Sunday, September 22, 2013

Berduka? Patah Hati Dan Juga Semangat? Mahu Ubat? Ini Dia.

Bismillah.
Segala puji bagi Allah, tuhan sekelian alam. Segala puji bagi Allah, tuhan yang menciptakan alam. Segala puji bagi Allah, tuhan yang menciptakan Adam dan Hawa. Segala puji bagi Allah yang tidak henti-henti menyayangi kita. Segala puji hanya layak bagi-Nya. 

Alhamdulillah, hari ini kita bangun lagi, meneruskan cita-cita sebagai hambaNya di atas muka bumi ini. Menghirup udara segar walau ada sedikit kekotoran hasil daripada kerosakan tangan manusia yang berlumba membina bangunan tinggi gila yang tak sudah-sudah mahu mengejar dunia sehingga lupa ada dunia lain menanti kita.

 Alhamdulillah, hari ini kita sedia untuk menerima segala macam bentuk ujian daripadaNya, Tuhan yang maha cinta.

Oh ya persoalan. Mengapa jika Dia Tuhan yang Maha Cinta, Dia menguji kita sehingga kita tidak mampu untuk bangun meneruskan hari muka?

Jawapannya kerana Dia cintakan kita. Ayuh kita semak semula surah al-Ankabut ayat yang kedua. Dia berbicara, "Apa manusia mengira mereka sudah beriman sedang mereka belum diuji?"

Ujian adalah tanda cinta Dia kepada kita. Ujian adalah tanda Dia ingin kita dekat denganNya. Ujian merupakan tarbiyyah secara langsung dari Dia kepada kita. Tahukah siapa dia? Dialah Allah. Tuhan yang Maha Cinta.

Baiklah, muqadimah hamba pada kali ini sudah macam isi. Hamba pasti tiada siapa yang merindui hamba. Akhir tulisan hamba pada hari pilihanraya. Kemudian? Hamba bergiat aktif di MukaBuku. Di sana katanya leih seronok.

Oh ya, dan hamba juga sedang menstruktur semula manuskrip hamba. Bagai nak gila hamba. Balik kepada tajuk. Hamba yakin, ada di kalangan kita hari ini yang sedang bermuran durja, berduka lara dan sebagainya. Mengapa? Pasti ada sesuatu bukan? Kalau bukan kerana sesuatu sudah tentu anda tidak berdukacita, bermuram durja bukan? Hoho!

Baik, ada yang bertanya hamba bagaimana mengubat jiwa yang lara. Ada yang mengetahui yang hamba pernah berduka akibat cinta. Ada juga yang mengetahui lebih daripada hamba sendiri. Pada mereka yang sangat rajin mengikuti hamba, ingin hamba ucapkan tahniah kerana sering mengikuti blog ini dan juga menyelami apa yang berada di dasar hati hamba.

Sebenarnya seperti yang telah hamba ceritakan semasa muqadimah, ujian, cabaran sebenarnya salah satu daripada jentikan manja Allah kepada kita. Mengapa? Pasti ada sebabnya.

Tidak satupun Allah jadikan tidak bersebab. Yang putus cinta, pasti berduka, patah hatinya, nyanyi lagu duka seakan tidak bisa dirawat jiwanya. Ya, seperti hamba beberapa tahun yang lalu. Lalu bagaimana hamba dapat meneruskan hidup dengan selesa?

Jika yang sedang atau baru putus cinta, ini jawapan hamba. Sila lalui hari duka anda dengan sabar dan gembira. Ya, fasa-fasa pertama ini hamba percaya, tidur pun dengan airmata. Malah solat juga dengan airmata. Betul bukan? Mahu masa menyendiri, mahu masa untuk tenangkan diri, tidak mahu mengurus diri dan lain lagi. Itu juga pernah terjadi pada hamba. Ya, bagaimana tidak gila, kononnya cinta pertama. Haha.

Ya, ramai mengatakan cinta pertama sukar dilupa. Itu hamba akui, sesetengah manusia sangat tidak mampu untuk melupakan cinta pertama. Ubatnya, semua tertanggung pada diri kita. Ada yang kata cari lain dan berkahwin.

Persoalan mula timbul, apa dengan berkahwin serta merta akan melupakan cinta pertama? Tidak, tak semua begitu. Ada yang memakan masa sehingga bertahun-tahun untuk melupakan cinta pertama. Lalu bagaimana? Seperti yang hamba kata, semua tertanggung pada diri sendiri. Ada yang bertanya tips hamba, bagaimana hamba boleh lalui semua kisah duka? Hamba jawab mudah sahaja. Jika kita terus dibuai dengan duka maka kita sampai mati tidak gembira, sampai mati berduka, bersendiri dan lebih memalukan bertemu Allah dalam keadaan bujang tidak mengembangkan umat Nabi kita, Muhammad SAW.

Benar, hamba mengambil masa hampir tiga ke empat tahun untuk melupakan cerita sakit, perit dan duka. Semasa di fasa pertama, setiap hari hamba ditemani airmata, hampir setiap hari boleh dikatakan hamba menangis, kecuali waktu makan. Itu waktu yang hamba gembira.

