Bismillah.
Segala puji bagi Allah, tuhan sekelian alam. Segala puji bagi Allah, tuhan yang menciptakan alam. Segala puji bagi Allah, tuhan yang menciptakan Adam dan Hawa. Segala puji bagi Allah yang tidak henti-henti menyayangi kita. Segala puji hanya layak bagi-Nya.
Alhamdulillah. Hari ini kita masih lagi diberikan nafas yang baru, diberi peluang untuk menghirup udara yang segar milik Allah tanpa kita perlu membayarnya di mana-mana kaunter.
Alhamdulillah, setelah semalaman kita tidur dan hari ini kita bangun dengan satu azam yang kuat, satu cita-cita yang tinggi dan satu harapan yang menggunung.
Alhamdulillah. Hari ini Allah telah mengembirakan kita dengan menarik kita daripada terjatuh dalam jurang yang dalam.
Alhamdulillah.
Entri ini sempena Pasca PRU13 yang bakal menjelma tidak lama lagi. Saat entri ini ditulis, hampir seluruh Malaysia sibuk dengan hari penamaan calon dan hamba duduk di sini menaip sekadar meluahkan rasa dan menyampaikan sahaja.
Sebelum bercerita lebih lanjut lagi ingin sekali hamba tekan dan tegaskan bahawa blog ini bukan blog politik, dan hamba selaku pemilik blog ini TIDAK PRO KEPADA MANA-MANA PARTI. Dan apa yang hamba tulis ini tidak mendapat upah atau bayaran daripada mana-mana pihak. Hamba menulis, insyaallah dengan rasa ikhlas.
Baik, baru-baru ini sebuah parti di dalam barisan Pakatan Rakyat (PR) iaitu DAP telah dimaklumkan bahawa mereka tidak dibenarkan untuk menggunakan logo parti mereka atas sebab-sebab tertentu. Dan Parti Islam Se-Malaysia telah membenarkan DAP untuk menggunakan logo mereka di semenanjung Malaysia dan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) digunakan Sabah dan Sarawak.
Ada yang mahu membantah dan berfikir bukan-bukan di sini? Maaf, jika anda berasa ingin membuat begitu hamba tidak akan benarkan kerana INI BUKAN BLOG POLITIK. Sila main jauh-jauh.
Walau mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai manusia, namun pada hamba, secara peribadinya terdapat beberapa hikmah yang tersembunyi. Hanya manusia yang berfikir secara positif dan matang sahaja dapat mencari hikmah yang tersembunyi.
Tidak lama dahulu, Pengerusi DAP, Karpal Singh pernah menyatakan bahawa perlu untuk melangkah mayatnya dahulu jika mahu laksanakan negara Islam. Juga dikatakan Pengerusi terdahulu DAP, Lim Kit Siang mengatakan bahawa "mati Melayu" dan sebagainya.
Namun apa yang terjadi? Hari ini Islam membela mereka walaupun dengan hal yang kecil (dengan memberi kebenaran untuk menggunakan dua logo parti Barisan PR) dan ini menunjukkan dengan jelas bahawa Islam itu tidak pernah menunjukkan sebarang penentangan terhadap mereka walaupun banyak kata-kata yang tidak enak didengar daripada mulut mereka.
Hari ini Islam telah membela disaat mereka jatuh. Ini hikmah dan bukti yang Islam tetap terus berada di atas dan memadamkan desas desus yang mengatakan bahawa Islam dan Melayu akan jatuh. Ini buktinya. Islam dan melayu tetap berada di atas. Di tanah sendiri.
Allah SWT berfirman di dalam surah ali-Imran yang bermaksud : "Sesungguhnya agama yang diredhai Allah adalah Islam." Ditambah pula dengan sabda kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW yang membawa maksud : "Islam itu tinggi, tiada yang lebih tinggi darinya." Ini sudah dibuktikan pada kita hari ini sekaligus membuka mata pihak-pihak tertentu yang tidak percaya kepada agama Allah.
Jika sekalipun terdapat agenda yang tersembunyi oleh DAP, hamba yakin dan percaya bahawa mereka tidak mampu untuk melepasinya kerana ada agama yang tinggi, iaitu Islam. Tambahan di Malaysia. Islam yang dianuti oleh bangsa melayu di sini sangat menjaga agamanya. Jika sesuatu terjadi kepada Islam dan melayu, hamba yakin sesuatu yang besar akan berlaku. Apa yang penting, jika DAP mahu mengkafirkan bumi Malaysia ini, maka hamba pasti dan sangat yakin bahawa Melayu Islam akan bangkit dan tahu apa yang perlu dibuat kepada mereka.
Sempena PRU13 yang akan datang ini, ingin sekali hamba ingatkan kepada sahabat-sahabat di luar sana yang bertugas untuk berkempen supaya :
- Jangan fitnah memfitnah
- Jangan maki memaki/menghina
- Jangan mencarut
- Jangan bergaduh/bertumbuk dan sebagainya
- Jangan memutuskan silaturrahim antara muslim
- Jangan menampakkan akhlak yang buruk
- Jaga adab sesama manusia
- Jangan sekali-kali menjatuhkan satu sama lain
- Jangan mencaci/menghina ulama.
- Dan jangan lakukan perkara-perkara yang boleh menjatuhkan imej islam walau apapun parti yang dipangkah.
Akhir kalam, semoga PRU kali ini dijalankan dengan lebih matang dan bakal pemimpin yang akan datang ini akan lebih memahami Islam dan keluh kesah rakyat di bawah pimpinannya.
Semoga Allah redha.
Allahu a'lam.
P/S : Ini bukan blog politik. Jika nak cakap kotor sila main jauh-jauh dari blog hamba.
Apa Itu Islam?
11 years ago
0 Orang Bercakap:
Post a Comment