Bismillah.
Segala puji bagi Allah, tuhan sekelian alam. Segala puji bagi Allah,
tuhan yang menciptakan alam. Segala puji bagi Allah, tuhan yang
menciptakan Adam dan Hawa. Segala puji bagi Allah yang tidak henti-henti
menyayangi kita. Segala puji hanya layak bagi-Nya.
Alhamdulillah. Hari ini kita masih lagi diberikan nafas yang baru,
diberi peluang untuk menghirup udara yang segar milik Allah tanpa kita
perlu membayarnya di mana-mana kaunter.
Alhamdulillah, hari ini kita bangkit dengan satu azam, satu harapan, satau cita-cita untuk membuktikan bahawa rakyat punya kuasa yang mutlak dalam menentukan siapa pemimpin yang akan memimpin Malaysia dengan baik pada masa yang akan datang.
Alhamdulillah, hari ini hamba percaya, rata-rata rakyat Malaysia keluar mengundi. Alhamdulillah, hamba juga keluar mengundi buat pertama kali dan sangat awal hari ini. Pukul 7:45am hamba sudah terpacak di pusat mengundi bersama keluarga. Alhamdulillah, hari ini telah ditakdirkan oleh Allah untuk kita memilih secara bijak, siapa yang akan kita pilih untuk menjadi pemimpin akan datang.
Pilihanraya umum kali ini melihatkan betapa sengitnya pertarungan. Ujian serta rintangan yang datang dari pelbagai arah. Mendesak, diuji dengan lambang bendera tidak dibenarkan penggunaannya, siri serangan ke atas peserta flashmob, siri kutukan ke parti-parti belah sana dan sini, siri laporan polis ke atas SPR kerana dakwaan yang mengatakan dakwat yang dicalit tidak kekal seperti mana yang dicanangkan.
Alhamdulillah, kini dan saat entri ini ditulis banyak dan sangat ketara perubahan yang sedang berlaku.
Ops! Sebelum itu, hamba ingin ingatkan bahawa blog hamba bukan blog politik dan hamba tidak sekali-kali mewakili mana-mana parti politik untuk menulis entri ini. Ini cuma pandangan peribadi hamba.
Baik, teruskan kepada penulisan.
Di tajuk entri hamba menulis tentang muhasabah. Apa kena mengena muhasabah dan juga PRU 13 ini? Pada yang memandang remeh dan sebelah mata, memang ia adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Masakan boleh masuk akal? Apa yang boleh dimuhasabahkan dengan PRU13 ini? Ia hanya sebuah undian untuk menentukan pemimpin dan ianya adalah normal.
Ya, benar. Tetapi ada banyak perkara yang harus dan wajib kita ambil ibrah dan muhasabah daripada apa yang telah kita lalui sepanjang perjalanan ini.
Rata-rata ramai yang mengatakan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan memerintah melihatkan dari segi jumlah nombor yang dikecapi. Manakala Barisan Nasional sedang bersiap siaga untuk menjadi sebuah pakatan Pembangkang. Pertama kali dalam sejarah Malaysia hamba kira. Masakan tidak? Sudah hampir 56 tahun Barisan Nasional memerintah bumi Malaysia dan tiba-tiba pada PRU kali ini Barisan Nasional seakan mahu mengalah, memberi ruang kepada Pakatan Rakyat.
Jadi di mana muhasabahnya? Baik, ini yang perlu kita muhasabahkan serba sedikit :
1. Barisan Nasional, di dalam barisan parti itu para ulama' seumpama dipinggirkan. Suara Ulama Muda Umno terutamanya daripada al-Fadhil Ustaz Fathul Bari seakan disenyap. Itu dibuktikan dengan pernah wujud satu kenyataan yang mana beliau pernah menegur beberapa orang besar di dalam Barisan Nasional namun mereka tidak mengendahkannya.
2. Banyak desas-desus mengatakan tentang skandal pemimpin parti daripada Barisan Nasional. Baik daripada isteri kepada PM kita, skandal itu dan ini, salah laku dan sebagainya.
3. Isu kalimah Allah, Hudud, skandal video lucah oleh beberapa orang pemimpin barisan Pakatan Rakyat.
4. Dan beberapa lagi isu yang hamba kira para pembaca banyak mengetahuinya.
Kami adalah rakyat, yang melihat segala tindak tanduk pemimpin di hadapan kami. Apa yang kalian lakukan menjadi cerminan di masa akan datang bagaimana bentuk pemimpin yang bakal menerajui bumi Malaysia yang tercinta ini. Bumi Malaysia yang tercinta ini adalah bumi yang hamba kira dirahmati kerana duduknya pelbagai bilang kaum di dalamnya tanpa wujud perselisihan faham yang kronik dan melebar seperti di sesetengah negara luar. Malaysia adalah negara yang harmoni yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen walaupun terdapat beberapa pihak yang menyalahgunakan kuasanya untuk meraih undi dan simpati. Ini adalah perkara yang tidak baik.
