum tiba lagi saatnya Allah mengutuskan malaikat maut untuk dicabutkan nyawa kita. Tunggulah saatnya. Sementara menunggu saat itu, marilah kita sama-sama memperbaiki diri dan amalan kita. Berbaik-baik sesama kita. Senangkan hati orang-orang yang kita kasihi. Cepat-cepatlah bayar hutang, (pesanan untuk diri hamba nih!)

Akhir kalam, Selamat Bertemu Allah.

Allahu a'lam..

Friday, March 12, 2010

Perhatian Kepada Pelajar Yang Baru Ambil Keputusan SPM Semalam!



Bismillah..

Kepada student yang baru sahaja ambil keputusan SPM semalam, tahniah hamba ucapkan. Tak kiralah berapa sahaja yang anda dapat, apa yang penting anda semua sudah berusaha sebaik mungkin dan melakukan yang terbaik di dalam dewan peperiksaan itu.

Sebaiknya anda harus berterima kasih kepada orang tua anda yakni ibu bapa anda kerana telah bersusah payah menyekolahkan anda dan memberi anda makan serta didikan yang baik sehingga mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan itu.

Peluk mereka.

Kucup pipi atau dahi mereka.

Itu adalah tanda penghargaan anda kepada mereka selama mereka masih di ada di sisi anda. Balas jasa mereka yang telah mereka lakukan untuk anda.

Keputusan SPM yang anda dapat itu juga menandakan anda adalah orang yang bijak. Tak kira berapa yang anda dapat, anda tetap bijak! Anda tetap hebat dan anda tetap cerdik.

Bagi student SPM yang lulus cemerlang dengan A1 yang terkangkang, sujud syukur anda kepada Allah adalah satu tanda bahawa anda seorang hamba yang benar-benar tahu erti syukur. Bagi yang mendapat keputusan SPM yang biasa-biasa, anda juga harus sujud syukur bagi melambangkan anda bersyukur dengan apa yang anda dapat.

Sujudlah anda sebagai lambang anda seorang hamba yang bersyukur!

Firman Allah dalam quran yang bermaksud :

"Jika kamu bersyukur maka Aku akan tambahkannya lagi.."

Allahu a'lam.

Saturday, February 20, 2010

Alarm Me - Ku Merayu





Dalam sayu ini
Ku masih merayu
Kiranya kau hulur sisa simpati
Untuk hatiku yang masih mengharap
Tuhan ku pinta segala terlerai

Walaupun aku tidak pasti
Apakah masih membara dosaku
Di lautan derhaka ku terus berombak
Menghempas taubatku yang kian retak
Oh Tuhan ampunilah daku
Sudi kiranya kau hujani kembali
Jiwaku yang masih kelayuan ini

Tuhan sambunglah cintaku yang terputus
Dengan cinta-Mu Yang Maha Kuasa
Dalam sayu ku masih merayu
Agar kasih-Mu hadir di hatiku
Dalam pilu ku masih merayu
Biarlah dosa-dosa nan lalu
Terkubur di lipatan kenangan

Ku merayu hanya pada-Mu
Ku merayu dan terus merayu

Ku memohon petunjuk dari-Mu
Buatku menuju jalan-Mu yang satu
Hidup matiku hanya untuk-Mu


Thursday, January 7, 2010

Sebuah Pesanan Ulama'

Berkata Sang Ulama' :


" Tidak ada yang boleh mengusir syahwat atau kesenangan duniawi kecuali dengan rasa takut kepada Allah yang memutarkan hati dan rasa rindu kepada Allah yang membuat hati kita merana.."

-Ibn Athoillah-

Tuesday, February 10, 2009

10 kelebihan ilmu berbanding harta

1. Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu adalah pusaka nabi-nabi, manakala harta adalah pusaka Qarun dan Firaun.

2.Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu memelihara kamu, tetapi kamu pula yang memelihara harta.

3.Ilmu lebih baik daripada harta kerana orang yang berilmu ramai taulannya dan sebaliknya orang yang berharta ramai seterunya.

4.Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu apabila dinafkahkan akan bertambah, tetapi harta pula apabila dinafkahkan akan berkurangan.

5.Ilmu lebih baik daripada harta kerana orang yang berilmu diseru dengan nama yang mulia, manakala orang yang berharta diseru dengan nama bakhil.

6.Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu tidak perlu dipelihara daripada pencuri, tetapi harta perlu dipelihara daripada pencuri.

7.Ilmu lebih baik daripada harta kerana orang yang berilmu akan diberi syafaat diakhirat nanti, manakala orang yang berharta akan dihisab hartanya.

8.Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu tidak akan binasa, manakala harta pula akan binasa.

9.Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu itu melembutkan hati dan harta pula mengeraskan hati.

10.Ilmu lebih baik daripada harta kerana yang berilmu mendakwa kehambaan dan yang berharta mendakwa ketuhanan.

-Copyright From Isuhangat.blogspot.com-

Tuesday, October 21, 2008

Warkah Cinta Berbau Syurga

Di bawah ini ada surat cinta buat kita semua. Semoga kita bisa lebih menghargai cintaNya ..

" Hamba-Ku menyombongkan diri terhadap-Ku
padahal Akulah yang melindungi mereka di tempat tidur mereka
Antara-Ku dan jin serta manusia terjadi berita besar :

bahwa Aku yang telah menciptakan mereka
namun yang disembah adalah selainKu

Aku yang memberi rezeki, namun selain-Ku yang disyukuri
Kebaikan-Ku senantiasa turun kepada hamba-Ku,
tapi kejahatan mereka yang naik kepada-Ku



Aku mencintai mereka dengan memberi ni'mat2 Ku
sedangkan Aku tiada membutuhkan mereka
mereka memancing kemurkaan-Ku dengan berbagai kemaksiatan
padahal mereka adalah yang paling butuh kepada-Ku

Siapa-siapa yang datang kepada-Ku,
akan Kujemput ia dari kejauhan

Siapa-siapa yang berpaling dari-Ku,
maka Aku akan memanggilnya dari kejauhan

Copyright From Isuhangat.blogspot.com