Sunday, February 5, 2012

Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita! - Dr MAZA





P/S : Selamat Menonton sahabat-sahabat. =)

Edisi Lama Tidak Update Dalam Bulan Rabiul Awal.

Bismillah..

Segala puji bagi Allah tuhan mentadbir seluruh alam tanpa bantuan sesiapa. Segala puji bagi Allah tuhan yang menciptakan Adam dan Hawa dengan cinta. Segala puji bagi Allah tuhan yang menjadikan alam dalam masa enam hari. Segala puji bagi Allah, Segala puji bagi Allah dan sesungguhnya segala puji hanya layak bagi Allah.

Rasanya masih tidak terlambat bagi hamba untuk mengucapkan selamat tahun baru 2012 kepada semua pengunjung blog hamba yang serba serbi dhaif ini. Terima kasih kepada pengunjung-pengunjung dan sahabat-sahabat yang selalu menunggu post terbaru daripada hamba. Maafkan hamba kerana tidak dapat selalu update blog hamba. Rasanya ini update pertama pada tahun 2012. Lama juga hamba tidak menulis. Maklumlah, agak sibuk dengan pembelajaran di KUIS ini. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan agak lancar walaupun terbit kepayahan yang kadangkala membuatkan terfikir untuk tidak meneruskan lagi perjuangan hamba di bumi KUIS ini.

Alhamdulillah.

Sekali lagi Allah telah memberikan nafas yang tidak perlu kita bayar di mana-mana kaunter di dunia ini. Kita menghirup udara yang telah Allah beri kepada kita dan membayarnya dengan melakukan apa yang telah disuruh oleh Allah dan meninggalkan segala yang telah dilarangNya.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Hampir menghabiskan satu semester di bumi KUIS ini, segalanya berjalan dengan lancar. Berjumpa dengan sahabat yang baru dan lama, merasai pengalaman baru di tempat baru. Menambah fikir dan zikir di bumi KUIS ini yang ternyata banyak bedanya sewaktu berada di sebuah Kolej Universiti di utara semenanjung satu ketika dahulu.

Baiklah, alang-alang sudah lama tidak menulis hari ini hamba akan menulis sesuatu buat tatapan, bacaan dan kalau ia tidak merepek, jadikan ia bahan zikir dan fikir bagi kita semua jika apa yang bakal hamba sampaikan akan memberi manfaat.

Kita sudah sampai dalam bulan Rabiul Awal. Sudah semesti ramai yang tahu apa yang berlaku dalam bulan rabiul awal. Anda juga tahu bukan? Ya, tepat sekali, Maulidurrasul. Kita menyambutnya pada setiap tahun walaupun ada yang mengatakan bahawa sambutan maulidurrasul adalah bidaah, pada hamba walaupun ia bidaah ia adalah bidaah hasanah. Mengapa? Sebab kita mengajak sahabat-sahabat. keluarga dan yang lain-lain untuk mengingati Rasulullah SAW. Tapi, disebalik kita mengajak mereka untuk mengingati Nabi SAW, adakah kita menghayati sejarah hidupnya? Pernah kita tahu bagaimana susahnya Baginda menyampaikan Islam? Penuh dengan airmata, darah, hina, cacian dan berbagai lagi. Pernah kita terfikir bagaimana sejuknya Rasulullah dan Abu Bakr as-Siddiq ketika berhijrah ke Kota Madinah? Pernahkah kita menangis saat kita berfikir tentang itu?

Soalan untuk anda, pernahkah anda menangis rindukan jasad yang berada di bawah kubah Hijau di Masjid Nabawi seperti kita menangis rindukan keluarga, ibu bapa, kekasih? Jika ya, maka tahniah dan jangan riya' ataupun bangga. Jika tidak pernah, maka cuba-cubalah untuk rasa menrindui Kekasih Allah yang mulia itu.

Jarak kita dengan Baginda adalah 1400 tahun, sudah 1400 tahun Baginda meninggalkan kita, tapi kesan peninggalannya masih tidak pudar dan tidak padam sehingga kiamat nanti. Masih ingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud lebih kurang begini, "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara ini. Jika kamu mengikutinya nescaya kamu tidak akan sesat selamanya. Ia adalah al-Quran dan Sunnah Nabi." Masih kita ingat bagaimana kasihnya Saidina Ummar al-Khattab terhadap Baginda sehingga beliau mengatakan : "sesiapa yang bahawa Muhammad telah mati, akan aku pancungkan setiap kepala daripada kamu.". Sambil tangannya menghunuskan pedang. Datanglah Saidina Abu Bakr al-Siddiq mententeramkan para sahabat selepas mengucup jenazah baginda. Abu Bakr berkata : Selepas itu, Abu Bakar keluar menemui para sahabat yang seakan hilang akal itu. Mereka umpama pasukan yang telah ditinggalkan komandannya. Lalu Abu Bakar pun berucap ” Wahai para sahabat, sesiapa yang menyembah Muhammad, kini Muhammad telah tiada. Dan sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah tetap hidup dan tidak mati."

Bagaimana agaknya kita jika berada di zaman itu. Bagaimana agaknya kita jika hampir dengan nabi. Bagaimana agakanya kita akan menerima berita tentang kehilangan seorang Kekasih Allah? Bagaimana kita menghadapi wahyu terakhir yang diturunkan kepada baginda?

Allahu Rabbi. Jika hamba tak buleh wor. Sanggup ganti nyawa hamba dengan baginda.

Berapa banyak dalam sehari kita berselawat ke atas baginda?

Berapa banyak dalam sehari kita ingat pada baginda?

Hitunglah diri kita.

Selamat menyambut Maulidurrasul dan Selamat berselawat selalu.

Ayuh! Malaysia berselawat. Sampaikan pesan ini kepada sahabat-sahabat lain dan jika perlu share atau kongsi mesej ini di mana-mana laman sosial supaya kita dapat menjadikan amalan selawat adalah amalan seharian seperti solat. Sampaikan nota ini di mana sahaja. Semoga hamba dan juga anda mendapat manfaat. Jadikan selawat sebagai zikir harian kita kerana Baginda pernah bersabda dengan maksud yang lebih kurang begini :"Orang yang hampir denganku di akhirat nanti adalah orang yang banyak berselawat ke atasku.". Maka berselawatlah kita.

Allahu a'lam.


P/S : Hamba bukan syiah, tapi hamba mencintai ahlul bait Rasulullah. =)

P/S : Selamat membaca.

P/S : Mushtaq. =)