Thursday, January 28, 2010

Jangan Menyayangi Andai Tidak Mampu Mencintai

Bismillah..

Agak lama jari jemari tidak menari dan bermain pantas di atas papan kekunci komputer riba yang di panggil keyboard at laptop. Aduhai.. Bukan sengaja ingin lari dari menyampaikan apa yang dipelajari tetapi masa tidak mengizinkan hamba memblogkan diri kerna keterbatasan waktu untuk menyiapkan sebuah kertas projek.

Tinggal beberapa minggu lagi hamba akan meneruskan perjuangan pada peringkat rendah ini. Hamba akan pergi berjuang habis-habisan, memerah otak dan ingatan mengeluarkan segala hafalan untuk dibacakan di hadapan mereka-mereka yang memberi soalan. Sepertinya sekarang ingin memancung leher agar segala ketakutan ini dapat hilang dengan pantas, tanpa lelah, tanpa air mata.

Balik kita kepada tajuk di atas. Entah kenapa dua tuga hari kebelakangan ini, hati ini berasa tidak berapa tenang meski setiap hari bergelumang dengan al-Furqan, meski diri ini sentiasa sujud padaNya. Tapi hati ini sedang tidak tenang. Sedang memikirkan sesuatu mungkin.

Entah kenapa hamba juga secara tiba-tiba ingin menulis tentang perkara ini. Hamba tidak memaksudkan sesiapa. Cuma hamba terasa ingin menulis tentang ini dengan rasa penuh cinta. Hamba ingin menulis tentang ini dengan penuh rasa sayang yang tiada tepinya.

Jangan menyintai andai tidak mampu menyayangi. Cinta dan sayang adalah dua nama yang berbeza dan dua perkara yang tidak sama dari segi maksud dan perbuatan.

Sayang. Apa itu sayang? Sayang seperti apa yang kita tahu adalah satu bentuk perasaan mengasihi atau mencintai.

Cinta. Apa itu cinta? Cinta adalah sebuah perasaan atau berperasaan sangat sayang kepada sesuatu.

Nah! Kita sudah lihat di sini. Kedua-dua takrif yang hamba ambil ini diambil di dalam buku Kamus Dewan edisi keempat tahun 2007. Hamba beli Rm60 taw!

Cinta seperti yang kita tahu adalah satu perasaan yang amat mendalam berlainan denngan sayang. Sesiapa pun bisa mampu mengungkapkan kalimat sayang tetapi tidak mampu untuk mengungkap kalimat cinta. Kerana apa? Kerana kalimat cinta ini sungguh bermakna.

Kita tanya diri kita semula, kembali pada asas. Adakah kita sayang atau cinta pada Rasulullah? Cinta baginda pada kita dapat dilihat pada akhir hayatnya dengan bibir baginda tidak henti menyebut ummati, ummati, ummati.. Itulah sebenar cinta.

Kita lihat dalam konteks perhubungan pula. Kita dapat lihat ramai pemuda pemudi kini dengan senangnya mengungkapkan rasa cinta, rasa sayang. Tetapi adakah mereka benar-benar menghayati 'roh' cinta dan sayang itu? Sukar. Semakin hari diungkapkan semakin jauh rasanya hubungan. Bukan itu yang disuruh Allah. Sedangkan Allah memberikan cinta dan sayang pada kita untuk menjadikan kita sebagai hamba yang bersyukur, hamba yang beriman, hamba yang melakukan kebaikkan.

Kata mentor saya dalam dunia penulisan. Love is verb, cinta itu perbuatan (betulkan hamba jika salah). Ya! Cinta itu soal rasa, bukan rasa fikiran. Cinta itu datang dari dalam. Cinta itu sesuatu yang suci yang lahir dari dalam hati. Dari cinta itu timbullah rasa sayang dan dari rasa sayang itu timbullah tanggungjawab.

Entah kenapa sejak akhir-akhir hati ini seakan memberontak. Tidak tahu apa yang dicari, tidak tahu apa yang digali. Seakan hati ini ingin berkata sesuatu tetapi tidak dapat diluahkan. Mungkin ini luahan hamba.

Jangan sesekali menjalinkan hubungan tanpa ras cinta dan sayang kerana pernikahan yang menyakitkan pasangan itu haram hukumnya. Jika tidak mampu, serahlah kepada Allah. Jangan disakiti hati kerana pada hamba perbuatan menyakiti hati itu adalah sesuatu yang dikira zalim dan doa orang yang dizalimi adalah makbul.

Kadangkala kita dapat lihat berapa ramai pasangan yang menikah di atas nama cinta semata. Benar! Tidak dinafikan, pernikahan pada asasnya mesti pada ras cinta, kalau tidak cinta ertinya tidak ada perasaan. Tetapi, berapa ramai yang kita lihat bercerai kerana rasa cinta? Rasa cinta semata tidak cukup untuk mempertahankan sebuah keluarga. Mesti diikuti rasa sayang dan tanggungjawab.

Sekali lagi pesan hamba, jangan mencintai andai tidak mampu menyayangi.

Hamba tidak mahu menulis panjang. Hamba rasa biar setakat ini sahaja kerana hamba tidak pandai menulis tentang cinta dan sayang. Hamba tidak pandai untuk mengungkapkan rasa cinta dan sayang.

Hamba ingin undur diri. Maafkan hamba andai selama ini perkataan hamba banyak menusuk jiwa kecil anda dan membuat hati anda disakiti. Hamba tidak bermaksud untuk melakukan hal yang demikian. Maafkan hamba. Sebarkan salam dan saling bermaafanlah..

Allahu a'lam.

P/S : Mentor hamba di dunia penulisan adalah Ust Pahrol Mohd Juoi dan Ust Hasrizal Abdul Jamil. Tulisan mereka benar-benar memujuk dan penuh kasih sayang.

0 Orang Bercakap: