Wednesday, January 30, 2013

Maulidurrasul Dan Pemergian Siti Hajar Ahmad Sabir

Bismillah.

Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Segala puji bagi Allah, tuhan yang menciptakan alam dalam masa 6 hari. Segala puji bagi Allah, tuhan yang tidak jemu-jemu mendengar kita siang dan malam. Segala puji bagi Allah, tuhan yang penuh kasih sayangNya melebihi kasih sayang seorang ibu.

Selawat dan dalam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah jemu menyampaikan risalah dakwahnya kepada umat. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW yang diakhir hayatnya tidak pernah melupakan kita dan risaukan kita sebagai umatnya.

Alhamdulillah. Setelah sekian lama hamba meninggalkan blog ini. hari ini hamba diberi kekuatan oleh Tuan Punya Dunia untuk kembali menulis. Kononnya bertapa, tetapi lebih banyak berjimba di MukaBuku.

Beberapa hari yang lalu, kita menyambut Maulidur Rasul SAW. Hari dimana Rasulullah SAW dilahirkan. 12 Rabiul Awwal atau disebut juga sebagai Rabiul Anwar. Pada hari baginda dilahirkan seluruh alam bagaikan bercahaya dan bertasbih. Bonda baginda, Aminah melahirkan baginda dengan mudah sekali. Saat baginda disambut, tangannya seolah sedang bertasbih dan tiada tangisan yang keluar daripada mulutnya. Bahkan baginda juga dikhatankan sejak dalam rahim lagi.

Baginda dibesarkan dalam suasana keluarga yang sederhana. Tidak sempat melihat wajah bapanya. Bondanya juga kembali kerahmatullah saat pulang dari menziarahi makam suaminya, Abdullah. Tinggalah baginda seorang diri dan kemudian baginda dijaga oleh bapa saudara.

Sejak kecil lagi, baginda sudah mula sifat-sifat yang lain daripada kanak-kanak yang ada ketika itu. Itulah dia, Muhammad SAW. Yang sentiasa kasih, sentiasa melemparkan senyuman, lemah lembut, sangat menyayangi anak yatim dan baginda juga manusia agung.

Berapa ramai daripada kita yang mampu menitiskan airmata tatkala mengenang baginda? Berapa ramai daripada kita yang mampu mengalirkan airmata kerinduan ketika disebut nama baginda? Baginda kerisauan baginda terhadap kita?

Diriwayatkan, pada suatu hari ketika Baginda sedang duduk berkumpul dengan para sahabat, Baginda bertanya kepada sahabatnya, "Wahai sahabatku, tahukah kalian, siapa hamba yang mulia di sisi Allah?" 
Para sahabat terdiam, lalu salah seorang sahabat berkata : "Para malaikat Ya Rasulullah, merekalah yg mulia." 
Baginda berkata : "Ya, Para malaikat itu mulia, mereka sentiasa bertasbih beribadah kepada Allah, tentulah mereka mulia, tapi bukan itu yang ku maksudkan."

Kemudian para sahabat kembali terdiam, tiba-tiba salah seorang sahabat kembali berkata : "Ya Rasulullah, tentulah para Nabi, merekalah yang mulia itu." 
Rasulullah tersenyum, Baginda berkata : "Ya, para Nabi itu mulia, mereka adalah utusan Allah di muka bumi, bagaimana mungkin mereka tidak mulia, tapi ada lagi yang lainnya."

Para sahabat terdiam, tertanya-tanya. siapa lagi orang yang mulia itu? Sehingga kemudian salah seorang sahabat berkata : "Ya Rasulullah, adakah kami sahabatmu Ya Rasulullah, apakah kami yang mulia itu Ya Rasulullah ?" . 

Kemudian baginda pandang satu persatu sahabat baginda sambil tersenyum, Baginda berkata: "Tentulah kalian mulia, kalian dekat dengan ku, kalian membantu perjuangganku, bagaimana mungkin kalian tidak mulia, tentulah kalian mulia, tetapi bukan itu yang ku maksudkan."

Para sahabat terdiam semuanya, mereka tidak mampu berkata apa-apa lagi. Baginda menundukkan wajahnya, tiba-tiba Baginda menangis di hadapan sahabat-sahabatnya, para sahabat pun tertanya-tanya,  "Mengapa kau menangis ya Rasulullah?" Apabila baginda mengangkat waajahnya, terlihat air mata yang berlinangan membasahi pipi dan janggutnya.

Baginda berkata : "Wahai saudaraku, sahabatku, tahukah kalian siapa yang mulia itu? Meraka adalah manusia yang lahir jauh dari wafatku nanti, mereka begitu mencintai Allah. Tahukan kalian, mereka tidak pernah memandang ku, mereka tidak pernah melihat wajah ku. Meraka hidup tidak dekat denganku seperti kalian, tetapi mereka begitu rindu kepada ku. Dan saksikanlah wahai sahabatku semuanya, aku juga rindu kepada mereka. Mereka yang mulia itu, merekalah Ummatku!" Tagisan Rasulullah di sambut oleh sahabat-sahabat juga dengan tangisan.


Begitu sekali baginda merindui kita, namun apakah kita merindui baginda? Apakah hanya dengan menyambut Maulidurrasul itu sudah dikira bukti kecintaan kita kepada baginda? Seperti mana orang yang sedang asyik bercinta membukti kecintaan mereka terhadap pasangan masing-masing, maka begitulah juga kita harus mempamerkan kerinduan dan kecintaan kita terhadap baginda dengan mengamalkan sunnahnya. 

Siti Hajar Ahmad Sabir 

Blog hamba tidak pernah mendapat kunjungan yang tinggi seperti kali ini. Pernah sekali hamba melawat blog hamba sendiri, jumlah pengunjung melebihi 30 orang! Subhanallah. Sebuah kunjungan yang sangat memeranjatkan hamba. Hamba tidak pernah merasai begini.

Paling ramai kunjungan yang diterima untuk teratak ini adalah 3 orang.
 

Begitu banyak ketaranya. 

Baru-baru ini, di dalam kebanyakan laman sosial dan blog-blog banyak menceritakan tentang kematian seorang gadis biasa. Pelajar UTeM. Gadis itu bernama Siti Hajar Ahmad Sabir. Biasa-biasanya sahaja. Tiada yang luar biasa pada fizikalnya. Mempunyai paras rupa yang biasa. Namun bersih dan jernih. Lahir dalam keluarga yang sederhana, namun kuat pegangan agamanya. Segalanya tentang gadis ini amat biasa. Tiada apa yang luar biasa. Namun kematiannya telah memberi sejuta inspirasi kepada manusia seperti hamba. 

Perginya Allahyarhamah Siti Hajar Ahmad Sabir telah  mengetuk hati ramai manusia dan membuka mata setipa insan yang bergelar pendakwah. 

Ya, walaupun hanya seorang gadis biasa namun almarhumah memiliki segunung jiwa yang mahu berdakwah kepada manusia. Jika disusuri kronologi akhir almarhumah, hamba yakin ramai yang menitiskan airmata. Kagum, sebak, tergamam dan adakalanya sehingga tidak mampu untuk diungkapkan bagaimana perasaannya. Pemergiannya seolah dimudahkan. Hamba yakin dan percaya ada yang sebak tatkala membaca almarhumah sangat takut bila dakwahnya tidak diterima Allah. Hamba sendiri ketika mengikuti kisah ini tidak dapat membendung airmata yang mengalir. Gadis ini bukan gadis biasa. Ada sesuatu di dalam hatinya yang membuatkan ramai insan mengalirkan airmata. 

Siapapun almarhumah, beliau telah memberikan infiniti inspirasi untuk insan-insan lain untuk meneruskan kerja dakwah, melakukan Islah pada diri. 

Secara jujurnya, hamba bukanlah manusia yang agak baik. Muka je nampak comel (comel ke?) tapi hantu juga, tetapi bila hamba membaca kisah almarhumah, subhanallah. Jujur hamba katakan, ianya indah! Sangat indah! Pemergiannya seolah dimudahkan, dan beliau sudah bersedia. Tidak dapat hamba bayangkan jika hamba berada disitu dan melihat beliau yang kesakitan. Subhanallah. 

Ini kisah yang tidak dipaparkan di media. Ini kisah yang tidak mendapat publisiti murahan kerana pemilik cerita ini sangat mahal harganya. 

Almarhumah menjadi inspirasi. Seorang gadis biasa yang berjaya mengubah banyak hati. Tidak salah jika hamba katakan almarhumah seperti sang sufi yang zuhud itu, Rabiatul Adawiyyah. Semoga Allah meletakkan almarhumah bersama para Muqarrabun. Orang-orang yang hampir dengan Allah. 

Subhanallah. Semoga Allah merahmatinya. 

Allahu a'lam. 

P/S : Hamba masih lagi di dalam mood terkesan dengan kisah Siti Hajar Ahmad Sabir. Semoga almarhumah ditempatkan bersama-sama orang yang soleh dan solehah.  

No comments:

Post a Comment

Orang cakap-cakap