Wujud beberapa perkara yang tidak enak didengar oleh kita sebagai rakyat. Berita tentang pemborosan yang berlaku, ketirisan akhlak pemimpin dan kerabatnya dan lain-lain lagi. Jika kerajaan pimpinan parti yang lalu tidak lagi memimpin pada hari esok, hamba ingin berpesan kepada kalian, bahawa tidak selamanya kita berada di atas. Kadangkala Allah menegur kita kerana kelalain kita sewaktu kita berada di atas sana. Dengan kuasa yang kita miliki, kita dengan sesuka hatinya mengarah untuk dilakukan atau dijalankan tindakan kepada mana-mana individu atau kumpulan yang tidak kita sukai. Wahai pemimpinku, itu bukan akhlak yang sepatutnya ditonjolkan. Kata-kata kalian menjadi iktikad kepada penyokong tegar dan fanatik kalian.
Tidak kira siapa yang akan memimpin Malaysia pada hari esok, pesan hamba perbanyakkanlah Istighfar kerana kalian dibebankan dengan tugas yang maha berat dan sudah pasti ianya akan disoalkan saat kalian berada di mahsyar nanti. Amanah merupakan suatu perkara yang paling berat sekali. Ini dinukilkan di dalam al-Quran di dalam surah an-Nisaa' ayat ke 58. Nak tahu? Bukak sendiri mushaf anda ye. Hehe.. ^^,
Bercerita tentang amanah, sehingga esok belum tentu akan tamat ceritanya, namun diringkaskan cerita. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hasyr ayat 21 yang bermaksud : "Sekiranya Kami turunkan
Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu
khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah),
misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya
mereka memikirkannya."
Anda nampak betapa beratnya al-Quran? Anda nampak betapa beratnya sesuatu yang bernama amanah? Al-Quran itu diibartakan sebagai amanah. Jika gunung boleh pecah belah, lalu bagaimana kita yang sanggup untuk menerima amanah. Bukan yang kecil, ia adalah amanah yang besar. Memimpin sebuah negara.
Hamba selalu berdoa supaya Malaysia yang dicintai ini akan menjadi sebuah negara yang moden disamping tidak mengabaikan apa yang terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Jika disoroti, banyak cerita di dalam al-Quran dan al-Hadith yang menceritakan tentang betapa beratnya sebuah perkara yang digelar amanah ini. Pesan hamba kepada pemimpin yang bakal memimpin kerajaan pada esok hari, ini adalah amanah rakyat buat kalian. Jangan penuhkan dada kalian dengan balas dendam, jangan penuhkan minda kalian dengan rencana jahat, jangan penuhkan poket anda dengan perkara yang bukan sepatutnya, jangan sesekali menyusahkan rakyat kerana tanpa rakyat kalian tidak berada di atas sana mengecapi nikmat yang Allah beri, jangan sesekali mengabaikan rakyat dan sekali lagi, jagalah rakyat dan jangan susahkan rakyat anda. Kami berkuasa kerana kami yang menaikkan kalian di atas sana. Jangan bangga dengan apa yang kalian miliki, kelak Allah akan mengambilnya bila-bila yang disukainya.
Akhir kalam, hamba mengharapkan Malaysia yang ada pada hari Isnin ini akan lebih baik daripada sebelum-sebelumnya. Kami memberikan ruang dan peluang untuk kalian berkhidmat kepada kami dengan sebaiknya. Jangan letakkan Allah di hujung perkiraan kalian, jangan letakkan nafsu menjadi kiblat haluan kalian.
Kayakanlah diri kalian dengan sifat tawadhuk. Di dalam pimpinan kalian nanti akan ada mereka yang tidak memahami Islam dengan sebaiknya, inilah masanya untuk kalian memperlihat serta menonjolkan keindahan, kesucian dan kebenaran Islam kepada mereka.
Semoga kalian senantiasa diredhai Allah. Jangan gadaikan negara ini kepada tangan yang bukan ahlinya.
P/S : Kepenatan dan kerinduan.
Apa Itu Islam?
11 years ago
0 Orang Bercakap:
Post a Comment