Monday, November 23, 2009

Haji Mabrur

TERLALU besar ganjaran buat jemaah haji yang berjaya 'membawa' pulang bersama haji mabrur.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Kesalahan yang berlaku di antara umrah itu diampunkan, manakala haji mabrur pula tidak ada balasan baginya melainkan syurga." (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).


Dari segi bahasa, mabrur mempunyai dua makna. Pertama bererti baik, suci dan bersih. Kedua bererti diterima dan mendapat keredaan Allah s.w.t.

Haji mabrur adalah haji yang membawa kebaikan kepada orang yang melakukannya. Menurut pendapat sebilangan ulama, haji mabrur tidak sesekali bercampur dengan perbuatan dosa sama ada kecil mahupun besar.

Orang yang memperoleh haji mabrur sentiasa kuat imannya serta semakin meningkat amal ibadatnya. Tetapi hakikatnya, bukan mudah untuk melayakkan kita menerima haji mabrur kerana ia menuntut keikhlasan dan kerja keras ketika melaksanakan tuntutan berkenaan.

Ketika melaksanakan ibadat haji, jemaah pasti diuji dengan hebat oleh syaitan dan iblis yang tidak berhenti menghasut serta menggoda hati manusia supaya lekas jemu dan tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan setiap perkara kebaikan.

Walau apa cara sekalipun, kita perlu gagahi segala bentuk gangguan itu dengan 'merangsang' diri melakukan seberapa banyak amalan kebaikan yang disertakan niat suci dan ikhlas.

Akhirnya kita berjaya menghalang kesemua godaan itu dengan tenang. Sesuai pula dengan laungan 'Labbaik Allahumma Labbaik' (Ya Allah aku datang memenuhi panggilan-Mu) iaitu menandakan setiap jemaah berasa diri mereka bertuah kerana menjadi sebahagian daripada jutaan umat yang terpilih menjadi tetamu pilihan Allah.

Dalam menentukan sama ada haji itu mabrur atau tidak, hanya Allah s.w.t yang lebih mengetahui. Tetapi ia sebenarnya dapat dirasai sendiri selepas kehidupan mula berubah menjadi lebih baik berbanding sebelum menunaikan haji.

Terdapat banyak tanda bagi golongan yang mendapat haji mabrur, antaranya amalan serta pengetahuan agamanya semakin meningkat hasil daripada usaha berterusan menambah pengetahuan agama.

Mengerjakan solat di masjid secara berjemaah perlu diteruskan secara berterusan (istiqamah). Jika sebelum ini lebih gemar mengerjakan solat secara bersendirian, pertingkatkan langkah dengan menjaga waktu sembahyang dan meluangkan masa bersolat berjemaah.

Amalan membaca al-Quran perlu dimasukkan ke dalam jadual harian. Setidak-tidaknya, membaca beberapa potong ayat al-Quran dan jika masih terdapat kekurangan dalam pembacaan, disarankan mencari guru supaya bacaan bertambah baik.

Menghadiri majlis ilmu boleh mendekatkan diri dengan Allah, malah lebih baik jika ilmu yang dipelajari itu dimanfaatkan kepada orang lain. Antara cara lain, mendengar program bual bicara agama di televisyen atau radio yang mampu meningkatkan kesempurnaan dan kefahaman dalam beribadat.

Pengisian dengan solat sunat juga salah satu amalan yang patut dilakukan. Jika sebelum ini, liat mengerjakan solat seperti hajat, taubat, tasbih serta tahajud, jadi sebagai usaha penambahbaikan, solat sunat ini dapat mengimbangi kekurangan ibadat wajib.

Selain itu, ia mampu membantu diri ke arah pembentukan sahsiah Muslim yang unggul, ampuh dan sejati. Dari segi pertuturan pula, haji mabrur memperlihatkan perubahan jelas dalam percakapan, tingkah laku, pergaulan serta cara berpakaian.

Tutur kata mencerminkan sifat sebenar diri seseorang. Semakin kotor dan biadab kata-kata, maka semakin tidak bermutu diri kita.