Memasuki fasa yang kedua, hamba cuba untuk bersangka baik dengan Allah. Mana mungkin ujian yang diberikanNya adalah untuk membebankan hambaNya. Mana mungkin sebegitu kejam Allah terhadap kita? Tidak! Kita yang mengejami diri kita sendiri. Kita sendiri yang merosakkan diri kita sendiri. Mencari penyakit yang tiada ubatnya. Selalu hamba bisikkan pada diri sendiri bahawa ujian ini adalah diri hamba sendiri. Sekian lama hamba lalai dek cinta. Sekian lama hamba jauh dari Allah dek cinta, sekian lama hamba lupa tanggungjawab sebagai hamba. Jadi inilah masanya untuk memperbaiki hubungan dengan Allah. Inilah masanya untuk hamba bawa hati berjumpa Allah, mohon Allah rawatkan hati hamba. Inilah masanya hamba berbaring di ribaanNya.

Alhamdulillah, memasuki fasa yang ketiga hamba sudah boleh menerima kenyataaan. Hari-hari yang dahulunya hanyalah duka, kini bertukar ceria. Alhamdulillah, Allah mengubat hati luka hamba. Alhamdulillah, ternyata Allah itu benar-benar Maha Cinta. Lalu apa alasan untuk kita sentiasa berduka? Pintu cinta Allah itu senantiasa terbuka menerima hambaNya yang tersasar jauh dan berduka.

Ada juga di kalangan kita yang hamba percaya sedang mengalamai dipresi yang amat tinggi dek tekanan yang melampau dari pelbagai pihak ke atas diri sehingga menyebabkan ramai yang ambil keputusan melakukan pekerjaan yang diluar kemampuan dan diluar dugaan serta bukan dalam bidang masing-masing. Akibatnya kerja yang dilakukan tidak ikhlas, tidak menepati piawaian dan sambil lewa. Sedangkan kerja adalah suatu amanah, jika tidak melakukannya dengan baik maka amanah itu akan bertukar menjadi suatu yang akan dipersoalkan kelak.

Jadi bagaimana? Berbahagialah pada mereka yang bekerja bukan di dalam bidangnya. Lakukannnya dengan sebaik mungkin. Ada beribu lagi insan yang tidak dapat pekerjaan yang menginginkan pekerjaan. Jika apa yang kalian rasakan itu adalah beban dan tidak mahu menampung lagi beban yang ada, maka dengan rela hati, lepaskan pekerjaan itu kerana masih ramai lagi yang mahu dan percayalah, ada rezeki yang baik menanti.

Namun, jangan menyesal di kemudian hari ya? Hee~

Ada yang tidak bersemangat? Apa sahaja yang dilakukan rasa tidak bersemangat? Biasa.

Kita ini manusia, pasti akan mengalami saat naik dan turunnya. Kita tidak terlepas daripada semua itu kerana itulah lumrah kehidupan dan itulah yang mencorakan kehidupan ini. Cuba andai dan bayangkan jika dunia ini hanya ada kegembiraan. Lalu untuk apa air mata diciptakan? Cuba kita bayangkan lagi, jika dunia ini hanya dipenuhi dengan kesakitan, kesedihan, lalu untuk apa gigi diciptakan? Pastinya ia untuk diperlihatkan dengan ketawa.

Tapi ingat, bukan ketawa yang berdekah-dekah dan sangat buruk ya? =)

Hiburkan hati dengan surat cinta dari Allah, al-Quran. Ia sangat menghiburkan hati. Hamba tidak mahu bersuara seperti ustaz-ustaz, kiai-kiai, mufti, ulama dan sebagainya, tetapi kebiasaannya jika hamba berasa putus semangat, tidak berdaya, tidak kuat, hamba akan membaca al-Quran dan tafsir. Sangat menghiburkan.

Banyak hamba baca buku motivasi Islami lebih-lebih lagi daripada tulisan Dato Dr Ust Muhammad Asri Zainul Abidin (Dr MAZA), Ust Pahrol Md Joui dan beberapa orang ustaz lagi. Sangat menyenangkan.

Pada hamba, kuliah dan tulisan daripada Dr Maza dan Ustaz Pahrol sangat memujuk jiwa. Lebih -lebih lagi di saat kita memerlukan.

Apa yang harus dilakukan seandainya jalan itu tidak berjaya? Macam biasa, kembali pada Allah dan mohon Allah peluk diri kita. Insyaallah, Allah akan membantu kita. Allah akan membantu, memeluk kita. Bukankah kasih sayang Allah itu lebih daripada seorang ibu yang mengasihi anaknya?

Jadi bagaimana? =)

Akhir kalam, semoga perkongsian hamba kali ini dapat memujuk sedikit sebanyak jiwa-jiwa yang sedang lelah dan tidak berdaya. Semoga Allah senantiasa merahmati kita, memayungi kita dengan rahmatNya dan menutup segala cela yang terdapat pada diri kita.

Allahu a'lam.