Nabi Muhammad s.a.w seorang yang paling benar bicaranya, biarpun sedikit kata-katanya, ia cukup berhikmah dan bernilai. Seorang haji mabrur sangat memilih kata yang bakal diucapkan. Tidak sewenang-wenangnya dia melemparkan kata-kata kesat, memperlekehkan individu lain serta berasa bongkak dengan kehidupan yang dimilikinya.

Selain itu, Allah s.w.t menjanjikan, tidak akan menjadi fakir kepada mereka yang menunaikan haji. Malah sekembalinya mereka dari Tanah Suci, akan bertambah rezeki serta makin tenang hatinya.

Menurut perunding motivasi dan penceramah, Ahmad Shukri Yusoff, untuk mendapat ganjaran haji mabrur, ia memerlukan komitmen tinggi iaitu perlu menjaga setiap rukun dan wajib haji dengan berkesan.

"Perkara yang boleh dicontohi ialah bagaimana jemaah haji dulu (datuk nenek) menjadikan pemergian mereka ke Tanah Suci sebagai puncak kehidupan mereka.

"Mereka menjadikan peluang mengerjakan ibadat haji dengan penuh kesungguhan, akhirnya pulang ke tanah air dengan membawa perubahan diri yang besar," katanya.

Ahmad Shukri berkata, perubahan menuntut pengorbanan yang besar dan tidak semestinya berlaku secara drastik. Namun usaha untuk memperbaiki diri sentiasa disemat bagi memungkinkan ia tercapai.

"Perubahan tidak akan berlaku sekelip mata dan proses memperbaiki diri ini memerlukan komitmen dan masa.

"Jemaah haji perlu menjadikan tujuan mereka ke Tanah Suci sebagai perjalanan rohani bagi mendapatkan nikmat kemuncak iaitu haji mabrur," katanya.

Ahmad Shukri berkata, individu yang pulang mengerjakan haji tanpa sebarang perubahan ke atas dirinya, bermakna dia bukan seorang 'haji'.

"Dari segi tanggungjawab terhadap agama dan rukun haji itu sendiri memang sudah terlaksana, namun ia perlu sesuai dengan gelaran haji yang mereka terima.

"Sebagai contoh, sebelum mengerjakan haji dulu, dia seorang yang panas baran serta pemarah tetapi selepas menunaikan haji, sifatnya beransur baik dengan memberikan perhatian dan kasih sayang kepada keluarga, rakan dan orang di sekelilingnya. Itu jelas menandakan hajinya diterima Allah s.w.t ," katanya.

Katanya, jika dia sedang berkecimpung dalam perniagaan, selepas mendapat haji mabrur, dia tidak lagi terbabit dengan perkara atau aktiviti salah.

"Perniagaan bukan saja untuk membantu diri serta keluarga, malah dapat melebarkan peluang pekerjaan kepada umat Islam lain," katanya.

Amat malang jika terdapat segelintir individu yang berkesempatan menunaikan haji pada usia muda tetapi menjadikan gelaran itu sebagai lambang kemegahan dan terang-terangan bersifat sombong serta bongkak.

Oleh itu, jadikan pengembaraan haji sebagai satu perjalanan 'meleburkan' segala dosa silam dan beriltizam menjadi insan yang lebih baik.

Untuk itu, elakkan diri daripada perkara 'jidal' (pertengkaran atau perbalahan) sepanjang berada di Tanah Suci. Ia nampak kecil, namun kesannya cukup besar dan boleh 'menidakkan' seseorang itu mendapatkan haji mabrur.

Pertengkaran boleh menyakiti hati insan lain dan menyebabkan pelakunya berdosa. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah berkata baik atau diam."

Jemaah haji perlu tekun mengerjakan solat jemaah, membaca al-Quran di Masjid Nabawi dan seterusnya mengekalkan amalan selain ditambah dengan tawaf sunat dan umrah silih berganti sehingga selesai menunaikan ibadat haji sepenuhnya.

0 Orang Bercakap: